TINTA MINDA

RISIKO PERUBAHAN IKLIM TERHADAP SEKTOR PEMBINAAN DI MALAYSIA

15/07/2024 10:35 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Prof Madya Dr Haryati Shafii

Perubahan iklim merupakan antara isu yang hangat dibincangkan di seluruh dunia oleh para pembuat dasar, penyelidik, ahli akademik, environmentalist, badan bukan kerajaan (NGO) mahupun orang awam. Fenomena alam ini turut dikenali sebagai pemanasan global. Perubahan iklim boleh menyebabkan berlakunya peningatkan suhu bumi yang tinggi dan menyumbang kepada perubahan pola cuaca yang mengakibatkan peningkatan suhu secara ekstrem sama ada di darat mahupun lautan.

Perubahan iklim adalah merujuk kepada perubahan suhu global dan pola cuaca yang terhasil akibat daripada aktiviti manusia. Aktiviti manusia yang melampaui batas menjadi penyumbang utama kepada perubahan cuaca yang lebih cepat berbanding variasi iklim semula jadi. Perubahan iklim pada masa ini mempuyai kaitan dengan peningkatan emisi gas rumah kaca, seperti karbon dioksida dan metana. Gas-gas ini memerangkap panas dari sinar matahari daripada menghampiri permukaan bumi, seperti dinding kaca rumah kaca yang menahan panas di dalamnya. Perubahan kecil dalam proporsi gas rumah kaca di udara dapat menambah perubahan besar dalam skala global. Oleh yang demikian, kesan daripada gas rumah kaca akan meningkatkan suhu global.

Kesan Perubahan Iklim

Secara umumnya di Malaysia, perubahan iklim telah memberi tekanan besar terhadap alam sekitar, ekonomi dan sosial. Bagi negara yang bergantung kepada sektor pertanian, perubahan iklim merupakan malapetaka yang paling buruk kerana menjejaskan hasil pertanian yang merupakan sumber ekonomi utama negara. Walau bagaimanapun, sektor ekonomi lain turut terjejas ekoran perubahan iklim sama ada secara langsung mahupun tidak langsung. Umpamanya sektor perladangan, perikanan, penternakan, pelancongan, pendidikan, perkhidmatan, pembinaan dan banyak lagi. Maklum mengetahui bahawa kepentingan industri ini kepada negara amatlah besar. Industri pembinaan dikategorikan sebagai pemacu ekonomi utama negara. Buktinya pada suku tahun pertama 2023, sumbangan sektor pembinaan kepada Kadar Keluaran Negara Kasar (KDNK) mencatatkan 7.4 peratus (DOSM 2023). Peratusan ini adalah tertinggi berbandingan sektor-sektor lain seperti perkhidmatan 7.2 peratus, perlombongan dan kuari 2.4 peratus, pertanian 0.9 peratus.

Dalam sektor pembinaan, keadaan cuaca yang kerap mengalami hujan lebat, banjir kilat, ribut petir angin kencang dan cuaca yang ekstrem menjadi punca utama yang merisikokan kelewatan projek, keselamatan dan kesihatan pekerja di tapak bina. Risiko kelewatan ini ekoran keadaan cuaca yang tidak menentu akan menganggu dan memaksa proses-proses penyiapan kerja ditangguhkan, diberhentikan dan seterusnya menjejaskan semua perjalanan aktiviti pembinaan.

Kita sedia maklum bahawa dalam pembinaan, masa sangat bernilai. Sesebuah projek perlu disiapkan mengikut tarikh yang telah ditetapkan dan dipersetujui dalam kontrak. Kelewatan dalam penyiapan projek akan mengakibatkan pembekal atau kontraktor dikenakan denda atau ganti rugi. Atau dengan kata lain mereka cuba mengelak untuk berhadapan dengan Liquidated Ascertained Damages (LAD). Kenyataan ini diperkukuhkan oleh beberapa kajian yang melaporkan bahawa cuaca adalah antara faktor yang boleh mengakibatkan gangguan, kelewatan dan lebihan kos dalam projek pembinaan. Hujan lebat, ribut petir, angin kencang dan cuaca panas yang melampau menghalang keupayaan pekerja untuk melaksanakan kerja secara optimum. Kontraktor dan subkontraktor terpaksa memberhentikan kerja-kerja pembinaan demi keselamatan pekerja dan asset pembinaan.

