TINTA MINDA

AL-FALAH PEMACU MALAYSIA MADANI

12/07/2024 10:05 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Datin Paduka Hajah Hakimah binti Mohd Yusoff

Hijrah dari sudut bahasa bererti meninggalkan (al-tark) dan berpindah (al-intiqal). Dari sudut syarak, hijrah bererti berpindah dari tempat yang tidak aman ke tempat yang aman, dari negara kufur ke negara Islam dan meninggalkan segala kemungkaran. Antaranya bersandarkan firman Allah SWT dalam surah al-Muddassir: 5, “Dan segala kejahatan, maka hendaklah engkau jauhi (berhijrah)”. (Abu Safiyyah: 19)

Ini bererti, definisi hijrah bukan tertakluk hanya kepada makna penghijrahan fizikal semata-mata. Rasulullah SAW pernah bersabda, “Tiada hijrah selepas pembukaan kota Mekah, namun jihad dan juga niat…” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Kefahaman hadis ini lebih jelas lagi menerusi riwayat lain daripada Mujasyi’ bin Mas’ud al-Sulami yang menceritakan bahawa beliau telah mendatangi Nabi SAW untuk berbai’ah demi berhijrah dengan Baginda SAW. Lalu Baginda SAW bersabda, “Sesungguhnya hijrah telah selesai untuk ahlinya, tetapi ( berbai’ah ) demi Islam, jihad dan kebaikan”. (Riwayat Muslim)

Ini menunjukkan bahawa erti kata hijrah itu amat luas malah ia boleh diimplementasikan dalam pelbagai bentuk dan peringkat termasuk dalam merangka polisi dan dasar sesebuah kerajaan. Justeru, amat bertepatan jika semangat Ma’al Hijrah dapat diterap dalam Gagasan Malaysia MADANI yang menjadi dasar kerajaan ketika ini.

Gagasan Malaysia Madani

Gagasan Malaysia MADANI diperkenalkan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada 19 Jan 2023. Gagasan ini menepati elemen keterangkuman bagi membina masyarakat bertamadun, bukan sahaja dari aspek fizikal, malah melahirkan modal insan yang cemerlang spiritual. Konsep MADANI menitik beratkan urus tadbir masyarakat yang baik bagi mencapai pembinaan peradaban bangsa. Objektif masyarakat MADANI bukan dinilai dari segi kebendaan atau ekonomi semata-mata, namun yang lebih penting adalah kemajuan dari segi pemikiran dan peradaban.

Selari dengan gagasan tersebut, pelan Al-Falah dilancarkan pada 31 Jan 2023. Pelan Al-Falah adalah Pelan Transformasi Hal Ehwal Agama (HEA) yang bertujuan bagi menjayakan agenda pembaharuan dan pembangunan ummah sejajar dengan aspirasi “Membangun Malaysia MADANI”.

Konsep al-Falah

Secara prinsipnya, konsep al-Falah banyak dibahaskan oleh para sarjana Islam. Istilah al-Falah merangkumi kejayaan kehidupan di dunia dan juga di akhirat. Menurut al-Qurtubi, al-Falah adalah kemenangan atau kejayaan seseorang yang taat, beramal soleh dan bersih daripada unsur syirik dengan keimanan yang teguh. Menurut Kamal Hassan pula, al-Falah adalah gabungan pembangunan fizikal dan spiritual serta moral yang membentuk keseimbangan dalam mencapai kejayaan di dunia dan di akhirat.

Allah SWT memberi jaminan dalam al-Quran dengan menggariskan tujuh kriteria yang boleh membentuk al-Falah dalam diri seseorang iaitu beriman dengan Allah SWT, para Rasul dan hari akhirat, khusyuk dalam solat dengan patuh dan takut kepada Allah SWT, menjauhi perkataan keji, maksiat serta perkara-perkara yang melalaikan, menunaikan zakat sebagai medium penyucian jiwa, memelihara kehormatan, menunaikan amanah serta janji dan memelihara solat dengan sempurna. Ketujuh-tujuh kriteria al-Falah ini akan diganjari dengan ganjaran syurga tertinggi di hari Akhirat kelak.

