TINTA MINDA

PELAN TINDAKAN KETERJAMINAN MAKANAN UPM SEDIA BAKAT DIPERLUKAN NEGARA

05/07/2024 11:46 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Noor Mohamad Shakil Hameed

Bagi menyokong Dasar Agromakanan Negara 2.0 dan Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan (2021-2025), Universiti Putra Malaysia (UPM) telah mengambil inisiatif proaktif dengan menyediakan Pelan Tindakan (Blueprint) Keterjaminan Makanan peringkat universiti dalam usaha membantu kerajaan membina sistem makanan yang lestari, berdaya saing dan setara di peringkat nasional dan global.

Pembangunan dokumen strategik ini selari dengan visi universiti untuk menjadi peneraju kepada pelbagai inisiatif penting terutama menangani ancaman berkaitan keterjaminan makanan yang semakin membimbangkan. Ini sekali gus meletakkan UPM pada kedudukan sebagai peneraju dalam bidang pertanian dan keterjaminan makanan negara di mana ia akan menjadi dokumen panduan dan rujukan kepada semua IPT di negara ini termasuk swasta.

Kepakaran

Secara umumnya antara persoalan utama isu keterjaminan makanan yang menjadi perbincangan hangat dalam kalangan pakar dan anggota masyarakat ialah sejauh mana negara mampu menghasilkan bakat yang kompeten untuk memastikan pelbagai keperluan sekuriti makanan ditangani secara konsisten oleh individu yang terlatih dan berkemahiran tinggi demi kelangsungan bekalan makanan kepada rakyat, sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan UNESCO yang mencakupi “Kelaparan Sifar”.

Hakikatnya, sebagai universiti yang bertunjangkan disiplin pertanian dan makanan semenjak 1971, UPM memiliki kepakaran terlatih, dan sumber yang pelbagai untuk menyumbang kepada isu keterjaminan makanan dihadapi negara melalui program akademik, penyelidikan dan inovasi, serta khidmat pengembangan.

Tiga lonjakan telah ditetapkan iaitu lonjakan teras, lonjakan pemboleh daya dan lonjakan keberhasilan dengan lonjakan pemboleh daya menampilkan iltizam dan komitmen UPM melalui skop ketersediaan bakat untuk menyediakan sumber bakat kompeten diperlukan negara bagi memacu kecemerlangan sektor pertanian dan agribio. Berbekalkan motto ‘Berilmu Berbakti’, pakar UPM dan graduan yang dilahirkan diyakini mampu memberikan sumbangan signifikan terhadap usaha kerajaan mendepani pelbagai cabaran keterjaminan makanan.

Untuk rekod, sehingga 2024, sebanyak 34 program prasiswazah berkaitan pertanian dan agribio merangkumi 26 program Bacelor, tujuh program Diploma dan satu program Asasi Sains Pertanian ditawarkan oleh UPM. Ini merangkumi 37 peratus daripada keseluruhan 92 program prasiswazah. Sumbangan menyediakan bakat terbukti apabila pada tahun 2023 UPM berjaya mengeluarkan sebanyak 36 peratus graduan prasiswazah berkaitan pertanian dan agribio yang sedang menyumbang tenaga dan kepakaran di seluruh negara.

Menyedari hakikat sektor pertanian dan aspek keterjaminan makanan mesti bergerak seiringan dengan perkembangan teknologi terkini, UPM juga berjaya menghasilkan modal insan yang memiliki atribut keusahawanan tani berteraskan teknologi melalui penawaran Bacelor Teknologi Pertanian Pintar Dengan Kepujian. Usahawan tani moden dengan ilmu pertanian berteknologi dapat membuktikan bahawa pertanian juga merupakan perniagaan yang menjamin pulangan lumayan dan pada akhirnya graduan ini dapat menyumbang kepada kelangsungan keterjaminan makanan negara berpaksikan pelbagai kemudahan teknologi terkini.

