Aidilfitri merupakan perayaan yang sinonim dengan amalan kunjung-mengunjung serta penganjuran rumah terbuka yang menjadi simbol keakraban masyarakat di Malaysia. Namun begitu, sambutan Aidilfitri tahun ini memperlihatkan satu fenomena menarik apabila wujud perbincangan dalam kalangan generasi muda, khususnya generasi Z, yang mula mempersoalkan bentuk pelaksanaan tradisi tersebut.
Perbincangan ini menjadi lebih ketara di media sosial apabila sebahagian generasi lama seperti generasi milenial, generasi X dan Baby Boomers dilihat kurang bersetuju dengan pandangan generasi muda yang dianggap terlalu memilih atau tidak mahu meneruskan tradisi sedia ada.
Dalam masa yang sama, terdapat juga dalam kalangan generasi muda yang mungkin kurang memahami nilai dan kepentingan tradisi tersebut dalam membina hubungan sosial.
Hakikatnya, perbezaan pandangan ini bukan sekadar konflik generasi, tetapi mencerminkan perubahan realiti sosial dan ekonomi semasa.
Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu, masyarakat kini lebih berhati-hati dalam berbelanja, sekali gus mempengaruhi cara sambutan Aidilfitri, termasuk dalam aspek menziarah dan penganjuran rumah terbuka.
Menziarah dan rumah terbuka: Menyesuaikan tradisi dalam realiti semasa
Amalan menziarah dan penganjuran rumah terbuka merupakan antara tradisi utama Aidilfitri yang mencerminkan nilai silaturahim, kemaafan serta keharmonian dalam masyarakat. Kedua-dua amalan ini telah sekian lama menjadi sebahagian daripada identiti sambutan hari raya di Malaysia.
Dalam konteks menziarah, suasana kunjungan secara berkumpulan, termasuk konvoi raya dan kunjungan secara mengejut, masih menjadi amalan yang diraikan oleh sebahagian besar masyarakat.
Tradisi ini sering dikaitkan dengan kemeriahan dan keakraban yang sukar digantikan, serta mencerminkan hubungan sosial yang rapat dalam kalangan keluarga dan komuniti.
Namun, dalam masa sama, terdapat juga kecenderungan baharu dalam kalangan masyarakat untuk menziarah secara lebih terancang, dalam kelompok yang lebih kecil atau dalam tempoh masa yang bersesuaian. Pendekatan ini muncul sebagai satu bentuk penyesuaian terhadap kekangan masa, tenaga serta keperluan untuk mengurus komitmen dengan lebih seimbang.
Dalam hal ini, kedua-dua pendekatan tidak seharusnya dilihat sebagai saling bercanggah, tetapi sebagai pilihan yang boleh disesuaikan mengikut situasi dan kemampuan masing-masing. Kemeriahan tradisi masih boleh diraikan, manakala pendekatan yang lebih terancang pula dapat membantu memastikan pengalaman beraya kekal selesa dan tidak membebankan.
Dinamika ini mencerminkan bagaimana amalan budaya berkembang secara berperingkat, selari dengan prinsip Teori Perubahan Sosial yang melihat perubahan bukan sebagai penggantian sepenuhnya, tetapi sebagai proses penyesuaian yang berlaku secara berterusan dalam masyarakat.
Dalam masa sama, pendekatan yang lebih berhemah juga dapat dilihat dalam penganjuran rumah terbuka. Keputusan kerajaan untuk tidak menganjurkan rumah terbuka Aidilfitri di peringkat agensi-agensi kerajaan pada tahun ini sebagai langkah penjimatan mencerminkan keperluan untuk lebih berhati-hati dalam perbelanjaan, selari dengan keadaan ekonomi semasa.
Walaupun tiada halangan untuk penganjuran di peringkat individu atau komuniti, situasi ini wajar dijadikan panduan bahawa sambutan Aidilfitri juga boleh dilaksanakan secara sederhana tanpa menjejaskan maknanya.
Sehubungan itu, penganjuran rumah terbuka tidak perlu dilihat sebagai satu keperluan untuk dilaksanakan secara besar-besaran, sebaliknya boleh disesuaikan mengikut kemampuan masing-masing.
Penyediaan juadah secara berpada, jemputan yang lebih terancang serta pendekatan perkongsian makanan merupakan antara alternatif yang mampu mengekalkan semangat kebersamaan tanpa memberi tekanan dari segi kos dan tenaga.
Dalam hal ini, perubahan yang berlaku bukanlah pengurangan nilai terhadap tradisi, tetapi satu bentuk penyesuaian yang membolehkan amalan tersebut terus relevan dengan realiti kehidupan masyarakat hari ini.
Etika dan adab: Keseimbangan antara tuan rumah dan tetamu
Dalam mengekalkan keharmonian sambutan Aidilfitri, aspek etika dan adab memainkan peranan yang sangat penting, sama ada sebagai tuan rumah mahupun sebagai tetamu. Dalam Islam, memuliakan tetamu merupakan antara tanda kesempurnaan iman, sebagaimana sabda Nabi SAW agar setiap Muslim memuliakan tetamunya (Riwayat Al-Bukhari: 6136).