Dalam konteks ini, pembangunan ummah yang berteraskan konsep al-Falah perlu disemai, digarap, dihayati dan dicapai bagi merealisasikan Gagasan Malaysia MADANI. Sebagaimana termaktub dalam Pelan Al-Falah, lima (5) teras utama akan difokuskan bagi mencapai hasrat membangunkan Malaysia menjadi sebuah negara Islam yang unggul.

Pentadbiran Islam Mampan

Pentadbiran Islam merujuk kepada konsep siyasah syar’iyyah dalam tadbir urus sesebuah negara. Siyasah disyariatkan bertujuan untuk mengatur, mengurus dan mentadbir manusia secara bijaksana. Ini sebagaimana dijelaskan oleh Abdul Wahhab Khallaf bahawa siyasah syar’iyyah itu adalah urusan-urusan pentadbiran sebuah negara Islam dari sudut undang-undang, polisi dan sistem yang bertepatan dengan usul agama Islam walaupun tiada nas syarak yang menyatakannya secara spesifik.

Hukum hakam dalam kategori ini bersifat fleksibel dan syarak tidak memutuskannya secara terperinci. Sebaliknya hukum hakam dalam kategori ini diserahkan kepada ijtihad dan kebijaksanaan pemerintah berdasarkan kepentingan dan keadaan umat Islam.

Para ulama menetapkan bahawa segala tindakan yang ditetapkan pihak pemerintah wajib didasari dengan maslahah dan kebaikan untuk masyarakat umum seluruhnya; iaitu rakyat yang berada di bawah tadbir urusnya. Sekiranya tindakan tersebut bertentangan dengan tujuan dan objektif yang asal, maka tindakan tersebut dianggap tidak sah dan tidak terpakai dari sudut Syarak.

Sebesar-sebesar maslahat syariat serta maqasidnya adalah pelaksanaan segala tuntutan darurat yang lima (5) (agama, nyawa, akal, keturunan dan harta). Dengannya akan terhasillah pemeliharaan keamanan, pengawasan undang-undang dan stabil jiwa serta masyarakat.

Kesimpulannya, pentadbiran Islam yang mampan adalah efektif governan moden yang berteraskan konsep siyasah syar’iyyah. Ia suatu pengendalian urusan ummah mengikut peraturan dan undang-undang yang menepati kehendak syarak bagi memenuhi kepentingan manusia dan keperluan mereka. Perkara yang paling utama dalam siyasah ialah maslahah atau kepentingan orang ramai dan penyediaan keperluan hidup mereka.

Kesejahteraan Insan

Dalam konteks kemanusiaan, Rasulullah SAW menjadi model dalam mengangkat ukhuwwah insaniyyah atau persaudaraan kemanusiaan. Baginda SAW berusaha menghapuskan apa jua bentuk diskriminasi atas nama agama, bangsa, warna kulit mahupun keturunan.

Ini menunjukkan, Islam merupakan agama yang terbangun di atas prinsip memuliakan manusia atau takrim al-insan, berdasarkan firman Allah SWT dalam Surah al-Isra’ ayat 70 :

وَلَقَدْ كَرَّمْنَا بَنِي آدَمَ

Maksudnya, “Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam.”

Ini selari dengan Perlembagaan Persekutuan dalam Perkara 11 yang menyatakan tiap-tiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya dan, tertakluk kepada Fasal (4), iaitu tidak mengembangkannya kepada penganut beragama Islam. Demikian juga Perkara 12 yang memberikan hak asasi untuk semua warganegara mendapat pendidikan tanpa sebarang diskriminasi sama ada atas alasan agama, ras, keturunan atau tempat lahir.

Sekiranya diteliti dan ditelusuri prinsip-prinsip asas dan maqasid kulliyyah yang terkandung dalam nas-nas syarak, maka akan terserlah kejelasan konsep kemanusiaan menurut Islam. Bahkan, syariat Islam yang bersifat rabbaniyyah telah meletakkan asas-asas penting dari sudut hubungan kemanusiaan dalam Islam.