Secara umumnya ketersediaan bakat didefinisikan sebagai kesediaan pegawai akademik, pegawai bukan akademik, pelajar dan pemegang taruh pertanian yang meliputi pembuat dasar, pemain industri, komuniti dan masyarakat secara amnya dalam menyumbang secara efektif dan kolektif untuk memastikan keterjaminan dan kelestarian bekalan makanan negara melalui kecemerlangan akademik, penyelidikan dan inovasi produk pertanian.

Peranan universiti menyediakan bakat diperlukan negara terserlah melalui inisiatif dan komitmen berterusan dalam menyediakan program pendidikan dan latihan diperlukan sebagai usaha pemupukan pengetahuan, kemahiran dan pengalaman serta sikap yang positif dalam bidang tanaman makanan, penternakan, dan perikanan. Ini termasuk menyediakan pendidikan formal dan tidak formal, latihan serta program pendidikan yang berorientasikan pertanian seperti pengeluaran makanan, perkhidmatan pendidikan nutrisi sihat dan TVET pertanian.

Tuntasnya empat skop utama menjadi sandaran iaitu, pembangunan kemahiran, kepakaran yakni memastikan ketersediaan pelapis kepakaran, keahlian dalam badan profesional untuk mendapatkan pengiktirafan Agrologist serta pelaksanaan program sangkutan di industri.

Melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif strategik di bawah empat skop tersebut UPM yakin boleh menyumbang kepada proses penyediaan bakat yang kompeten dalam bidang keterjaminan makanan dengan universiti secara berterusan menjadi sumber yang mendidik, membimbing, membentuk serta menyalurkan kepakaran dan membangunkan bakat yang diperlukan industri dan negara.

Kerjasama strategik

Di samping itu universiti awam dan swasta lain serta agensi kerajaan yang berkaitan juga diharap dapat membentuk kerjasama strategik dengan UPM melalui perkongsian pintar dokumen pelan tindakan ini supaya dapat melatih bakat masing-masing ke arah menjadi pakar rujuk sektor pertanian dan agribio. Semua pemegang taruh wajar menerima dan menggunapakai dokumen ini sebagai panduan untuk memperkasa daya upaya bakat dan sama-sama membangunkan sektor keterjaminan makanan negara.

Ironinya negara kita kaya dengan pelbagai sumber alam dan tidak sepatutnya berhadapan dengan masalah bekalan makanan jika sumber yang dimiliki dapat digembleng serta diintegrasikan dengan kepakaran bakat tempatan sekali gus mewujudkan bekalan yang lestari.

Hakikatnya, kerjasama strategik antara universiti, agensi kerajaan dan semua pihak yang terlibat dalam rantaian bekalan makanan negara khususnya komuniti pertanian di tengah-tengah cabaran seperti perubahan iklim dan teknologi disruptif mampu mewujudkan impak positif menang-menang kepada rakyat dan negara. Keterjaminan makanan perlu terus diangkat menjadi agenda utama negara kerana membabitkan soal hak asasi manusia dan kesejahteraan rakyat.

Semoga pelaksanaan segala inisiatif yang terkandung dalam dokumen pelan tindakan ini menjadi pemangkin penting dalam menyokong Dasar Agromakanan Negara 2.0 dan Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan (2021-2025) melalui penyediaan bakat yang kompeten yang bakal memacu kegemilangan sektor pertanian negara.

Universiti yang berpaksikan pertanian seperti UPM perlu terus diberi peranan dan kepercayaan agar dapat memberikan sumbangan signifikan dalam proses pembangunan negara khususnya dalam konteks melahirkan bakat yang kompeten, mencipta inovasi baharu serta memberikan idea dan penyelesaian kepada pelbagai masalah keterjaminan makanan yang sedang dan bakal dihadapi oleh negara.

-- BERNAMA

Noor Mohamad Shakil Hameed ialah Timbalan Pendaftar Fakulti Perhutanan Dan Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia (UPM).

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)