SALAM DARI BEIJING

PENGEMBARAAN LEBIH MENYENANGKAN, JIMAT MASA DENGAN KERETA API HSR

22/12/2023 11:15 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Nurhafizah Tan

Oleh : Nurhafizah Tan

Ramai orang yang suka mengembara untuk melihat dunia tidak kira sama ada untuk menikmati keindahan muka bumi ciptaan Ilahi atau pun merasai budaya di tempat orang.Namun perjalanan panjang di dalam kenderaan melelahkan dan memakan masa yang sepatutnya digunakan untuk aktiviti lain.

Jadi inovasi keretapi laju atau high speed rail (HSR) yang mampu bergerak sehingga 350 km sejam tentunya mampu menjimatkan masa perjalanan selain memberi pelbagai manfaat lain termasuk lebih efisien, menjana ekonomi dan jimat tenaga. Teknologi pengangkutan yang diperkenalkan Jepun pada 1964 ini telah digunakan lebih 12 negara Eropah selama beberapa dekad antaranya United Kingdom, Perancis, Belgium dan Italy.

Di Asia, selepas Jepun, China kini menerajui dunia dengan landasan rangkaian kereta api HSR terbanyak selepas memperkenalkan sistem pertamanya pada 2003. Menurut laporan Reuters, negara Tembok Besar itu telah membina rangkaian yang menjangkau sehingga 42,000km dan kini merupakan kereta api peluru terbesar di dunia yang boleh bergerak sehingga 350 km sejam.

Rangkaian ini dijangka akan terus bertambah sehingga 50,000km menjelang 2025, dan 200,000km menjelang 2035. Buat masa ini, terdapat 16 rangkaian rel yang menghubungkan 31 dari keseluruhan 33 wilayah di China termasuk ibu kota Harbin, Hong Kong dan Kunming.

Perjalanan enam jam jadi dua jam

Peluang berada di bumi China tidak disia-siakan penulis untuk mencuba sendiri kecanggihan teknologi pengangkutan ini.Pengalaman pertama penulis adalah menuju ke Tianjin di wilayah Heibei, kira-kira 135 kilometer dari Beijing. Kalau di Malaysia bolehlah diibaratkan lebih kurang perjalanan dari Kuala Lumpur ke Melaka.

Perjalanan biasa menaiki bas biasanya mengambil masa lebih dua jam tetapi dengan menaiki HSR, ia hanya mengambil masa selama 30 minit, melibatkan penjimatan masa empat kali ganda berbanding keretapi dengan kelajuan biasa.

Walaupun harga tiket juga lebih mahal (sekitar 60 yuan, RM40 sehala) berbanding kereta api biasa dan bas, namun penjimatan masa yang begitu ketara menjadikan ia berbaloi dan boleh dijadikan pilihan kepada yang mampu.

Ini merupakan pengalaman pertama penulis menaiki HSR namun rakan-rakan yang lain pernah menaiki pengangkutan seumpamanya di negara lain. Menurut pengamal media dari Vietnam Ho Hong Hanh, HSR di China lebih besar dan luas berbanding pengalamannya menaiki South Korean Korail tujuh tahun lepas dari Seoul ke Daegu.

Ho berpandangan harga tambang dikenakan di China juga lebih berpatutan berbanding negara maju yang terlebih dahulu menawarkan perkhidmatan tersebut kepada masyarakat mereka. Selain Tianjin, penulis juga menggunakan perkhidmatan HSR untuk ke wilayah autonomi terletak di bahagian utara China iaitu Inner Mongolia.

Menurut rakan penulis Amirul Sajadi yang juga pernah mengikuti program China International Press Communication Center (CIPCC) pada 2019, beliau mengambil masa lebih enam jam dengan menaiki bas untuk ke wilayah autonomi terletak di bahagian utara China itu. Kata Amirul, pada ketika itu perkhidmatan HSR ke Inner Mongolia belum ditawarkan sebaliknya hanya terdapat bas dan kereta api kelajuan biasa.

Perjalanan sejauh hampir 500 kilometer dari Beijing ke ibu kota Hohhot, Inner Mongolia yang sepatutnya memakan masa enam jam menjadi dua jam dengan menaiki keretapi laju atau high speed rail (HSR). Harga tiket pergi balik ke Hohhot adalah sekitar 500 yuan atau lebih RM300.

Antara perkara yang membuatkan perjalanan mengggunakan pengangkutan awam di China sangat berbeza adalah pemeriksaan keselamatan yang sangat ketat. Pengguna perlu melalui sekurang-kurang dua kali tapisan pemeriksaan diri dan barangan yang juga melibatkan barisan yang panjang.

Maka perancangan masa amat penting untuk memastikan kita tidak ketinggalan kereta api. Bagi yang tidak memahami bahasa Mandarin, agak sukar juga untuk memahami tanda arah.