Bagi tuan rumah, sambutan tidak perlu diukur melalui kesempurnaan atau kemewahan, sebaliknya cukup dengan layanan yang ikhlas dan mengikut kemampuan. Penyediaan juadah secara sederhana serta mengelakkan pembaziran adalah selari dengan ajaran Islam yang menekankan kesederhanaan dan keikhlasan dalam melayani tetamu.
Dalam masa sama, tuan rumah dianjurkan untuk menyambut tetamu dengan wajah yang ceria, bertutur dengan lemah lembut serta menyediakan apa yang terbaik mengikut kemampuan, tanpa bertujuan untuk bermegah-megah.
Keupayaan untuk mengurus harapan dan reaksi secara berhemah turut menjadi elemen penting agar sambutan Aidilfitri tidak bertukar menjadi beban emosi. Pendekatan yang tenang dan terbuka mampu mewujudkan suasana yang lebih harmoni antara tuan rumah dan tetamu.
Bagi tetamu pula, kehadiran seharusnya disertai dengan rasa hormat terhadap keadaan tuan rumah. Ini termasuklah meminta izin sebelum berkunjung, memilih waktu yang sesuai, serta tidak berlama-lama sehingga menyusahkan tuan rumah.
Selain itu, tetamu juga dianjurkan untuk tidak meminta sesuatu yang membebankan, menjaga tingkah laku, serta menghargai layanan yang diberikan dengan penuh kesyukuran. Amalan mendoakan kebaikan kepada tuan rumah serta menunjukkan penghargaan terhadap layanan yang diberikan juga merupakan antara adab yang dianjurkan dalam Islam.
Secara keseluruhannya, keseimbangan antara hak dan tanggungjawab antara tuan rumah dan tetamu menjadi asas kepada sambutan yang harmoni. Aidilfitri bukan tentang memenuhi jangkaan sosial, tetapi tentang membina hubungan yang tulus dan bermakna.
Pertembungan generasi: Mencari titik pertemuan
Selain itu, perbezaan pandangan antara generasi muda dan generasi terdahulu dalam menyambut Aidilfitri tidak seharusnya dilihat sebagai satu konflik yang memecah belahkan, tetapi sebagai refleksi kepada perubahan masyarakat daripada konteks tradisional kepada kehidupan moden.
Dalam masyarakat tradisional, kehidupan lebih tertumpu kepada komuniti setempat dengan corak pekerjaan yang lebih stabil dan rutin yang jelas. Walaupun cabaran kewangan tetap wujud, masyarakat terdahulu cenderung untuk meluangkan lebih masa dan usaha dalam meraikan tetamu serta menghidupkan suasana Aidilfitri.
Keutamaan yang diberikan kepada hubungan sosial dan komuniti membolehkan amalan menziarah dan menerima tetamu dilakukan dengan lebih santai dan tidak terlalu terikat dengan kekangan masa.
Sebaliknya, masyarakat masa kini berdepan dengan struktur kehidupan yang lebih kompleks. Tuntutan pekerjaan yang pelbagai, komitmen yang berterusan serta batasan masa menjadikan tempoh cuti sering kali dilihat sebagai ruang untuk berehat dan memulihkan tenaga.
Dalam konteks ini, sebahagian generasi muda cenderung untuk mengamalkan pendekatan yang lebih fleksibel dalam meneruskan tradisi, termasuk merancang kunjungan dan menyesuaikan skala sambutan.
Perbezaan ini bukanlah petunjuk kepada penolakan nilai tradisi, tetapi mencerminkan bagaimana setiap generasi menyesuaikan amalan budaya berdasarkan realiti kehidupan masing-masing. Generasi muda perlu memahami kepentingan tradisi sebagai asas hubungan sosial, manakala generasi terdahulu pula wajar menerima bahawa bentuk pelaksanaan tradisi boleh berubah mengikut keperluan semasa.
Dalam hal ini, titik pertemuan antara kedua-dua generasi terletak pada keupayaan untuk mengekalkan nilai yang sama, tetapi melalui pendekatan yang lebih anjal dan saling memahami.
Persoalannya bukan sama ada generasi muda menolak tradisi, tetapi bagaimana tradisi itu dapat terus hidup tanpa membebankan. Aidilfitri tidak pernah menuntut kesempurnaan pada bentuk, tetapi keikhlasan dalam hubungan.
Mungkin sudah tiba masanya kita berhenti mengukur “kemeriahan” melalui jumlah tetamu dan juadah, sebaliknya kembali kepada makna sebenar iaitu saling memaafkan, menghargai dan hadir dengan hati yang tulus.
-- BERNAMA
Dr Aizathul Hani Abd Hamid ialah Pensyarah Kanan,Jabatan Sains Sosial, Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).