Sempena Hari Bumi pada 22 April 2024
Oleh: Dr Izwan Harith Md Ithnan & Dr Mohd Yahya Mohamed Ariffin
Hari Bumi merupakan acara tahunan yang disambut pada 22 April di seluruh dunia bertujuan meningkatkan kesedaran dan memupuk rasa tanggungjawab masyarakat tentang kepentingan melindungi dan memelihara alam semula jadi. Disamping itu, memberi peluang untuk kita semua merenungkan hubungan di antara manusia dengan alam persekitaran.
Meraikan Hari Bumi sebagai usaha berterusan mempromosikan serta meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan pemeliharaan alam persekitaran yang berada di sekeliling kita. Selain itu, untuk mengingatkan bahawa setiap individu berperanan untuk menjaga dan melindungi bumi yang diduduki ini dalam kehidupan seharian masing-masing.
Umum mengetahui dan sedar bahawa masyarakat yang sihat turut bergantung pada ekosistem yang berfungsi dengan baik untuk menyediakan udara dan air yang bersih. Namun, wujud segelintir manusia melakukan tindakan-tindakan negatif yang memudaratkan bumi dan memusnahkan alam sekitar.
Kemusnahan alam sekitar telah menyebabkan berlaku perubahan iklim (climate change) kepada bumi. Perubahan iklim memberi kesan terhadap persekitaran fizikal, ekosistem, kehidupan manusia serta haiwan.
Dalam konteks tempatan, fenomena perubahan iklim amat berkait dan memberi kesan kepada aktiviti ekopelancongan yang merupakan antara sumber pendapatan penting kepada Malaysia. Hal ini kerana, alam sekitar yang kita miliki ini merupakan pemangkin kepada ekopelancongan negara.
Ekopelancongan
Ekopelancongan merupakan salah satu produk pelancongan yang semakin popular dewasa ini, bukan sahaja di luar negara malah di Malaysia. Ekopelancongan berbeza dengan pelancongan buatan manusia seperti di Menara Berkembar KLCC dan Menara Kuala Lumpur. Ia juga berbeza dengan konsep pelancongan massa (mass tourism) yang hanya memberi tumpuan dalam mempromosi dan membangunkan destinasi pelancongan tanpa mengambil kira tentang penjagaan alam sekitar.
Hal ini kerana ekopelancongan adalah berkonsepkan alam semula jadi dan melibatkan elemen pendidikan dan pembelajaran kepada pelancong dan penduduk tempatan melalui kepentingan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar dan dalam masa yang sama menyumbang kepada ekonomi setempat. Disamping itu, mereka boleh berhibur, merasai keseronokan dan menikmati keindahan alam yang indah dan nyaman.
Justeru, kewujudan aktiviti ekopelancongan ini boleh diterapkan untuk melindungi alam semula jadi, hidupan liar, dan pelbagai jenis spesies di hutan di samping dapat membantu penduduk tempatan menjadi sebuah masyarakat yang cakna dan berpendidikan dengan menyedari akan kepentingan memelihara sumber yang ada di hutan semula jadi yang merupakan khazanah yang amat berharga kepada kita dan generasi pewaris.
Ekopelancongan yang berunsurkan alam semula jadi ini merupakan salah satu inisiatif pelancongan yang dipraktikkan pada masa kini, lebih-lebih lagi tatkala bumi kita sedang berdepan dengan cabaran dan masa depan yang kritikal.
Bagi meminimumkan impak negatif ke atas alam sekitar, sumber ekopelancongan ini perlu dibangunkan secara terjaga bagi memastikan keindahan alam semula jadi terus terpelihara. Aktiviti ekopelancongan akan memberi peluang kepada para pelancong untuk melawat ke tempat-tempat yang dimajukan sebagai destinasi untuk menyemai dan membangkitkan semangat penghargaan dan kepekaan kepada alam sekitar. Hal ini kerana betapa pentingnya memulihara dan memelihara alam sekitar yang amat bernilai dan tiada galang-gantinya sekiranya dicemari dan dirosakkan.
