TINTA MINDA

MENGHORMATI SENSITIVITI AGAMA KUKUHKAN MASYARAKAT MADANI

12/06/2024 11:01 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh: Dr Marina Munira Abdul Mutalib dan Dr Mohd Yahya Mohamed Ariffin

Umum mengetahui bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang mempunyai penduduk mencecah 34 juta orang dengan komposisi yang sangat unik. Terdiri daripada pelbagai bangsa, adat resam, bahasa dan budaya, masyarakat negara ini memiliki teras agama yang rata-ratanya mengajak manusia untuk hormat-menghormati serta faham-memahami antara satu sama lain. Namun, isu sensitiviti agama masih kedengaran dalam kehidupan masyarakat Madani ini.

Masyarakat majmuk

Hal ini tidak sepatutnya berlaku dalam masyarakat kita yang sama-sama memahami maksud muhibah yang bertapak di bumi Malaysia sejak sekian lama. Menurut Profesor Ulung Dr Muhammad Kamal Hassan, “Muhibah” berasal daripada perkataan Arab, Mahabbah atau hubb yang bermaksud kasih sayang.

Menurut tokoh ilmuan negara, Prof Dr Osman Bakar, kehidupan majmuk iaitu berbeza agama, budaya dan bahasa ini telah menjadi identiti masyarakat Malaysia sejak sekian lama. Prof Dr Husin Mutalib, seorang pengkaji politik pula menambah bahawa kekuatan Malaysia kerana dapat mengekalkan pemerintahan demokrasi dan kemakmuran ekonomi, serta mempunyai hubungan utuh antara masyarakat Islam dan bukan Islam.

Agama

Agama mengajar kita untuk menjaga tutur kata, perbuatan dan tingkah laku daripada melakukan perkara-perkara yang boleh melanggar sensitiviti ataupun batasan agama, adat resam dan budaya tertentu.

Jelas sekali perbuatan merendah-rendahkan identiti sesebuah bangsa, agama atau adat resam komuniti tertentu merupakan satu pencabulan yang tidak boleh diterima. Apa yang berlaku selama ini, haruslah menjadi teladan bagi kita semua bahawa perbuatan ini tidak memberi kebaikan.

Budaya menghina, merendah-rendahkan, atau untuk tujuan gurauan sekalipun tidak sepatutnya dijadikan kebiasaan dalam kehidupan. Banyak perkara yang perlu kita jaga dan wartakan sebagai “suci” yang tidak boleh dipermain atau dipersenda oleh mana-mana individu atau kumpulan yang tidak bertanggungjawab.

Nilai-nilai positif seperti menghormati jiran tetangga, membantu tidak kenal warna kulit, dan menjadi bangsa yang beradab sering kali dikaitkan dengan budaya dan adat resam masyarakat Malaysia.

Keamanan dan keharmonian

Walaupun mengharungi pelbagai cabaran sejak merdeka, kita telah dan sedang merasai kehidupan yang aman damai. Lihatlah apa yang berlaku di sekeliling kita, di mana ramai yang masih mendambakan kehidupan yang aman, tenteram dan harmoni. Peperangan dan pergolakan yang berlaku di luar negara seperti yang sering dipertonton di televisyen dan dipaparkan oleh media sosial amat menginsafi serta membuka mata kita.

Persoalannya, adakah kita mahu kehidupan yang sama berlaku baharulah kita sedar betapa mahalnya sebuah keamanan dan kehidupan yang damai. Melihat anak-anak kecil menangisi kehidupan mereka yang tidak ada masa hadapan sudah cukup sepatutnya memberikan kesedaran dan kewajaran untuk lebih menjaga sesama kita.

Andaya dan Andaya (1982), ahli tokoh pemikir telah lama menukilkan bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang menjadi pertemuan semua agama-agama besar di dunia.

Walaupun, negara kita tidaklah sebesar mana, tetapi banyak agama dunia yang menjadi rujukan, kajian dan perbahasan utama dalam buku-buku teks agama di dunia yang boleh dipelajari dan diamati dalam konteks negara kita yang bertuah ini.

Sensitif terhadap orang lain

Namun, tidak kurang yang agak sinikal dengan kepelbagaian yang ada dengan mengatakan bahawa kita tidak mampu kekal sebagai sebuah negara bangsa yang harmoni dan hidup aman damai dengan perbezaan yang dimiliki. Dengan rasa tidak segan silu, ada juga yang meramalkan ketegangan, rusuhan dan sebagainya oleh kerana perbezaan dan kepelbagaian masyarakat Malaysia.

