Haji merupakan satu daripada lima rukun Islam yang wajib dilaksanakan. Ibadah dalam Islam dibahagikan kepada tiga kategori iaitu pertama, ibadah yang hanya melibatkan perbuatan tubuh badan sahaja (badaniyyah) seperti solat dan puasa. Kedua, ibadah melibatkan harta sahaja (maliyyah) seperti zakat. Ketiga, ibadah yang menggabungkan kedu-duanya seperti ibadah haji. Untuk melaksanakan ibadah haji, seseorang perlu menenuhi syarat berkemampuan (istitha’ah) iaitu sihat tubuh badan dan juga mempunyai harta yang dapat menampung kos pelaksanaannya.
Sejarah Awal Ibadah Haji
Sejarah awal pelaksanaan ibadah haji adalah pada zaman Nabi Ibrahim a.s. Baginda merupakan manusia pertama yang dipertanggungjawab untuk membina Kaabah di Mekah oleh Allah s.w.t. Setelah selesai pembinaan Kaabah Nabi Ibrahim a.s bersama-sama anaknya Nabi Ismail a.s telah bertawaf mengelilingi Kaabah sambil berdoa memohon Allah SWT menunjukkan tatacara melaksanakan ibadah haji dan tempat-tempat (al-manasik) yang dikehendaki Allah untuk menyempurnakan ibadah haji.
Peristiwa tersebut telah dirakamkan Allah s.w.t dalam surah al-Baqarah (2) ayat 127 dan 128 yang bermaksud: Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim bersama-sama Nabi Ismail meninggikan binaan asas-asas (tapak) Baitullah (Kaabah) itu, sambil keduanya berdoa dengan berkata: Wahai Tuhan kami! Terimalah daripada kami (amal kami); sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui; Wahai Tuhan kami! Jadikanlah kami berdua: orang-orang Islam (yang berserah diri) kepadaMu, dan jadikanlah daripada keturunan kami: umat Islam (yang berserah diri) kepadamu, dan tunjukkanlah kepada kami syariat dan cara-cara ibadat kami, dan terimalah taubat kami; sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.
Ibadah haji bukanlah ibadah yang baharu, sebaliknya ia merupakan ibadah yang telah dilaksanakan oleh zuriat Nabi Ismail a.s semenjak sekian lama bagi mengabdikan diri kepada Allah s.w.t dan telah berterusan sehingga kedatangan Islam.
Perihal tersebut dijelaskan oleh Allah s.w.t dalam surah al-Baqarah (2) ayat 199 dan 200 yang bermaksud: Selain dari itu hendaklah kamu bertolak turun dari (Arafah) tempat bertolaknya orang ramai, dan beristighfarlah kamu kepada Allah (dengan memohon ampun), sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. Kemudian apabila kamu telah selesai mengerjakan amalan ibadat Haji kamu, maka hendaklah kamu menyebut-nyebut dan mengingati Allah (dengan membesarkanNya) sebagaimana kamu dahulu menyebut-nyebut (memuji-muji) datuk nenek kamu, bahkan dengan sebutan yang lebih lagi. Dalam pada itu, ada antara manusia yang (berdoa dengan) berkata: Wahai Tuhan kami! Berilah kami kebaikan) di dunia. (orang ini diberikan kebaikan di dunia) dan tidak ada baginya sedikitpun kebaikan di akhirat.
Sungguhpun demikian, pelaksanaan haji masyarakat Arab sebelum Islam tidak seperti yang dituntut dalam syariat Nabi Ibrahim a.s. Ia telah diubah dan diselewengkan mengikut acuan kehendak mereka, setelah masyarakat Arab tidak lagi mengesakan Allah (syirik) dengan menyembah berhala yang diciptakan mereka. Kewujudan pelaksanaan haji oleh masyarakat Arab sebelum Islam turut dibuktikan dengan catatan sejarah, di mana Rasulullah s.a.w sendiri telah mengambil peluang untuk menemui kabilah-kabilah Arab yang datang dari luar kota Mekah pada musim haji bagi menyampaikan dakwah Islam kepada mereka. Dalam Islam pula, ibadah haji telah disyariatkan oleh Allah s.w.t pada tahun kesembilan setelah hijrah Rasulullah s.a.w ke Madinah menurut pendapat majoriti ulama.
Kepentingan Ibadah Haji
Setiap perkara yang disyariatkan oleh Allah s.w.t keseluruhahnya adalah untuk kepentingan dan kemaslahatan umat Islam dan manusia seluruhnya. Lantaran itu Imam al-Suyuti (1983) menjelaskan bahawa hukum-hakam yang disyariatkan keseluruhan untuk kemaslahatan dan mengelak kemudaratan menimpa manusia, sama ada di dunia mahupun akhirat. Pensyariatan ibadah haji juga pasti mengandungi kemaslahatan dan kebaikan untuk manusia.
