Oleh: Dr Norizan Yusof
Dunia sedang berada dalam fasa konflik dan sengketa yang sangat dominan. Daripada sehari ke sehari ada sahaja isu baru yang timbul. Teknik penyelesaian konflik yang dijalankan ada kalanya memberi kesan kepada orang ramai. Sebagai contoh situasi perang yang tiada berkesudahan antara Israel dan Palestin yang kini hangat disebarkan. Hari sehari kita didedahkan dengan berita sedih yang menyayat hati.
Walaupun konflik ini bermula sejak 1948 lagi, masyarakat dunia tidak berhenti menyuarakan sokongan terhadap pembelaan hak asasi manusia. Malah pertolongan seantara dunia mulai kuat untuk menjaga kebajikan dan kesejahteraan mangsa perang. Perang yang sangat buruk apabila melibatkan bukan lawan seperti wanita, kanak-kanak serta pihak yang tidak terlibat dengan perang tersebut. Kesan perang yang menyerang orang ramai ini membangkitkan suara tidak puas hati masyarakat dunia secara umumnya.
Suara itu bukan hanya kerana isu pendamaian tetapi secara asasnya manusia itu didasari dengan sifat kasih sayang, simpati dan belas kasihan yang amat mendalam dalam diri mereka. Perasaan ini tidak dapat dizahirkan melalui tindakan atas dasar jarak geografi.
Oleh itu, kasih sayang diekspresi dengan tindakan termasuklah memberi kesedaran kepada masyarakat, mendoakan dengan bersungguh-sungguh, menyuarakan bantahan, membantu dari sudut kewangan serta membenci kezaliman yang wujud.
Pendamaian kemanusiaan
Apakah yang dikatakan dengan pendamaian kemanusiaan? Ia merupakan keupayaaan sekelompok komuniti untuk memulihkan hubungan dan mewujudkan kedamaian di antara individu atau kelompok yang terlibat dalam konflik atau pertikaian. Untuk mencapai kedamaian dan pendamaian kemanusiaan memerlukan persefahaman, toleransi, dan kerjasama.
Dalam situasi semasa, pendamaian kemanusiaan boleh dicapai dengan mengumpulkan suara secara bersama dalam menegakkan keadilan terhadap mangsa. Pendamaian kemanusiaan bukanlah proses yang mudah dan seringkali melibatkan komitmen jangka panjang dari semua pihak terlibat.
Melalui pendekatan holistik yang melibatkan semua aspek, proses itu akan dapat menjadi satu proses yang menekan dan menghentikan tindakan kejam yang dilakukan dan sekaligus diharapkan dapat menciptakan lingkungan yang lebih damai dan adil bagi semua.
Usaha pendamaian kemanusiaan itu dilakukan secara menyeluruh oleh semua manusia tidak kira agama, bangsa dan negara kerana sifat kemanusiaan dan kasih sayang yang mendalam dalam jiwa mereka. Sifat itu merupakan sifat fitrah yang ada dalam diri setiap manusia. Malah jika dilihat daripada susunan keperluan manusia antaranya adalah kasih sayang.
Kasih sayang ini bukan sahaja yang diterima tetapi juga yang memberi. Malah konsep memberi atau dikaitkan dengan konsep kebajikan dalam Islam ini akan lebih memberi kesan kepada pemberi berbanding penerima. Kesannya adalah pada jiwanya sendiri. Tidak hairan dalam mencapai sesuatu yang damai, kasih sayang merupakan intinya. Bukti kasih sayang itu diekspresikan melalui pelbagai cara sama ada dengan kata-kata, tindakan, mahupun sikap.
Berikut antara bentuk ekspresi kasih sayang terhadap mangsa perang:
Kata-kata Positif dan doa
Apabila berhadapan dengan orang yang sedang melalui kesedihan atau kesukaran, berusaha untuk berempati terhadap rasa yang dihadapi oleh mereka. Rasa sedih terhadap kehilangan merupakan satu perasaan yang sangat mendalam dirasai oleh seseorang. Kerana itu, sebagai manusia yang berkasih sayang, tinggalkan kata-kata positif berserta doa buat saudara yang diuji.
