SALAM DARI BEIJING

SHOUGANG PARK: TAPAK KILANG TERBIAR BERTUKAR 'HIPSTER' DI BEIJING

25/10/2023 01:37 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Nurhafizah Tan

Siapa sangka sebuah tapak kilang besi yang dahulunya terbiar boleh berubah wajah menjadi kawasan riadah dan tarikan pelancong dengan penampilan unik dan kreatif serta pelbagai sudut insta-worthy yang menarik perhatian pengunjung untuk merakam kenangan.

Itulah yang penulis fikirkan ketika pertama kali mengunjungi Shougang Park, yang terletak di Beijing ini. Penulis begitu kagum dengan idea dan proses urban regeneration atau penjanaan semula bandar yang bukan sahaja telah berjaya menukar wajah tapak kilang besi yang dibina pada 1919 itu kepada lokasi pelancongan bergaya tetapi kemudiannya turut menjadi lokasi Sukan Olimpik.

Di sebalik kehijauan Shougang Park


Berkeluasan 8.63 km2, Shougang Park bukan sahaja dikelilingi kehijauan flora malah dilengkapi dengan kemudahan lain seperti pusat beli-belah dan restoran. Melangkah masuk ke kawasan berkenaan, tinggalan struktur kilang lama seperti cerobong asap, menara penyejuk dan relau letupan gergasi yang pernah digunakan untuk menghasilkan besi boleh dilihat sebagai latar utama taman tersebut.



Struktur binaan itu secara tidak langsung menjadikan pemandangan taman itu unik, dan seolah-olah sebahagian daripada seni bina dan hiasan kawasan tersebut. Ia mengingatkan penulis kepada konsep hiasan dalaman ala-industri yang digunakan di kediaman, pejabat malah restoran yang semakin popular dan sering menjadi pilihan masa kini. Kalau dalam konsep hiasan dalaman material binaan dan hiasan sengaja direka bentuk seperti struktur 'tidak siap', berbeza pula di taman ini yang yang mana elemen lain digabungkan untuk menyerikan struktur sedia ada itu.

Konsep industri 'gaya hipster'


Konsep industri yang juga dipanggil 'gaya hipster' juga tentunya dapat menarik kunjungan golongan muda untuk bersantai di kawasan itu serta menjadi pilihan sebagai 'port OOTD' atau lokasi pilihan untuk bergambar sebagai kandungan media sosial.
Penulis dibawa melawat ke taman itu oleh Peneraju China Radio International (CRI), yang lebih senang dipanggil Satria.

Satria yang fasih berbahasa Malaysia turut menceritakan sejarah kilang tersebut yang ditutup sekitar 2011 dan dipindahkan operasinya di Tangshan City di wilayah Hebei sebagai usaha mengurangkan situasi jerebu dan pencemaran udara di Beijing.

Sukan Olimpik Musim Sejuk 2022 Penyumbang Transformasi


Menurut Satria, taman yang rasmi dibuka pada Disember 2021 itu juga menjadi latar antara lokasi Sukan Olimpik Musim Sejuk (Winter Olympic) 2022 bagi acara big air atau luncur. Penganjuran acara berprestij itu secara tidak langsung menjadi pemangkin kepada transformasi tapak terbiar itu menjadi kawasan lebih bermanfaat kepada masyarakat. Malah, struktur bangunan lokasi acara sukan tersebut yang direka unik menyerupai kasut tumit tinggi kini menjadi identiti atau trademark kawasan itu.


Mempunyai tanjakan 164 meter, dengan titik tertinggi mencapai 61 meter di atas tanah tempat itu mampu memuatkan lebih 8,000 penonton pada satu masa.

Menurut laman web rasmi International Olympic Committee (IOC), selain Big Air, dua bengkel arang batu, dengan keluasan 25,000 meter persegi juga diubah menjadi lokasi beberapa acara sukan luncur lain termasuk hoki ais. Selain penganjuran acara sukan berprestij, fasiliti itu juga dapat digunakan orang awam bagi menggalakkan rakyatnya menjalani kehidupan yang aktif dan sihat.


Ada juga bangunan kilang yang diubah suai dan beroperasi sebagai kedai buku namun masih mengekalkan struktur asal bangunan.


Pemangkin Pembangunan Semula Bandar


Laporan Global Times juga memetik kenyataan Pengarah Kelestarian IOC Marie Sallois, yang berpandangan perubahan itu sebagai simbol urban regeneration China untuk jangka masa panjang.


"Ia adalah contoh yang mengagumkan yang menunjukkan bagaimana dengan kreativiti, pemanduan dan inovasi kita boleh mengubah landskap bandar menjadi ruang yang lebih sesuai untuk didiami, mesra rakyat dan lebih hijau.” katanya.


Selain Shougang Park, penulis juga berpeluang mengunjungi 751D·PARK Design Plaza yang merupakan tapak kilang gas terbiar, juga terletak di bandar raya ini yang diberi wajah baru pada 2007. 751D·PARK Design Plaza yang turut menjadi pusat pameran seni turut mengekalkan menara penyahsulfurisasi yang dibuang, landasan kereta api, koridor pengangkutan arang batu dan tangki gas, yang diubah suai menjadi restoran, kafe dan ruang riadah lain.


Sebuah kepala kereta api berusia 30 tahun menjadi simbol ikonik plaza itu bagi mempamerkan sejarah dan perkembangan kawasan berkenaan. Gerabak itu digunakan semula sebagai kafe dan bar selain menjadi tempat pilihan popular untuk penggambaran perkahwinan.


Menurut laporan China Daily pada September 2020, terdapat 100 taman perindustrian dan budaya peringkat perbandaran yang diiktiraf dan tiga puluh dua daripadanya terletak di daerah Chaoyang, yang menonjolkan kekuatan industri dan daya kreativiti daerah itu.


Tempat lain yang mengalami transformasi serupa adalah Langyuan Vintage yang dibuka pada 2010, yang menjadi zon seni kreatif di Beijing. Kawasan itu telah diubah daripada kilang peralatan perubatan lama dan syarikat pengurusan Langyuan berjaya dengan menyediakan ruang kerja dan pameran kepada profesional dan peminat dalam industri budaya dan kreatif.


Banyak lagi tapak kilang di China yang diubah suai menjadi tempat baharu antaranya Hongguang Electron Tube Factory yang diubah menjadi lokasi persembahan dan pameran, galeri dan kedai serta bar dan restoran.

Manakala Di Zhengzhou, ibu kota wilayah Henan di China Tengah, sebuah kilang pembuatan dari tahun 1980-an telah diubah menjadi taman rekreasi, yang mana dindingnya dihiasi mural untuk pengunjung bergambar.
-- BERNAMA

Nurhafizah Tan merupakan wartawan daripada Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) yang sedang mengikuti Program China Asia Pacific Press Center 2023, di bawah rangka kerja China International Press Communication Centre (CIPCC), di Beijing selama empat bulan bermula Julai.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)