Oleh: Muhamad Aiman Abu Hassan dan Kamarul Aini Hassan Basri
Dalam masyarakat yang semakin kompleks dan berkembang pesat seperti Malaysia, memahami undang-undang dan peraturan adalah satu keperluan yang semakin penting. Namun, masih banyak yang menganggap bahawa pengetahuan tentang undang-undang hanya relevan bagi mereka yang berkecimpung dalam bidang undang-undang atau kehakiman sahaja. Hakikatnya, setiap individu perlu mengenal asas undang-undang kerana ia mempengaruhi setiap aspek kehidupan kita daripada cara kita berinteraksi dengan orang lain hingga keputusan yang kita buat setiap hari.
Cakna terhadap undang-undang
Dalam konteks Malaysia, warganegara perlu cakna dengan peraturan dan undang-undang yang mengatur kehidupan harian mereka. Ini termasuklah undang-undang berkaitan pengangkutan, keselamatan jalan raya, kesihatan awam termasuk undang-undang berkaitan hak asasi manusia. Memahami undang-undang ini adalah penting bagi setiap individu untuk mengelak daripada melakukan kesalahan yang tidak disengajakan dan juga untuk melindungi hak dan kepentingan mereka. Perlu difahamkan daripada sudut undang-undang, “ignorance of the law is no excuse” yang memberi makna bahawa tidak tahu akan undang-undang tidak boleh dijadikan alasan untuk mengelak daripada dikenakan tindakan undang-undang. Apabila asas fahaman ini dapat ditanam seawal bangku sekolah, masyarakat dapat memastikan diri mereka sentiasa cakna akan undang-undang dan peraturan. Mereka akan lebih berhati-hati dalam membuat satu tindakan kerana setiap perbuatan akan ada impak khususnya daripada sudut undang-undang.
Memahami hak individu yang diperuntukkan undang-undang
Pendidikan tentang undang-undang tidak hanya tentang memahami peraturan yang perlu dipatuhi, tetapi juga tentang hak-hak yang diberikan kepada individu di bawah undang-undang. Ini termasuk hak untuk mendapat akses kepada pendidikan, kesihatan, dan keadilan seperti yang termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan dan akta-akta yang berkaitan. Dengan pemahaman yang kukuh tentang hak-hak ini, individu dapat melindungi diri mereka sendiri daripada penyalahgunaan dan eksploitasi serta membuat keputusan yang lebih berkesan dalam kehidupan mereka. Sayangnya, sehingga hari ini, masih ramai golongan dewasa masih tidak jelas dengan hak individu yang diperuntukkan kepada mereka. Sebagai contoh, mengimbas kembali kisah seorang individu yang didakwa di mahkamah kerana membunuh seorang lelaki yang cuba merompaknya atas dasar untuk mempertahankan diri di Terengganu. Namun, tindakannya itu disebut mahkamah sebagai tidak munasabah dan melampaui daripada yang sepatutnya kerana menikam perompak tersebut beberapa kali. Insiden ini diklasifikasikan sebagai membunuh, bukan mempertahankan diri. Menurut Seksyen 99 (4) Kanun Keseksaan, sesuatu tindakan itu tidak dianggap sebagai mempertahankan diri jika melampuai daripada yang sepatutnya dan disengajakan atas tujuan tersebut. Oleh itu, pengetahuan asas seperti kaedah dan situasi yang membenarkan individu untuk mempertahankan diri sekiranya terdapat ancaman juga ada batasnya. Peruntukan undang-undang ini perlu diketahui umum serta lebih baik sekiranya perkara ini didedahkan seawal bangku sekolah.
Sebagai medium pendedahan dan kesedaran
Pendedahan awal terhadap undang-undang juga penting untuk memberi kesedaran kepada individu tentang kesan daripada tidak mematuhi peraturan dan undang-undang. Kesedaran ini harus dimulai seawal mungkin dalam pendidikan seseorang. Sekiranya seseorang tidak patuh kepada undang-undang, ia tidak hanya boleh mengakibatkan kesan undang-undang, tetapi juga boleh menyebabkan kemudaratan kepada diri sendiri dan masyarakat secara keseluruhan. Oleh itu, pendidikan awal tentang undang-undang dapat membantu mengurangkan kadar pelanggaran undang-undang dan meningkatkan kesedaran tentang kepentingan mematuhi peraturan.
Pendidikan undang-undang perlu bersifat inklusif
Selama ini, pendidikan tentang undang-undang sering dilihat sebagai perkara eksklusif yang hanya disediakan di peringkat pendidikan tertiari, seperti universiti atau kolej undang-undang. Walau bagaimanapun, adalah penting untuk mengakses pendidikan undang-undang seawal mungkin dalam pendidikan formal. Ini boleh dilakukan dengan memasukkan mata pelajaran undang-undang ke dalam kurikulum sekolah rendah dan menengah. Walaupun pengetahuan ini boleh diakses di internet atau melalui bacaan, namun itu hanya melibatkan segelintir murid sahaja. Persoalaannya ialah bagaimana kerajaan boleh memastikan semua murid terlibat secara langsung dengan pengetahuan undang-undang? Jawapannya adalah melalui aliran perdana iaitu menerusi kurikulum di peringkat sekolah. Dengan cara ini, setiap individu, tanpa mengira latar belakang sosial atau ekonomi mereka, dapat memiliki akses kepada pengetahuan undang-undang yang penting untuk berfungsi sebagai warganegara yang bertanggungjawab.
Rumusan
Meningkatkan kesedaran dan pemahaman tentang undang-undang dalam kalangan rakyat Malaysia adalah penting untuk memastikan perlaksanaan undang-undang yang adil dan berkesan di negara ini. Melalui usaha-usaha untuk memperkuat pendidikan undang-undang, memberikan pendedahan tentang hak-hak individu serta memberikan kesedaran tentang kesan daripada tidak mematuhi undang-undang, kita dapat membentuk masyarakat yang lebih berpengetahuan, bertanggungjawab dan adil untuk semua.
--BERNAMA
Muhamad Aiman Abu Hassan ialah Penolong Pendaftar, Kolej Pengajian Kejuruteraan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Kamarul Aini Hassan Basri ialah Penolong Pendaftar Kanan, Bahagian Pengambilan Pelajar, UiTM.