Pelancong
Selaras dengan dasar pelancongan negara yang mengutamakan ekopelancongan sebagai salah satu segmen pertumbuhan utama, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya telah menyasarkan 27.3 juta ketibaan pelancong asing pada 2024 berbanding 20.1 juta tahun 2023. Unjuran pendapatan pelancongan tahun ini pula berjumlah 102.7 bilion berbanding 71.3 bilion tahun lepas.
Kerajaan melalui Dasar Pelancongan Negara 2020-2030 telah menyasarkan untuk menjenamakan Malaysia sebagai 'Top of The Mind Ecotourism Destination of the World’ dengan memanfaatkan hutan hujan dan rizab bakau yang luas di Malaysia. Tambahan pula, Dasar Pelancongan Negara 2020-2030 yang dilancarkan pada penghujung Disember 2020 menjadi asas dan lonjakan ke arah menjadikan Malaysia sebagai ‘Destinasi Eko-pelancongan Terbaik Dunia’.
Kini, terdapat banyak destinasi ekopelancongan yang telah wujud di Malaysia bertujuan memberi pengalaman kepada para pelancong tempatan dan luar negara untuk menikmati keindahan semula jadi. Antara yang popular ialah Taman Negara Kuala Tahan, Pahang, Taman Negara Pulau Pinang, Pulau Perhentian dan Pulau Redang, Terengganu dan Taman Negara Gua Mulu di Sarawak.
Selain itu, Taman Geo Kilim Karst, Langkawi, Kedah, Pulau Sipadan dan Pulau Mabul, Sabah, Firefly Park Kuala Selangor dan banyak lagi destinasi ekopelancongan yang telah dan akan dikenal pasti untuk dibangunkan. Negeri Sembilan yang menempatkan Universiti Sains Islam Malaysia juga mempunyai daya tarikan ekopelancongan yang kaya dengan flora dan fauna yang mempesona seperti PD Forest Sungai Menyala, Taman Negeri Kenaboi di Jelebu dan Taman Eko Rimba Ulu Bendul.
Lebih menarik, Malaysia memiliki beberapa Tapak Warisan Dunia UNESCO yang telah diwartakan, iaitu Taman Kinabalu dan Taman Negara Gunung Mulu yang mempamerkan keindahan biodiversiti yang asli. Pulau Langkawi dan Taman Kinabalu juga telah diiktiraf sebagai Geopark Global UNESCO.
Usaha memulihara dan memelihara alam sekitar ini adalah agenda penting bagi memastikan bumi kita ini senantiasa terpelihara. Tambahan pula, kelestarian alam sekitar amat berkait-rapat dengan survival manusia. Sekiranya manusia berterusan melakukan kerosakan terhadap alam sekitar seperti penebangan hutan secara berleluasa dan tidak terkawal akan mengakibatkan berlakunya ketidakseimbangan biodiversiti.
Keadaan ini tentunya memudaratkan kesihatan dan kesejahteraan manusia melalui pencemaran udara, penularan penyakit serta kejadian cuaca yang ekstrem. Seterusnya, akan mengakibatkan berlakunya krisis yang lebih besar seperti isu ketidakjaminan sumber makanan dan pencemaran sumber minuman yang amat penting kepada kehidupan manusia.
Menurut perspektif Islam, menjaga alam sekitar merupakan perkara yang amat dituntut di mana ianya merupakan Maqasid Syariah yang menjaga al-dharuriyat al-khams merangkumi nyawa, akal, keturunan, harta dan agama.
Jelas bahawa, Hari Bumi mampu meningkatkan kesedaran mengenai pentingnya alam sekitar dalam kehidupan manusia serta wujud hubungan rapat di antara manusia dengan persekitaran ciptaan Allah SWT. Pemeliharaan alam sekitar pastinya menjadi pemangkin eko-pelancongan seterusnya penyumbang kepada pendapatan negara.
--BERNAMA
Dr Izwan Harith Md Ithnan ialah Ketua Program Pengurusan dengan Pelancongan, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai Negeri Sembilan.
Profesor Dr Mohd Yahya Mohamed Ariffin ialah Dekan, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai Negeri Sembilan.