TINTA MINDA

AL-NAQA’: PENYELESAIAN BAGI WANITA BERHAID SEMPURNAKAN TAWAF KETIKA HAJI DAN UMRAH

14/02/2024 09:07 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Dr Raihanah Azahari

Oleh: Dr. Raihanah Azahari

Naqa’ ialah “tiada darah” atau waktu berhentinya darah (dalam dan luar faraj). Darah ini terhenti semasa kitaran haid, sama ada dalam tempoh kebiasaan haid (contohnya 7 hari bagi sesetengah wanita) atau dalam tempoh maksimum haid (15 hari). Dalam hal ini, terdapat dua pandangan dalam mazhab Syafi’i.

Pertama, menurut pandangan al-Azhar (pandangan muktamad) dalam mazhab Syafi’i waktu darah keluar dan waktu darah berhenti dalam tempoh haid adalah semuanya dikira sebagai haid. Ini bermaksud keseluruhannya, waktu darah berhenti atau bersih (naqa’) di antara tempoh kitaran haid dikira haid. Sebagai contoh ia boleh digambarkan seperti berikut: A datang haid selama 5 hari, pada hari keenam dan ketujuh haidnya berhenti, (bersih luar dan dalam faraj) dan pada hari ke lapan haidnya keluar kembali sehinggalah hari ke-10. Mengikut pandangan ini, kesemua tempoh dari hari pertama sehingga hari ke-10, wanita tersebut dalam keadaan berhaid dan dia dilarang melakukan ibadat-ibadat yang harus dilakukan oleh orang yang dalam keadaan suci.

Kedua, menurut pandangan muqabil al-Azhar (pandangan ini juga berasaskan dalil yang kuat, tetapi pendapat al-Azhar berdasarkan dalil yang lebih zahir daripada muqabilnya) naqa’ antara tempoh haid dihukumkan sebagai suci. Ia boleh digambarkan sebagaimana berikut: A datang haid selama lima hari, pada hari keenam dan ketujuh haidnya berhenti, (bersih luar dan dalam faraj) dan pada hari kelapan haidnya keluar kembali sehinggalah hari ke-10. Mengikut pandangan kedua ini, hari-hari keenam dan ketujuh haid tersebut berhenti, A dikira berada dalam keadaan suci. Manakala hari-hari pertama hingga kelima serta hari kelapan hingga ke-10, A berada dalam keadaan berhaid. Pandangan ini diamalkan dalam pelaksanaan solat, puasa, tawaf dan dihalalkan baginya untuk bersetubuh pada masa naqa’. Bagaimana pun menurut ijmak ulama tempoh naqa’ tidak diambil kira (tidak dihukumkan suci) untuk kiraan iddah.

Berdasarkan penjelasan ini, Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan (MHPK) ke-40 pada 23-25 Oktober 2023 memutuskan untuk mengguna pakai pandangan muqabil al-Azhar di dalam mazhab Shafi’i, iaitu seseorang itu dikira suci pada waktu naqa' secara mutlak, tanpa terikat dengan tempoh menunggu selama 24 jam untuk pengesahan suci daripada haid. Jemaah boleh menggunakan tempoh naqa' tersebut untuk menyelesaikan ibadat umrah atau haji seperti tawaf. Walaupun jemaah masih lama di Makkah ataupun masih panjang masa untuk ke tarikh wukuf, penggunaan tempoh naqa' ini tetap boleh dilakukan.

Oleh itu, jemaah wanita yang memperoleh waktu naqa' ketika dalam tempoh kebiasaan haid atau dalam tempoh maksimum haid, boleh menggunakan pandangan muqabil Al-azhar di dalam mazhab Shafi’i untuk meyelesaikan tawafnya. Dalam tempoh tersebut juga, jemaah boleh melakukan ibadat-ibadat solat, puasa dan lain-lain. Semua ibadatnya yang dilaksanakan semasa tempoh naqa’ seperti solat, puasa dan tawaf adalah sah. Kecuali naqa’ tidak diambil kira untuk menyelesaikan tempoh iddah. Juga dihalalkan baginya bersetubuh pada waktu tersebut. Sekiranya haid datang kembali dia dianggap berada dalam keadaan tidak suci dan ini menghalangnya daripada melakukan semua ibadat yang diharuskan semasa suci. Bagaimanapun, jemaah hendaklah memastikan dia benar-benar suci dalam dan luar faraj dan kemudian mandi wajib sebelum melaksanakan ibadat-ibadat yang dinyatakan.

-- BERNAMA

Dr. Raihanah Azahari ialah Ahli Jawatankuasa Penasihat Ibadat Haji Lembaga Tabung Haji/Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)