Tren di kawasan pergunungan Tibet dan Yunnan

Daripada semua pengalaman menaiki HSR, perjalanan di Tibet dari ibu kota Nyingchi ke Lhasa merupakan yang paling menarik. Perjalanan mengambil masa empat jam itu menyajikan pemandangan gunung-ganang yang sangat indah persis sebuah lukisan.

Malah penulis ada terjumpa satu video di Instagram menunjukkan yang penumpang tren tempatan sanggup mencuci sendiri cermin tingkap di bahagian luar untuk memastikan mereka menikmati pemandangan terbaik dari tingkap di tempat duduk.

Berbeza dengan pengalaman ke Inner Mongolia dan Tianjin, kelajuan tren maksimum yang dicapai hanya sekitar 190 km sejam disebabkan faktor muka bumi berbukit. Kadang kala kelajuan hanya mencecah 60 km sejam.

Perjalanan suka duka menghasilkan laluan tren Qinghai-Tibet ini juga dipentaskan di National Centre for the Performing Arts (NCPA), Beijing yang mana penulis turut berpeluang menyaksikan pementasan ini seminggu sebelum bertolak ke Tibet. Pementasan kira-kira dua jam itu menampilkan unsur-unsur tarian Tibet, berkisarkan persahabatan antara askar yang membina laluan kereta api tersebut dan penduduk Tibet tempatan semasa pembinaannya.

Kereta api sepanjang 1,956 km, dengan titik tertinggi 5,072 meter di atas paras laut, juga dianggap sebagai kereta api terpanjang di dunia di dataran tinggi. Ia dibuka pada 1 Julai 2006 dan telah meningkatkan perjalanan dan perdagangan kepada wilayah Tibet. Perjalanan kereta api di dataran tinggi atau berbukit ini juga dirasai ketika perjalanan dari ibu kota Lijiang ke Kunming, di wilayah Yunnan yang juga mengambil masa empat jam.

Sebenarnya perancangan awal penganjur adalah untuk memberi pengalaman menaiki kereta api dengan katil atau sleeper train Y754 yang sangat terkenal kerana keunikan dan ciri klasik. Namun memandangkan tren tersebut bakal menelan masa semalaman iaitu lebih 11 jam, jadual kemudian diubah kepada menaiki HSR akibat kekangan masa.

HSR di Malaysia?

Di Malaysia, projek HSR pertama melibatkan laluan Kuala Lumpur ke Singapura yang dicetuskan melalui Program Transformasi Ekonomi untuk mengubah Malaysia menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi masih belum terlaksana, disebabkan isu dana dan peruntukkan.

Projek ikonik itu dirangka merangkumi tujuh stesen di Malaysia iaitu Bandar Malaysia, Sepang-Putrajaya, Seremban, Melaka, Muar, Batu Pahat dan Iskandar Puteri, sebelum sampai ke destinasi terakhirnya di Jurong East, Singapura.

Kesalinghubungan itu akan membolehkan perniagaan menjadi lebih produktif dan mengakses tempat pasaran yang lebih luas. Manakala orang ramai pula dapat menikmati masa perjalanan yang lebih singkat (90 minit dari KL ke Singapura) dan selesa.

Projek KL-SG HSR juga dirangka sebagai dorongan ke arah pembangunan sosio-ekonomi di Kuala Lumpur dan bandar-bandar perantaraan di sepanjang koridor HSR, bermula dengan kelompok ekonomi yang berpusat di sekitar setiap stesen, yang sekali gus mengubah gaya hidup, gaya bekerja dan mengembara.

Pada Disember 2016, kerajaan Malaysia dan Singapura menandatangani perjanjian dua hala bagi pelaksanaan projek HSR yang melibatkan jarak 350 kilometer, tetapi projek bernilai RM110 bilion itu ditangguhkan pada September 2018.

Pada 1 Januari tahun lalu, kerajaan kedua-dua negara bersetuju menghentikan pelaksanaan projek itu kerana tiada kata putus dicapai selepas perjanjian itu tamat pada 31 Disember 2020.

Media baru-baru ini melaporkan Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata kerajaan sedang meneliti model pelaksanaan baharu bagi cadangan projek Kereta Api Kelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura. Loke berkata ini termasuk model pembiayaan baharu untuk menentukan sama ada mana-mana pihak swasta berminat untuk menampung kos projek, pengurusan sistem dan operasi HSR.

Malaysia, melalui MyHSR Corp, telah mengeluarkan RFI (permintaan maklumat) dan beberapa syarikat telah menyatakan minat dan telah menyerahkan kertas kerja selain ada yang meminta lebih masa untuk memuktamadkan cadangan mereka, menurut Loke.
-- BERNAMA

Nurhafizah Tan merupakan wartawan daripada Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) yang mengikuti Program China Asia Pacific Press Center 2023, di bawah rangka kerja China International Press Communication Centre (CIPCC), di Beijing selama empat bulan bermula Julai.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)