Ianya telah dirakamkan oleh Allah s.w.t dalam surah al-Hajj (22) ayat 28 yang bermaksud: Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu, kerana pengurniaanNya kepada mereka dengan binatang-binatang ternak (untuk dijadikan korban); dengan yang demikian makanlah kamu dari (daging) binatang-binatang korban itu dan berilah makan kepada orang yang susah, yang fakir miskin. Kepentingan dan kebaikan dari pelaksanaan ibadah haji antaranya adalah:
1. Perhimpunan ummah
Agama Islam dibentuk atas asas perpaduan dan saling beramah mesra dalam kalangan umat Islam. Allah s.w.t telah mensyariatkan pelbagai ibadat yang menjurus kepada berlakunya pertemuan sesama muslim sama ada dalam dalam skala kecil di kawasan penempatan dengan penyusunan solat lima waktu setiap hari secara berjemaah, atau dalam skala lebih besar dalam satu kawasan kariah setiap minggu melibatkan penyusunan pelaksanaan solat Jumaat, atau dalam skala terbesar melibatkan umat Islam di seluruh pelosok dunia yang berlaku secara tahunan dengan penyusunan pelaksanaan ibadah haji di Baitulharam.
2. Menzahirkan realiti persaudaraan Islam
Ibadah haji dapat menghidupkan suasana dan menjadikan persaudaraan dalam kalangan orang Islam dari seluruh dunia dapat dirasai secara langsung. Jarak, bahasa dan perbezaan warna kulit sesesekali tidak dapat menjadi pemisah yang dapat menghalang persaudaraan sesama mereka. Haji adalah sebaik-baik wasilah yang dapat menghidupkan persaudaraan sesama muslim kerana ia dapat menemukan seluruh umat di Kaabah untuk sama-sama melaksanakan ibadah, berdoa kepada tuhan yang satu dan dengan cara menghadap ke arah kiblat yang satu.
3. Simbol kesatuan dan penjelmaan dogma
Kota Mekah merupakan tempat lahirnya Islam dan di situlah Rasulullah s.a.w diutuskan menjadi Rasul yang membawa cahaya petunjuk kepada seluruh manusia di permukaan bumi. Mengheret umat Islam di seluruh dunia untuk melaksanakan ibadah haji dan umrah di tempat lahirnya cahaya tauhid secara langsung menjadi simbol kepada kesatuan umat Islam dan sebagai penjelmaan dokma yang menjadi sistem kepercayaan agama yang benar yang dapat diterima oleh orang ramai tanpa sebarang pertikaian.
4. Ekspresi kesamaan dalam kalangan umat Islam
Ibadah haji menunjukkan ekspresi kesamaan dalam kalangan umat Islam yang sekali gus menggugurkan segala perkara yang menjadi tanggapan yang dibangga-banggakan sesama manusia seperti tempat tinggal dan pakaian. Mereka adalah sama sahaja ketika melaksanakan ibadah haji khasnya ketika berwukuf di Arafah, bermalam di Mina, melontar jamrah dan betawaf di Baitullah. Kesemuanya tenggelam dalam perasaan kerohanian yang sama untuk mendekatkan diri kepada Allah s.w.t dan mencari keredhaanNya, di mana pemimpin dan rakyat, majikan dan pekerja, kaya dan miskin kesemuanya adalah sama sahaja. Situasi sedemikian dapat mengingatkan mereka ketika baru dilahirkan dan keadaan mereka di akhirat ketika berhadapan dengan Allah s.w.t.
5. Menghayati peristiwa agung dan sejarah para rasul
Setiap tempat dan amalan-amalan ibadah haji kesemuanya tersirat di sebaliknya peristiwa-peristiwa bersejarah yang telah dilalui oleh para rasul dan nabi terdahulu yang sewajarnya dihayati dan dijadikan pedoman oleh umat Islam. Sebagai contoh, ketika berada di hadapan Kaabah dapat mengingatkan umat Islam tentang sejarah nabi Ibarahim a.s dan nabi Ismail a.s yang membinanya, dan sejarah bagaimana berhala-berhala yang menjadi sembahan golongan musyrikin di sekitar Kaabah telah diruntuhkan oleh Rasulullah s.a.w.
Apabila melaksanakan saie di bukit Safa dan Marwah pula, akan mengingatkan umat Islam tentang peristiwa yang dilalui Saidatina Siti Hajar yang berlari berulang alik untuk mendapatkan air buat anaknya nabi Ismail a.s. Demikianlah setiap tempat dalam ibadah haji mengandungi peristiwa-peristiwa bersejarah yang dapat diimbau oleh umat Islam sekali gus menjadi motivasi buat mereka untuk mencontohi segala pengorbanan, kesungguhan dan kesabaran para rasul dalam mengharungi cabaran dalam melaksanakan perintah Allah s.w.t., melaksanakan dakwah dan mempertahankan akidah.
