Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa pada tahun 2000 telah mengisytiharkan secara rasmi 22 Mei sebagai Hari Biodiversiti Antarabangsa bagi meningkatkan kefahaman dan kesedaran masyarakat dunia mengenai isu biodiversiti. Sejak itu, Hari Biodiversiti disambut setiap tahun. Sambutan Hari Biodiversiti tahun ini bertemakan “Jadilah Sebahagian Daripada Pelan” bagi menyeru semua pemegang taruh bertindak untuk menghentikan dan memulihkan kehilangan biodiversiti dengan menyokong pelaksanaan kerangka biodiversiti global iaitu Kunming-Montreal Global Biodiversity Framework (KMGBF).
Perkataan biodiversiti merupakan perkataan singkatan bagi ‘biological diversity’ ataupun kepelbagaian biologi yang mana didefinisikan sebagai kepelbagaian benda hidup di muka bumi sama ada flora atau fauna. Ia merangkumi semua hidupan dalam ekosistem atau seluruh bumi termasuk hidupan laut. Kedudukan Malaysia antara 17 buah negara yang paling kaya dengan biodiversiti atau dikenali sebagai wilayah biodiversiti mega (megadiverse). Menurut Laporan Kebangsaan Ke-6 Malaysia kepada Konvensyen Kepelbagaian Biologi 2019, negara dilaporkan memiliki 306 spesies mamalia, 742 spesies burung, 242 spesies amfibia, 567 spesies reptilia, lebih 2,000 spesies ikan dan 150,000 spesies invertebrata. Ini bermakna, hutan dan hidupan liar di negara kita merupakan khazanah penting negara.
Di Malaysia, terdapat pelbagai spesies hidupan liar dan tumbuhan yang unik dan menarik. Antaranya termasuklah harimau, gajah, badak, orangutan, pelbagai jenis burung, ikan, serangga, dan tumbuhan yang hanya terdapat di Malaysia, contohnya, Rafflesia iaitu, bunga terbesar di dunia. Biodiversiti sangat penting kerana ia membantu menjaga keseimbangan ekosistem dan mengurangkan kesan perubahan iklim. Setiap spesies mempunyai peranan yang unik dalam ekosistem, dan kehilangan satu spesies boleh memberi kesan kepada spesies lain dalam ekosistem. Contohnya, jika satu spesies tumbuhan hilang, haiwan yang bergantung pada tumbuhan tersebut untuk makanan atau tempat tinggal juga akan terjejas.
Selain itu, biodiversiti juga memberi manfaat kepada manusia. Banyak ubat-ubatan dan bahan-bahan penting lain diperoleh daripada tumbuhan dan haiwan yang terdapat di alam semula jadi. Biodiversiti juga memberi manfaat ekonomi kepada masyarakat, seperti dalam sektor pertanian dan perikanan. Biodiversiti turut memberi ruang kepada manusia untuk melakukan aktiviti-aktiviti riadah serta rekreasi di samping menghayati keindahan alam semulajadi serta meluaskan pengetahuan tentang kepelbagaian dan kekayaan sumber biodiversiti.
KETERANCAMAN BIODIVERSITI
Di sebalik kepentingannya, biodiversiti mengalami ancaman ketara yang membawa kepada kemusnahan dan kepupusannya. Harimau, gajah, penyu dan orangutan merupakan antara spesies haiwan yang terancam. Di Malaysia, sebanyak 567 daripada 1,600 tumbuhan di Semenanjung Malaysia yang dinilai menerusi penilaian Senarai Merah Malaysia diklasifikasikan sebagai terancam. Antara spesies tersebut adalah Dipterokarpa (Dipterocarpaceae), Asam Batu (Begonia spp.) dan Karas (Aquilaria spp.).
Penyu misalnya adalah contoh antara spesies hidupan liar di lautan yang sangat terancam. Antaranya disumbangkan oleh tabiat segelintir ahli masyarakat yang suka memakan telur penyu, diburu kerana daging dan cengkerangnya selain kesukaran penyu untuk bertelur akibat kemusnahan kawasan pantai akibat pembangunan seperti aktiviti menambak laut menyumbang terhadap kemerosotan populasi penyu sehingga mencapai tahap kritikal.
Ironinya, kemerosotan dan kepupusan biodiversiti merupakan isu dan cabaran global masa kini. Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dalam laporan “Global Assessment Report on Biodiversity and Ecosystem Services” menganggarkan kira-kira sejuta spesies tumbuh-tumbuhan dan haiwan menghadapi ancaman kepupusan sekiranya manusia tidak bertindak dan mengambil langkah proaktif dari sekarang untuk melindunginya, sekali gus menyelamatkan spesies biodiversiti yang masih lagi wujud pada hari ini. Malah, ancaman kepupusan ke atas biodiversiti pada hari ini berlaku pada kadar yang paling pantas dalam sejarah, yakni mencecah ratusan kali ganda berbanding kadar yang dicatatkan pada abad sebelum ini.
Terdapat beberapa spesies haiwan liar yang kini dikatakan sudah pupus dan tidak lagi ditemui di habitat asalnya di hutan simpan kekal mahu pun taman negara di Malaysia termasuk banteng, badak Jawa, burung merak hijau, gajah Pygmy Borneo dan kucing batu. Tiga punca utama masalah kepupusan hidupan liar di Malaysia ialah kegiatan pembukaan tanah secara besar-besaran untuk tujuan pertanian dan pembangunan hartanah, aktiviti pemburuan dan pembalakan haram. Selain itu, haiwan seperti rusa sambar, harimau belang, seladang dan beruang matahari pula lambat membiak dan melahirkan anak antara satu atau dua ekor setahun dan ia memberi kesan kepada kemandiran spesies berkenaan.
