Ingin menyambung pengajian? Sekiranya anda bercita-cita untuk menjadi ahli teknologis, teknikal atau usahawan, jadikan bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) pilihan utama. Bersesuaian dengan konsep dan gagasan Malaysia Madani, keperluan sumber manusia dalam TVET adalah tinggi. Secara umumnya, bidang TVET adalah pemacu industri dan seterusnya sebagai pemangkin dalam memastikan sesebuah negara kekal berdaya saing di peringkat global. Melalui laman sesawang TVET Madani (www.tvet.gov.my), maklumat-maklumat berkaitan TVET dapat diperoleh dengan pantas dan mudah. Melalui laman sesawang ini, pengguna akan dapat mengetahui pelbagai informasi berkaitan TVET di Malaysia, antaranya adalah institusi TVET, kursus TVET dan carian pekerja mahir.
Keperluan tenaga mahir
Kenapa perlu memilih bidang TVET? Sejajar dengan perkembangan semasa, dengan pelbagai usaha yang dibuat oleh pemimpin negara dalam mencari potensi pelabur industri dari pelbagai negara, keperluan tenaga pekerja mahir dalam pelbagai bidang adalah tinggi. Hal ini memberikan kelebihan kepada graduan TVET disebabkan oleh pihak kerajaan sentiasa memberikan perhatian tehadap bidang ini, sama ada dari segi pembangunan kurikulum, institusi, fasiliti, kemudahan dan dana yang disediakan bagi memupuk minat belia-belia menceburi bidang TVET.
Graduan TVET mempunyai peluang pekerjaan yang amat baik, yang mana ia sentiasa menjadi pilihan majikan disebabkan oleh kemahiran secara hands-on yang telah diterima semasa pengajian dan cekap dalam bidang kemahiran yang diceburi. Hal ini memberikan kelebihan kepada graduan untuk memasuki alam pekerjaan.
Bidang TVET adalah bidang yang sangat luas skop dan perspektifnya, meliputi pelbagai industri dan sektor yang berkaitan. Melalui statistik terkini (Rujuk: TVET Madani), terdapat 12 kementerian menyediakan program-program berkaitan TVET, bermula peringkat sijil, melibatkan 686 institusi awam seluruh Malaysia. Antara sektor yang memerlukan graduan TVET adalah automotif, pembuatan, pembinaan, elektrik dan elektronik, pelancongan, pelbagai jenis teknologi, penerbangan, perbankan, jualan, logistik, fesyen, perikanan dan lain-lain. Melihat kepada data semasa, ia menunjukkan graduan TVET dapat memasuki alam pekerjaan yang pelbagai bergantung kepada bidang pengajian kemahiran yang diambil, sama ada bidang teknikal, kreatif atau persijilan yang memerlukan kepakaran.
Bersesuaian dengan teknologi semasa, perubahan terhadap keperluan kemahiran terkini perlu dipertimbangkan. Bidang TVET sentiasa bergerak seiring dengan dengan perkembangan teknologi terkini disebabkan oleh keperluan industri. Hal ini memberikan kelebihan kepada graduan TVET yang sentiasa dilengkapkan dengan ilmu pengetahuan yang diperlukan dan mengikut bidang kemahiran masing-masing.
Dunia tanpa sempadan, graduan TVET bukan sahaja menjadi pilihan majikan sebagai pekerja tetapi graduan TVET juga berkebolehan untuk menjadi seorang majikan dengan mencipta peluang pekerjaan. Dengan pengetahuan, ilmu kemahiran dan kepakaran yang ada graduan TVET boleh mengaplikasikan kemahiran mereka untuk memulakan perniagaan. Sebagai contoh bengkel kenderaan, bengkel penyejukan dan penyamanan udara, menyediakan perkhidmatan pembinaan dan lain-lain. Pendek kata, graduan TVET dilengkapkan dengan pelbagai ilmu, seterusnya meningkatkan keyakinan diri dalam menceburi bidang masing-masing.
Melalui bidang TVET, Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) turut ditawarkan dari pelbagai intitusi TVET. Peluang-peluang ini dapat memberikan nilai tambah kepada graduan TVET dengan mempertingkatkan kemahiran atau menceburi bidang-bidang kemahiran baharu yang diminati.
Peluang menyambung pelajaran
Bidang TVET juga menyediakan peluang kepada graduan TVET untuk menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Di bawah payung Kementerian Pendidikan Tinggi, terdapat empat universiti yang bernaung di bawah Rangkaian Universiti-Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) iaitu Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, Universiti Teknikal Malaysia Melaka, Universiti Malaysia Perlis dan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah. Universiti-universiti ini menyediakan peluang kepada graduan TVET untuk menyambung pengajian ke peringkat ijazah pertama dengan pelbagai kursus yang ditawarkan. Contohnya UTHM menawarkan ijazah pertama TVET dalam pelbagai program, antaranya Sarjana Muda Teknologi Perkhidmatan Makanan dengan Kepujian, Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan (Pembuatan Pesawat) dengan Kepujian, Sarjana Muda Teknologi dalam Pemesinan Industri dengan Kepujian, dan lain-lain.
Dalam memastikan hasrat negara ke arah Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals), pendidikan berkualiti adalah antara elemen yang menyumbang kepada hasrat kerajaan dalam meningkatkan ekonomi negara ke arah negara berpendapatan tinggi. Melalui bidang TVET, ianya mampu direalisasikan dengan kemahiran dan kepakaran tinggi yang ada pada graduan TVET, sekali gus dapat memberikan pulangan gaji yang lebih tinggi. Bidang TVET boleh menjanjikan masa depan yang cerah. Terokai minat anda dan jadikan TVET pilihan utama.
-- BERNAMA
Prof. Madya Ts. Dr Ahmad Mubarak Tajul Arifin ialah Ketua Jabatan Jabatan Keusahawanan, Daya Usaha & Inovasi dan Sastera Liberal, Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum, Univeristi Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)