6. Mendidik rohani dan jasmani
Ibadah haji merupakan sebahagian daripada latihan fizikal yang dapat menjadikan umat Islam dapat menghadapi pelbagai keadaan yang sukar dan dapat bersabar di atas perkara yang tidak disukai. Haji juga dapat mendidik umat Islam tentang erti tawaduk dan merendah diri, toleransi dan bertolak ansur, ketelusan, pergaulan yang baik dan erti kelembutan.
Pada masa yang sama haji juga mendidik jiwa seseorang muslim tentang pengorbanan, mencurahkan keringat, persahabatan dan ihsan dalam setiap perkara. Lebih pada itu, haji turut mendidik nurani dan hati seseorang muslim supaya menjadi hati yang bersih dan sentiasa dapat mengingati kebesaran dan pengawasan Allah s.w.t.
Ibadah Haji Pelengkap Rukun Islam
Falsafah di sebalik pensyariatan ibadah haji ini adalah untuk menjadikan manusia sebagai hamba yang diredai dan dikasihi Allah s.w.t. Bertitik tolak daripada asas keimanan di dalam hati, ianya dizahirkan melalui perbuatan fizikal yang menyahut seruan Allah s.w.t, dengan melakukan segala perintah dan meninggalkan larangan, sanggup berkorban harta dan keringat demi mendapatkan keredhaan dari yang maha esa.
Mengabdikan diri kepada pencipta merupakan matlamat di sebalik penciptaan manusia sebagai khalifah di permukaan bumi (al-Dzariyat 51:56), di samping tuntutan untuk mengimarah dan memakmurkan, membentuk keamanan dan kesejahteraan, menegakkan keadilan dan berbuat ihsan (al-Baqarah 2:30).
Umat Islam yang pelbagai bangsa, etnik, budaya bahasa, warna kulit dan lain-lain dari seluruh pelosok dunia semuanya berkumpul di satu tempat di permukaan bumi yang sama untuk mengagungkan dan membesarkan Allah s.w.t. Keimanan kepada Allah telah menghubung dan mempertemukan mereka dari pelbagai arah di satu tempat yang sama, untuk melakukan amalan dan tindakan yang sama, dengan matlamat yang sama iaitu mendapatkan keredaan Allah s.w.t.
Ibadah haji telah menemukan nurani dan hati-hati manusia seluruhnya untuk berpadu dan bersatu atas dasar agama dengan meminggirkan perbezaan yang ada dalam kalangan mereka (Mahmud Shaltut 2019). Sehubungan itu, permusafiran ke Tanah Suci hendaklah dilakukan dengan terlebih dahulu menghidupkan roh pelaksanaan ibadah haji di dalam diri dan hati sanubari dengan bertaubat dan melakukan segala perintah dan meninggalkan larangan Allah s.w.t.
Sebelum pergi meninggalkan tanah air untuk melakukan ibadah haji dan umrah, persediaan awal perlu dilakukan dengan menanam azam, melatih diri melakukan perkara-perkara yang baik, menimba ilmu, dan memperbaiki hubungan dengan Allah dan sesama manusia. Perihal ini penting supaya haji dapat membuahkan hasil dengan kejayaan dan pulang dengan diri yang suci bersih daripada segala dosa dan mendapat keredhaan dari Allah s.w.t.
Seluruh amalan ibadah haji dari ihram, berwukuf, bersaie, bertawaf, menyembelih binatang korban dan segala pantang larang ketika melakukan haji dan umrah kesemuanya menggambarkan bentuk penyucian jiwa yang melayakkan seseorang memperolehi keredaan Allah s.w.t.
Melalui ibadah haji, seseorang akan dapat menyelami erti tawaduk dan merendah diri, toleransi dan bertolak ansur, ketelusan, pergaulan yang baik dan erti kelembutan. Pada masa yang sama haji juga mendidik jiwa seseorang muslim tentang pengorbanan, mencurahkan keringat, persahabatan dan ihsan dalam setiap perkara.
Lebih pada itu, haji turut mendidik nurani dan hati seseorang muslim supaya menjadi hati yang bersih dan sentiasa dapat mengingati kebesaran dan pengawasan Allah s.w.t., kerana setiap amalan yang dilaksanakan ketika mengerjakan ibadah haji tersemat di dalamnya pelbagai hikmah untuk kebaikan dan kesejahteraan buat manusia di dunia dan akhirat.
-- BERNAMA
Dr Abdul Muhaimin Mahmood ialah Penolong Pengarah Kanan Bahagian Penyelidikan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).