Dijangkakan keadaan keterancaman biodiversiti ini akan berterusan dan meningkat pada masa akan datang jika tiada apa-apa tindakan diambil. Malaysia juga berdepan dengan cabaran yang sama. Biodiversiti semakin terancam akibat aktiviti manusia seperti pembangunan, penebangan hutan, dan pencemaran alam sekitar. Perubahan iklim adalah ancaman serius terhadap biodiversiti. Ia berlaku akibat aktiviti manusia seperti pembakaran bahan fosil dan pembalakan hutan. Perubahan iklim menyebabkan suhu bumi meningkat dan cuaca menjadi lebih ekstrem. Ini mempengaruhi hidupan haiwan dan tumbuhan. Contohnya, beberapa spesies haiwan dan tumbuhan tidak dapat menyesuaikan diri dengan perubahan cuaca yang drastik dan ini menyebabkan kepupusan spesies. Pengenalan spesies asing kepada sesuatu ekosistem turut mempengaruhi kelestarian biodiversiti asal untuk terus bermandiri.
STRATEGI MELESTARI BIODIVERSITI
Hakikatnya, kehilangan biodiversiti boleh memberi kesan kepada kehidupan manusia dan ekonomi. Oleh itu, adalah penting untuk menjaga biodiversiti dengan memastikan aktiviti manusia tidak memberi kesan negatif kepada alam sekitar. Langkah konservasi dan pemuliharaan sumber biodiversiti yang ada perlu digiatkan agar generasi akan datang masih berpeluang untuk mempelajari dan memperoleh ilmu pengetahuan berguna dan signifikan daripadanya. Selain itu, penstrukturan semula polisi, penjagaan habitat dan spesis serta pengurusan kawasan tanah yang lebih teratur turut berperanan dalam pengekalan berterusan biodiversiti.
Dalam konteks Malaysia, keperluan integrasi dan mengarus perdana keperluan pemuliharaan biodiversiti telah dinyatakan dengan jelas sejak Rancangan Malaysia Ketiga (RMK3) lagi. Malah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK10) telah memberi komitmen supaya pemuliharaan biodiversiti diarusperdanakan dalam proses pembangunan negara. RMK10 memperkenalkan terma mengarus perdana keperluan alam sekitar buat pertama kalinya dalam rancangan Malaysia.
Mengarusperdana biodiversiti merupakan satu proses di mana matlamat akhirnya adalah supaya kesejahteraan biodiversiti terpelihara serta diangkat menjadi isu arus perdana proses pembangunan. Bagi memastikan proses mengarusperdana mencapai matlamatnya, elemen-elemen kajian Scrase Et Sheate (2002) seperti integrasi pemuliharaan biodiversiti ke dalam tadbir urus perlu dilaksanakan pada peringkat strategik kitaran dasar atau di peringkat pelaksanaan perancangan proses pembangunan.
Melindungi hidupan liar dan khazanah alam semula jadi bukan tanggungjawab agensi penguatkuasaan semata-mata sebaliknya ia memerlukan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO), kerajaan, badan korporat dan komuniti tempatan. Pihak berkuasa perlu memerangi jenayah ini sehingga ke akar umbi bagi menangani jenayah hidupan liar di rantau ini melalui perkongsian maklumat serta usahasama meliputi agensi kerajaan dan institusi serta agensi lain yang berkaitan. Mengukuhkan lagi penguatkuasaan undang-undang hidupan liar dan memerangi jenayah hidupan liar perlulah diberikan keutamaan di peringkat negara, serantau dan global.
Hakikatnya, dalam proses pembangunan dan globalisasi, terdapat banyak cabaran yang dihadapi dalam pemuliharaan sumber biodiversiti. Kaedah yang terbaik untuk memelihara sumber biodiversiti adalah dengan melindunginya sebelum ia terancam. Pelbagai langkah perlu diambil ke arah memulihara sumber biodiversiti yang sememangnya memainkan peranan yang amat penting kepada kehidupan manusia. Maka, tadbir urus yang bersepadu dan berkesan dapat membantu pengurusan pembangunan yang lebih mampan seterusnya dapat mengawal kemerosotan biodiversiti. Rentetan itu, Dasar biodiversiti peringkat kebangsaan yang dikenali sebagai Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan 2022-2030 (DKBK) telah dilancarkan pada 24 Okt 2023. DKBK antara lain menekankan kepentingan tatakelola baik serta pelaksanaan tindakan melalui pendekatan senegara dan keseluruhan masyarakat dalam pemeliharaan dan pemuliharaan biodiversiti negara.
Setiap rakyat Malaysia perlu bersama-sama berusaha mengekalkan bumi Malaysia dengan kehijauan kawasan hutan yang kaya dengan kepelbagaian biologi demi kesejahteraan hidup generasi kini dan akan datang. Maka, pendidikan merupakan jalan terbaik untuk membentuk sikap manusia terhadap sumber biodiversiti. Kesedaran individu dan masyarakat tentang betapa pentingnya memelihara sumber biodiversiti merupakan perkara asas yang paling utama dalam usaha mengekalkan kelestarian khazanah yang sangat berharga ini.
-- BERNAMA
Prof. Madya Dr Haliza Abdul Rahman ialah Ketua Laboratori Belia Dalam Kepimpinan, Politik dan Kewarganegaraan Institut Pengajian Sains Sosial, Universiti Putra Malaysia.
(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)