Menjaga tindakan
Emosi kesedihan yang dialami oleh mangsa perang adalah sangat mendalam. Oleh itu, tindakan yang dilakukan oleh seseorang perlulah sangat berhati-hati terutama dalam dunia tanpa sempadan yang membuka ruang perkongsiaan yang sangat besar. Tindakan yang dilakukan termasuk menyuarakan kebebasan buat mangsa perlu dilakukan dengan berhati-hati bagi memastikan tindakan tersebut tidak mengguris hati mangsa dan insan sekitar terutamanya saudara seakidah dengan mereka.
Menjaga sensitiviti
Berhadapan dengan situasi sukar bukanlah sesuatu yang mudah dihadapi. Kadang kala sokongan dan dokongan yang disampaikan perlulah menjaga sensitiviti mangsa. Mendengarkan dengan penuh perhatian saat seseorang berbicara. Menjaga sensitiviti emosi mangsa perang adalah aspek yang sangat penting dalam memberikan sokongan dan bantuan kepada mereka yang telah mengalami trauma perang. Memahami perasaan, pengalaman dan emosi mangsa perang adalah sangat penting seperti meletakkan diri kita sendiri yang mengalami konflik tersebut. Oleh itu, tindakan yang dilakukan perlu lebih berhati-hati.
Memberikan semangat dan motivasi
Berikan kata-kata semangat serta dorongan untuk kuatkan mangsa perang. Walaupun kita tidak berada secara fizikal bersama mereka, tetapi semangat dan motivasi yang diberikan dari jauh akan membantu memberi semangat dan kekuatan buat mangsa. Kata-kata merupakan kunci kepada kelegaan emosi yang dihadapi seseorang. Malah dalam isu perang kini, kata-kata semangat tentang syurga, jihad adalah kata-kata yang sangat memberi dorongan buat mangsa.
Menyayangi dan memahami
Cukup berada bersama mereka dalam doa serta merasai perasaan mereka. Itu kaedah memahami yang terbaik. Dalam memahami dan memberikan kasih sayang jadilah orang yang menunjukkan rasa kasih sayang dengan sikap penuh pengertian. Belajar menerima orang lain tanpa syarat dan tidak menghakimi. Belajar menerima keunikan manusia serta hargai perasaan mereka. Ekspresi kasih sayang ini dapat dilakukan dengan pelbagai kaedah berdasarkan situasi pada sesuatu masa. Apa yang penting adalah menunjukkan kepedulian, penghargaan, dan perhatian dengan tulus.
Penting untuk diingat bahawa bukti kasih sayang tidak selalu harus bersifat besar atau dramatis. Tindakan-tindakan kecil sehari-hari seperti saling menghormati, mendengarkan, dan membantu sesama manusia dalam kehidupan sehari-hari juga merupakan bagian dari pendamaian kemanusiaan.
Pendamaian kemanusiaan ini terbentuk dengan kemahiran kecil dalam kehidupan seperti kemahiran mendengar, beralah, memahami, bertolak ansur. Kemahiran yang terbentuk dalam diri ini akhirnya mencuit emosi untuk menjadi cerdas dan memahami tentang perasaan diri dan perasaan orang lain. Individu yang diajar untuk mengalah, bersyukur dan diberi kasih sayang sepenuhnya akan mampu membuahkan pertumbuhan emosi yang celik dan cerdas. Pertumbuhan emosi ini akan menyumbang kepada rasa kasih sayang sesama manusia. Ianya akan membentuk pertumbuhan selari dengan pertumbuhan spiritual seperti konsep Islam dalam Al-Quran surah Hujurat ayat ke-10 yang bermaksud “Sebenarnya orang-orang beriman itu bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat”.
-- BERNAMA
Dr Norizan Yusof ialah Pensyarah Kanan, Pusat Sains Kemanusiaan, Universiti Malaysia Pahang, beliau juga seorang kaunselor berdaftar di bawah Lembaga Kaunselor Malaysia.