Oleh: Dr Zulkifli Hasan
Meneliti realiti dunia hari ini dengan dinamika kemajmukan dan kepelbagaian, ia menuntut kepada keberanian zaman menerusi pendekatan berhikmah dan kekuatan ilmu untuk membina negara dan mewujudkan masyarakat yang harmoni. Isu demi isu yang menyentuh sensitiviti kaum dan agama terus menguji perpaduan dan keharmonian rakyat Malaysia.
Baru-baru ini, kempen #kitakawan telah dilancarkan bagi mencetuskan gelombang positif kehidupan bersama di Malaysia. Dalam konteks ini, Fiqh al-Ta’ayush perlu diarusperdanakan dan diwacanakan secara meluas di Malaysia bagi memberikan kefahaman yang dinamik dan progresif mengenai tatacara hidup menangani dan meraikan kepelbagaian.
Al-Ta’ayush menyeru kepada kewujudan bersama (al-wujud al-mutazamin) dalam kalangan semua manusia dalam suasana persaudaraan dan toleransi dalam kalangan semua rakyat tanpa mengira bangsa, warna kulit dan kepercayaan.
Al-Ta’ayush dalam erti kata lain merujuk kepada kefahaman dalam kewujudan bersama antara satu sama lain dalam keadaan kasih sayang dan harmoni. Ini selaras dengan prinsip persaudaraan atas dasar kemanusiaan (al-ukhuwah al-insaniyyah) dan kewajipan berbuat baik kepada semua.
Sahifah Madinah Asas Fiqh al-Taayush
Asas fiqh al-Ta’ayush ini sebenarnya sudah pun terukir kukuh dalam Sahifah Madinah atau Piagam Madinah yang dimeterikan pada Tahun Pertama Hijrah bersamaan 622M di mana 23 fasal membicarakan tentang hubungan antara umat Islam sesama umat Islam iaitu antara Ansar dan Muhajirin dan 24 fasal yang berbaki membicarakan tentang hubungan umat Islam dengan umat bukan Islam.
Antara kandungan Sahifah Madinah yang relevan disebutkan di sini.
Sahifah Madinah memperlihatkan kepelbagaian dalam bingkai kesatuan (al-tanawwu` fi itar al-wihdah).
Inilah asas kepada al-Ta’ayush yang mampu mewujudkan keamanan dan kedamaian dalam kehidupan bernegara dan masyarakat. Rasulullah SAW telah menjadikan Piagam Madinah sebagai perlembagaan pertama di dunia mendahului Magna Carta.
Sahifah Madinah meletakkan asas sebuah daulah yang tidak mendiskriminasikan antara warganegaranya daripada aspek agama, keturunan, bangsa dan kepelbagaian. Sahifah Madinah dengan jelas meletakkan tanggungjawab memelihara negara sebagai amanah kepada semua warganegara.
Secara umumnya, Sahifah Madinah adalah rujukan Asas Jaminan Hak Minoriti, prinsip universal Islam, meraikan kepelbagaian Bersama sebagai satu umat sewarganegara, terbentuk hasil persefahaman dan persetujuan bukannya peperangan, mengangkat prinsip Rahmah, hikmah, adil dan maslahah dan menjamin hak dan tanggungjawab warganegara.
Al-Taayush Bersifat Sejagat dan Inklusif
Al-Ta’ayush kini menjadi dasar dan gagasan beberapa organisasi peringkat antarabangsa seperti Deklarasi Marrakesh 2016.
Persidangan ke-23 Majma al-Fiqh al-Islami al-Dawli yang diadakan di Madinah al-Munawarrah 19-23 Safar 1440 mengangkat konsep al-Ta’ayush ini di mana resolusi no. 229 (13/23) meletakkan al-Ta’ayush al-karim sebagai kerangka keharmonian dalam kepelbagaian. Dalam konteks Malaysia, Mesyuarat Khas Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan pada 3 Disember 2018 juga memutuskan bahawa konsep Fiqh al-Ta’ayush adalah penyelesaian yang diterima bagi mewujudkan hubungan yang lebih sejahtera dan aman masyarakat berbilang bangsa dan agama di Malaysia.
Al-Ta’ayush Manhaj Maliziy (Kewujudan Bersama Acuan Malaysia)
Di samping merujuk kepada konsep al-Ta’ayush dari perspektif nas, orang Melayu juga mempunyai amalan dan model al-Ta’ayush yang tersendiri.
Islam mengiktiraf adat resam dan budaya baik yang ada pada sesuatu bangsa atau masyarakat. Beberapa amalan dan budaya orang Melayu adalah amat selari dengan ajaran Islam seperti konsep Sejahtera dan Muhibah. Mungkin sudah sampai masanya kita juga mempopularkan istilah dan konsep keamanan orang Melayu kepada dunia.
