Oleh: Profesor Madya Ts. Dr Raja Zuraidah Raja Mohd Rasi
Pelancongan bencana merupakan satu fenomena biasa di negara-negara seperti di Amerika Syarikat, Ukraine dan negara jiran kita, Indonesia. Pelancongan bencana yang juga dikenali sebagai ‘pelancongan gelap’ ialah satu bentuk perlancongan kontroversi yang semakin popular dalam beberapa tahun ini. Menurut kajian dari World Travel and Tourism Council (WTTC), pelancongan bencana masih merupakan sebahagian kecil daripada industri pelancongan global, tetapi ia berkembang pesat dan mungkin menjadi sebahagian yang lebih penting pada masa akan datang. Ia melibatkan lawatan ke lokasi yang mengalami bencana seperti banjir, ribut atau gempa bumi. Malah, turut juga berlaku di kala terjadinya bencana akibat kecuaian manusia atau kemalangan seperti nahas pesawat atau kemalangan nuklear.
Daya tarikan pelancongan bencana
Daya tarikan pelancongan bencana adalah kerana kemampuannya untuk membolehkan pelancong menyaksikan sendiri kesan bencana yang menghancurkan, mendapat gambaran tentang ketahanan masyarakat yang terkesan atau ingin belajar sesuatu daripada sejarah dan budaya lokasi yang terjejas.
Hasil lawatan, sesetengah pelancong mungkin akan berasa belas kasihan kepada mangsa yang terbabit sekali gus menimbulkan keinginan untuk menawarkan bantuan atau sokongan. Sesetengah pelancong pula mungkin mempunyai kaitan langsung atau tidak langsung kepada bencana, seperti keluarga, rakan ataupun waris.
Contoh kawasan pelancongan bencana popular dunia adalah seperti Memorial 9/11 di Amerika Syarikat, lokasi tsunami di Acheh, Indonesia dan tapak bencana di salah satu reaktor Loji Kuasa Nuklear Chernobyl, Ukraine yang mengakibatkan pencemaran radioaktif di kawasan berhampiran.
Trend pelancongan bencana ini dilihat dapat menyumbang kepada peningkatan ekonomi setempat. Sebagai contoh, Amerika Syarikat melaporkan bahawa kawasan pelancongan Memorial 9/11 menyumbang lebih daripada USD 5.3 bilion kepada ekonomi setempat pada 2019. Manakala di Ukraine pula, hampir 46.2 ribu pelancong melawat Zon Pengecualian Chernobyl pada 2017 dan hampir 72 ribu pelancong pada tahun berikutnya. Aliran pelancong memuncak pada lebih 124.4 ribu pengunjung pada 2019, apabila minat terhadap kawasan itu dicetuskan oleh siri television HBO mengenai bencana Chernobyl.
Trend peningkatan pelancong ke kawasan bencana dapat dilihat dengan jelas yang mana terdapat 60 peratus peningkatan signifikan setiap tahun pelancong akan ke Zon Pengecualian Chernobyl tersebut.
Penyalahgunaan tragedi sebagai satu agenda pelancongan
Namun, terdapat juga sisi gelap pelancongan bencana bila mana terjadinya penyalahgunaan tragedi sebagai satu agenda keseronokan atau keuntungan peribadi. Sudah menjadi seakan-akan trend terkini, sering kali dilihat, orang ramai atau pelancong bencana berkumpul dan merakam situasi di lokasi kejadian sekali gus menjejaskan operasi mencari dan menyelamat (SAR). Sikap tidak sensitif pelancong bencana yang melawat tapak kejadian sejurus selepas kejadian menyukarkan operasi dan melambatkan pasukan penyelamat memulakan operasi. Sesiapa yang pernah menghadapi bencana, mereka maklum bahawa 24 jam pertama selepas bencana adalah tempoh yang kritikal. Pihak berkuasa terpaksa menambah skop tugas bagi menghalang pelancong bencana ke tapak bencana. Walaupun keinginan untuk membantu itu sangat terpuji, orang ramai atau pelancong seharusnya segera meninggalkan destinasi bencana sebagai langkah berjaga-jaga.
Pelancong hanya diperlukan di lapangan jika mereka adalah responden kecemasan yang terlatih, berkelayakan dan mempunyai kemahiran untuk membantu dalam operasi mencari dan menyelamat.
Selain itu, isu etika dan ketidakpekaan pelancong bencana kepada mangsa merupakan satu perkara yang perlu diambil berat. Ada pelancong bencana yang sangat teruja dan mahukan pengalaman eksklusif dengan merakam mangsa dalam keadaan fizikal dan emosi yang tidak stabil. Agenda utama pelancong bencana sebegini adalah untuk menjadi yang pertama menyiarkan gambar eksklusif kesan daripada bencana. Sikap itu menunjukkan mereka gagal menunjukkan empati yang mendalam terhadap mangsa. Mereka mungkin memperlakukan tapak bencana seolah-olah ia adalah destinasi pelancongan biasa, dengan beraksi yang tidak senonoh ketika bergambar atau mencuri barangan di lokasi bencana sebagai cenderamata.
Impak positif dan negatif pelancongan bencana
Pelancongan bencana dapat memberi impak yang positif dan negatif jika tidak diurus dengan baik. Pelancongan bencana dapat meningkatkan kefahaman dan ilmu berharga tentang masyarakat dan cara pengurusannya, dan ia harus didatangkan dengan tanggungjawab, etika dan moral. Dalam meningkatkan kesedaran tentang aspek negatif pelancongan bencana dan menggalakkan pelancongan yang bertanggungjawab, kita dapat memastikan bahawa pelawat ke tapak-tapak itu menghormati sensitiviti, menyokong usaha pemulihan dan meninggalkan kesan positif kepada komuniti yang mereka lawati.
Penulis berharap para pelancong bencana dapat meluangkan masa untuk mempelajari sejarah dan perihal bencana yang dilawati. Memahami bencana yang berlaku dan kesan jangka panjang bencana tersebut dapat meningkatkan pengalaman pelancong sekali gus menjadikan mereka lebih menghormati komuniti tempatan.
-- BERNAMA
Profesor Madya Ts. Dr Raja Zuraidah Raja Mohd Rasi ialah Ketua Centre of Research on Services and Operations Management (CRSOM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)