Adakah kita terlalu rapuh untuk menjadi bangsa yang lebih beradab dan bertamadun? Perkara ini bukan hanya menjadi perbahasan di negara kita semata-mata. Tetapi, ia juga perkara yang biasa berlaku di mana-mana pelosok dunia terutama di bandar-bandar besar yang pesat membangun. Agak mendukacitakan, kemodenan yang dimiliki tidak mampu mengajar mereka untuk menjadi lebih sensitif kepada orang lain.

Lakaran komik, bahan penulisan, dengan bahasa keterlaluan telah menjadi bahan persendaan dan diedarkan untuk bacaan umum. Ini jelas memperlihatkan agenda buruk dan tidak bermoral. Kesan perbuatan ini adalah sangat besar kepada komuniti dunia sejagat. Perbuatan ini akan menjadi suatu kebiasaan dan lama-kelamaan ia mungkin menjadi suatu norma hidup yang diterima oleh majoriti masyarakat dunia.

Apa yang akan berlaku jika kita menerima orang lain mempersenda diri kita, jati diri bangsa dan teras agama kita? Adakah kehidupan ini yang kita mahukan? Masing-masing bebas untuk menzahirkan ketidakpuasan hati mereka secara keterlaluan tanpa batasan adab dan nilai murni disebabkan oleh kebebasan bersuara dan sebagainya. Seharusnya masyarakat lebih cakna, bahawa kita mempunyai tanggungjawab bersama untuk mempertahankan identiti dan nilai murni yang disepakati.

Nilai sejagat

Al-Quran menganjurkan supaya kita lebih melihat kepada nilai-nilai sejagat demi kepentingan bersama (surah al-Hujurat:13). Tidak salah untuk kita bersepakat atas nama keadilan, kebaikan, toleransi dan hormat-menghormati. Nabi Muhammad SAW sering kali mengingatkan kita tentang mengasihi jiran tetangga dan sesama manusia tanpa mengira agama. Sebagai ummatan wasatan seperti disebut dalam surah al-Baqarah:143, kita seharusnya menjadi teladan dalam menyeru kepada perkara kebaikan dan mencegah segala kemungkaran.

Kita perlu bekerjasama dengan ikhlas atas dasar keadilan, nilai kemanusiaan, menghormati perlembagaan, menggalakkan semangat kebersamaan dan persefahaman antara agama dan budaya terhadap maruah, jati diri, kepelbagaian budaya, adat resam dan agama di Malaysia.

Kadang-kadang kita perlu melihat di sekeliling kita terutama anak-anak yang jiwanya lebih telus dalam menghargai sebuah kasih sayang dan persahabatan. Banyak yang boleh dipelajari untuk kita mengenali apakah makna sebuah kasih sayang.

Konsep hormat

Konsep ‘Hormat’ merupakan satu daripada tunggak dalam kerukunan Malaysia Madani yang diluncurkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Malah, ‘Membangun Malaysia Madani’ ini perlu disulami dengan asas ilmu dan kebijaksanaan. Hormat bermaksud budi bahasa, kesopanan dan ketawadukan sebagai asas tingkah laku manusia dan peradaban.

Al-Quran mengajar manusia bagaimana menghormati kepelbagaian yang ada. Sebagai contoh, Allah SWT melarang secara keras umat Islam agar tidak mencaci atau mempersenda objek yang disembah oleh agama lain kerana kelak mereka akan membalas celaan yang sama kepada Allah SWT secara melampau. “Dan janganlah kamu memaki dan mencela sembahan yang mereka sembah selain Allah, kerana nanti mereka akan membalas dengan cara memaki Allah melampau-lampau tanpa ilmu.” (Surah al-An’am:108).

Ini adalah mesej penting supaya perkara yang sama tidak akan berlaku kepada masyarakat Islam bahkan boleh menjadi lebih tegang dan berpanjangan. Sikap berhati-hati ini diajar oleh al-Quran yang bertujuan mengelak permusuhan, penindasan dan pencabulan aspek ‘suci’ yang ada dalam agama lain dan bertindak balas dengan kewajaran rohani dan intelek (Uthman El-Muhammady, 2003). Ia sama sekali bukan bermaksud menyamaratakan aspek spiritual bagi semua agama yang ada.

Jelas bahawa sikap hormat-menghormati di antara satu sama lain adalah asas yang menjadi kekuatan dan perpaduan Malaysia Madani. Semua pihak perlulah memanfaatkan nilai-nilai murni sejagat demi menjaga negara Malaysia yang kita cintai ini. Dengan menghormati sensitiviti agama mampu mengukuhkan masyarakat Madani yang berbilang kaum di negara ini.

-- BERNAMA

Dr Marina Munira Abdul Mutalib ialah Ketua Program, Pengajian Akidah dan Agama, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan.

Profesor Dr Mohd Yahya Mohamed Ariffin ialah Dekan, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai Negeri Sembilan.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)