Walau bagaimanapun, pengaruh cuaca adalah faktor alam semua jadi yang sukar untuk dikawal. Kesukaran dalam meramalkan variasi cuaca boleh menjadi faktor yang mempengaruhi kerja harian projek dan melambatkan proses penyiapan kerja. Justeru, dalam konteks ini, kebarangkalian risiko perubahan cuaca menyumbang kepada kelewatan projek, pertambahan masa dalam menyiapkan sesebuah projek, keselamatan dan kesihatan pekerja serta aset syarikat adalah tinggi.

Risiko perubahan cuaca terhadap industri pembinaan diperkukuhkan melalui hasil kajian yang pernah dijalankan menunjukkan bahawa fenomena hujan didapati sangat signifikan memberi kesan yang dominan terhadap tapak binaan. Hujan sangat mempengaruhi dan mengganggu kerja-kerja di tapak pembinaan terutama apabila hujan lebat berlaku secara berterusan. Keadaan ini boleh mengakibatkan air bertakung dan seterusnya menyumbang kepada kejadian banjir kilat. Bahan binaan yang ditenggelami banjir akan mengalami kerosakan dan tidak dapat digunakan. Manakala jentera pula tidak dapat beroperasi secara biasa dan berkemungkinan mengalami kerosakan sekiranya tidak disimpan di tempat yang selamat.

Keselamatan Pekerja

Cuaca panas yang extrem juga membahayakan keselamatan dan kesihatan pekerja yang terdedahkan secara langsung kepada aktiviti luar. Suhu yang mencecah 37-38 darjah Celsius boleh mengakibatkan badan manusia mengalami kelesuan dan strok haba. Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) melaporkan kejadian gelombang haba iaitu suhu yang tinggi boleh meningkatkan risiko yang ketara terhadap kesihatan. Penyakit berkaitan haba berlaku akibat pendedahan kepada jumlah haba dan kelembapan yang tidak normal atau berpanjangan tanpa mendapat bantuan kelegaan atau pengambilan cecair yang mencukupi. Penyakit berkaitan haba biasanya bermula dengan kekejangan haba diikuti oleh kelesuan haba. Jika tiada rawatan diberikan, ia boleh menyebabkan strok haba yang boleh membawa maut.

Strok haba adalah keadaan serius yang memerlukan rawatan perubatan segera. Apabila suhu teras badan meningkat ke paras tinggi yang berbahaya dan mekanisme penyejukan semula jadi seperti berpeluh gagal mengawal suhu tersebut, strok haba akan berlaku. Ini boleh mengakibatkan kerosakan pada organ penting malah boleh membawa maut jika tidak dirawat dengan segera.

Selain itu, faktor keselamatan pekerja juga perlu diutamakan ketika hujan lebat, para pekerja juga tidak dapat diturunkan (bekerja di bangunan yang tinggi) bagi mengelak sebarang kemungkinan dan merisikokan keselamatan mereka. Keselamatan tapak pembinaan juga akan menjadi tidak selamat kepada pekerja untuk melakukan kerja-kerja yang menggunakan kuasa elektrik kerana risiko untuk terkena renjatan elektrik adalah tinggi. Laluan keselamatan juga menjadi kurang selamat untuk digunakan. Para pekerja harus mengikuti protokol keselamatan dan tidak digalakkan untuk bekerja sehinggalah hujan kembali reda. Dari segi kesihatan dan produktiviti pekerja pula, air hujan yang bertakung dan tidak dipantau akan menjadi tumpuan habitat nyamuk aedes. Air yang bertakung dan tercemar turut merisikokan jangkitan penyakit bawaan air kepada para pekerja.

Justeru, dapatlah dirumuskan bahawa kesedaran, pengetahuan am kemahiran berkenaan trend cuaca semasa dalam kalangan kontraktor dan pemaju pembinaan terutama di Malaysia adalah penting untuk merangka penjadualan projek pembinaan. Hal ini bertujuan umengelak kerja-kerja binaan yang penting dirangka sewaktu musim hujan dan suhu extrem. Ini juga membolehkan tambahan masa yang munasabah dimasukan dalam penjadualan kerja. Pemantauan berterusan oleh penyelia tapak dan penyelia projek haruslah disokong dengan data cuaca daripada Jabatan Meteorologi Malaysia (MET) bagi mengetahui trend cuaca semasa. Dengan cara ini, risiko kelewatan projek dapat diatasi dan keselamatan pekerja terjamin apabila maklumat cuaca turut diambil kira semasa proses merangka jadual projek pembinaan.

-- BERNAMA

Prof Madya Dr. Haryati Shafii ialah Pensyarah Pengurusan Persekitaran, Pensyarah & Penyelidik Utama, Pembinaan Infrastruktur Mampan dan Pengurusan Alam Sekitar (CSIEM), Jabatan Pengurusan Pembinaan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)