PENA WANITA

JADIKAN INTEGRITI SEBAGAI AZAM 2024

10/01/2024 10:19 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh: Nur Farihah Mohd Fadullah Sahimi

Sudah menjadi lumrah setiap kali datangnya tahun baharu, ramai yang akan menetapkan azam baharu.

Yang pasti, setiap tahun kita akan membicarakan tentang azam atau impian bagi meningkatkan kualiti hidup agar ia lebih baik daripada tahun sebelumnya.

Azam tahun baharu

Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Edisi Keempat, azam membawa maksud kemahuan dan cita-cita yang sangat kuat. Dalam Islam sendiri azam adalah sesuatu yang sangat digalakkan. Berdasarkan ayat 159 surah Ali-Imran, Firman Allah SWT yang bermaksud: “Apabila engkau telah berazam maka hendaklah engkau bertawakal kepada Allah SWT. Sesungguhnya Allah SWT suka kepada mereka yang bertawakal”.

Kebanyakan azam yang dibuat rata-rata tekad atau janji kita kepada diri sendiri untuk melakukan sesuatu yang positif sempena kedatangan tahun baharu. Pengalaman pada tahun sebelumnya dijadikan sebagai kayu ukur untuk membina satu tekad yang baharu.

Ada yang berazam untuk diri sendiri, keluarga, kerjaya, dan juga untuk pemantapan rohani. Namun, apa juga azam atau keinginan yang kita ingin capai pada tahun ini perlulah diselitkan sekali dengan janji pada diri sendiri untuk menjadi insan yang lebih berintegriti daripada tahun sebelumnya.

Indeks Persepsi Rasuah (CPI)

Skor Indeks Persepsi Rasuah (CPI) pada tahun 2022 yang telah dikeluarkan oleh Transparency International (TI) menunjukkan Malaysia berada di kedudukan ke-61 daripada keseluruhan negara berbanding tangga ke-62 pada tahun 2021.

Skor Malaysia telah jatuh satu mata iaitu daripada 48 mata pada tahun 2021 kepada 47 mata pada tahun 2022. Berdasarkan skor CPI, lebih tinggi skor direkodkan lebih bersih sesebuah negara daripada amalan rasuah manakala lebih rendah skor bermaksud lebih tinggi kes rasuah berlaku.

Kemerosotan skor CPI ini menunjukkan amalan rasuah masih berada pada tahap membimbangkan di Malaysia ditambah pula dengan tindakan yang sangat terhad dalam membendung aktiviti rasuah yang semakin berleluasa.

Nilai integriti

Tepuk dada tanyalah hati sendiri apakah penyumbang utama kepada peningkatan gejala rasuah ini kalau bukan disebabkan oleh nilai integriti yang kian merundum. Sebenarnya, masalah integriti masih menjadi masalah utama kepada penjawat awam di Malaysia.

Sebelum kita membincangkan tentang skop integriti yang lebih besar iaitu dalam organisasi atau integriti pada orang lain, seeloknya kita perhalusi diri sendiri terlebih dahulu.

Contoh paling mudah dalam waktu bekerja, berapa jam sahaja yang kita gunakan untuk betul-betul bekerja tanpa membuat urusan peribadi seperti bersembang, melepak, mengambil anak dari sekolah atau tadika, pergi ke bank dan segala macam urusan peribadi. Namun, kita cukup berkira sekiranya diarahkan untuk bekerja lebih masa dan “diganggu” ketika sedang bercuti.

Ada ketikanya sewaktu bekerja, hampir setiap hari kita leka dengan Whatsapp atau media sosial seperti Facebook, Instagram, Tiktok dan sebagainya. Ada ketikanya juga kita membuat kerja dengan tidak bersungguh sungguh, cincai, dan bertangguh dalam menyiapkan tugasan. Hasilnya akan memberi impak kepada kualiti kerja kita.

Keberkatan rezeki

Kita sentiasa alpa bahawa isu integriti ini berkait rapat dengan keberkatan rezeki yang kita peroleh untuk menyara keluarga. Sekiranya punca rezeki yang kita dapat adalah dengan cara yang tidak jujur dan amanah, maka rezeki yang diperoleh akan menjadi tidak berkat.

Ada orang yang bergaji besar tetapi sentiasa merasa tidak cukup, ada juga yang ditimpa musibah seperti kereta kerap rosak, ada juga yang mengalami masalah rumahtangga dan ada juga yang sentiasa gagal dalam melaksanakan tugasan. Semua itu musibah yang diturunkan oleh Allah SWT sebagai peringatan kepada kita untuk bermuhasabah diri dan semak punca rezeki yang diperoleh.

Tidak terlambat lagi untuk kita sematkan dan didik hati membentuk akhlak yang baik untuk menjadi insan yang lebih berintegriti pada tahun ini. Mulakan dengan hadir lebih awal ke pejabat, tidak membuat perkara yang sia-sia, melaksanakan tugas yang diamanahkan dengan itqan (tekun) serta menyiapkan tugasan mengikut tempoh yang diberikan.

Untuk menjadikan seseorang insan itu berintegriti, cukup hanya dengan mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan seperti petikan kata mutiara penulis British terkenal, C.S Lewis “Integriti adalah melakukan perkara yang betul, walaupun tiada siapa yang melihatnya”

Akhir kata, saya menyeru untuk kita bersama-sama menanamkan azam dan sematkan tekad untuk menjadi insan yang hanya ingin melaksanakan kebaikan dan mencegah kemungkaran kerana itulah antara kewajipan kita sebagai hamba Allah SWT.

-- BERNAMA

Nur Farihah Mohd Fadullah Sahimi ialah Pegawai Integriti di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)