Jika orang Jepun terkenal dengan Kaizen dan Ikigai, Hyggae-Denmark, Lagom-Sweden,Ubuntu-Afrika Selatan dan ia terpakai dan popular di seluruh dunia, mengapa tidak kita orang Melayu berbangga dengan amalan dan falsafah kehidupan yang selari dengan ajaran Islam seperti sejahtera dan muhibah.
Tunku Abdul Rahman Perdana Menteri Pertama Malaysia pernah mempopularkan dan mempromosikan konsep ‘muhibah’ dalam memupuk perpaduan kaum dalam negara yang berbilang bangsa dan agama.
Tema ‘sejahtera’ juga pernah dipopularkan bagi mempromosi gagasan kelestarian dan kemakmuran. Dalam konteks ini, sejahtera juga merujuk kepada keamanan dan keselamatan merangkumi ketenteraman di dunia dan di akhirat.
Seiring dengan makna al-Taayush, muhibah dan sejahtera juga mengandungi makna yang hampir sama dengan pengertian kekeluargaan, kebersamaan, cinta dan kasih sayang, simpati dan empati, hormat menghormati dan kesopanan, ketenteraman dan keamanan.
Al-Waqi` al-Malizi (Realiti Malaysia)
Fiqh al-Ta’ayush perlu dilihat dalam konteks realiti Malaysia. Ia berbeza di negara majoriti bukan Islam yang lebih sesuai dibicarakan dalam konteks Fiqh al-Aqalliyyat (Fiqh Minoriti).
Dalam konteks Malaysia, orang bukan Islam adalah al-muwatinun (warganegara) kerana mereka adalah warganegara yang sah dari sudut undang-undang dan Perlembagaan.
Perkara 8 Perlembagaan Malaysia secara jelas menyebut bahawa semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama rata di sisi undang-undang.
Orang bukan Islam bebas mengamalkan budaya dan agama mereka dalam sebuah negara dengan syarat tidak memberi mudarat kepada orang lain.
Konsep al-Ta’ayush ini menganjurkan bahawa orang bukan Islam boleh sama-sama menikmati hak dan sama-sama memikul tanggungjawab sebagai seorang warga negara yang dijamin di dalam perlembagaan persekutuan dan juga berkongsi komitmen mempertahankan kedaulatan negara.
Al-waqi` al-Malizi ini mengambil kira dinamika nas dari sudut teks dan konteks mengambil realiti tersendiri keMalaysiaan yang mungkin tiada di tempat-tempat lain.
Al-Taayush Dengan Bukan Muslim
Al-Ta’ayush juga hendaklah berlaku dalam suatu perkara yang baik atau makruf bukan mungkar, dan tidak memudaratkan pihak lain. Rasulullah SAW sendiri menganggotai hilf al-fudhul iaitu sebuah pakatan di kalangan orang-orang musyrikin untuk memelihara keamanan dan melindungi golongan mustad`afin.
Malahan, ada riwayat memetik hadith yang disabdakan oleh Rasulullah SAW bermaksud “Aku menghadiri satu perjanjian di rumah Abdullah bin Jud’an. Tidaklah ada yang melebihi kecintaanku kepada unta merah kecuali perjanjian ini.
Sekiranya aku diajak menyepakati perjanjian ini pada masa Islam, nescaya aku akan mendatanginya (Riwayat al-Baihaqi, al-Sunan al-Kubra).
Hadith ini membuktikan bahawa adalah harus untuk bekerjasama hatta dengan orang bukan Islam selagi mana ia mengajak perkara yang makruf dan meninggalkan perkara yang mungkar.
Kerjasama ini adalah selari dengan semangat al-Ta’ayush saling tolong menolong lengkap melengkapi demi mewujudkan masyarakat yang aman dan harmoni. Allah swt berfirman yang bermaksud:
“Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tiada memerangimu kerana agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil.” (Surah al-Mumtahanah: 8)
Al-Taayush Membina Malaysia MADANI
Konsep fiqh al-Ta’ayush al-Silmi, perlu dijadikan tema perbincangan dan diberikan ruang yang sewajarnya untuk dijadikan satu pendekatan yang lebih segar dan berkesan khususnya dalam mengolah semula konsep ukhuwah dan hubungan semasa Muslim dan bukan Muslim.
Konsep fiqh al-Ta’ayush al-Silmi ini perlu diserapkan secara berhikmah dalam sistem Pendidikan di Malaysia.
Naratif perpaduan dan keharmonian akan dapat direalisasikan menerusi fiqh al-Ta’ayush di mana masyarakat mengiktiraf kewujudan bersama menghormati kepelbagaian dan perbezaan. Dengan semangat Ramadhan dan Eidulfitri tahun ini, penulis ingin mengajak semua menghayati Fiqh al-Ta’ayush al-Silmi yang membawa gagasan rahmah dan kasih sayang mewujudkan masyarakat yang saling memahami, saling mempercayai, menerima kepelbagaian, menghormati perbezaan, semangat toleransi dan saling melengkapi antara satu sama lain.
--BERNAMA
Senator Dr Zulkifli Hasan ialah Timbalan Menteri, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).