Berdasarkan asas-asas kemanusiaan yang dinyatakan di atas, Islam merupakan agama yang membawa risalah a’lamiyyah (universal) bertujuan menyalurkan kesejahteraan yang seimbang dan kebahagiaan lestari serta berkekalan. Sehubungan itu, para ulama Islam telah menggagaskan suatu disiplin ilmu dikenali sebagai fiqh al-ta’ayush, iaitu tatacara kehidupan bersama antara golongan Islam dan bukan Islam dalam keadaan harmoni dan aman dalam sebuah negara berasaskan konsep muwatanah (kewarganegaraan).

Kesimpulannya, kerencaman bangsa dan agama yang telah wujud sejak awal penubuhan negara ini sepatutnya menjadikan warganya sebuah masyarakat multi-etnik yang matang dan berjiwa besar. Prinsip-prinsip persefahaman yang menjadi tonggak perpaduan rakyat dan keamanan negara sebagaimana yang diperjuangkan oleh generasi terdahulu perlu dipertahankan dan dipelihara sampai bila-bila.

Kemuliaan Syariah

Baginda Rasulullah SAW datang dengan membawa suatu peraturan hidup atau syariat yang sempurna. Ia bukan akal manusia tetapi bersumberkan wahyu yang diturunkan Allah SWT kepada penutup segala Nabi. Firman Allah SWT dalam surah al-Jathiyah ayat 18 :

ثُمَّ جَعَلْنَاكَ عَلَىٰ شَرِيعَةٍ مِّنَ الْأَمْرِ فَاتَّبِعْهَا وَلَا تَتَّبِعْ أَهْوَاءَ الَّذِينَ لَا يَعْلَمُونَ

Maksudnya, “Kesudahannya Kami jadikan engkau (wahai Muhammad dan utuskan engkau) menjalankan satu Syariat (yang cukup lengkap) dari hukum-hukum ugama; maka turutlah Syariat itu, dan janganlah engkau menurut hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui (perkara yang benar).”

Menurut al-Sa’di, berdasarkan ayat di atas, pelaksanaan kepada syariat itu akan menjamin kebahagian abadi, kebaikan dan kejayaan. Maka dapat difahami, di sebalik syariat itu tersirat objektif atau matlamat demi memelihara kemaslahatan umat manusia yang dikenali sebagai Maqasid Syariah. Ia terbina di atas lima asas yang menjadi keperluan setiap manusia iaitu memelihara agama, nyawa, akal, keturunan dan harta benda.

Sifat sejagat Maqasid Syariah amat bersesuaian dijadikan sebagai asas kerangka strategik dalam mengurus pentadbiran dan keperluan rakyat tanpa mengira sempadan agama dan bangsa. Prinsip Berasaskan Nilai (Value-based Principles) seperti keutamaan (aulawiyat) dalam tindakan dan memberi ruang kepada penambahbaikan ( islah ) yang terkandung dalam Maqasid Syariah mampu menjadi wahana yang ampuh dalam menghasilkan impak terbaik bagi menangani isu-isu tadbir urus, kemanusiaan, keadilan, kesihatan, ekonomi dan pelbagai lagi.

Justeru, umat Islam disaran berpegang teguh kepada Syariat Islam yang syumul dan memiliki ciri-ciri yang unggul seperti kesederhanaan (wasatiyyah), tidak terlampau ekstrem dan tidak terlampau liberal, di samping mendukung penuh segala usaha pemerintah untuk merealisasikan pelaksanaan syariat Islam di dalam negara selaras dengan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan berdasarkan Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Kepimpinan Berdaya Cipta

Bagi menjamin kekal berdaya saing, sesebuah negara memerlukan sebuah kepimpinan yang berdaya cipta. Secara realiti, hampir mustahil untuk membentuk sebuah kepimpinan yang sempurna selain daripada kepimpinan yang ditunjukkan oleh para nabi dan rasul. Namun demikian, syarak telah meletakkan syarat kepimpinan yang jelas iaitu al-Qawi dan al-Amin.

Al-Qawi dalam bahasa moden boleh diterjemahkan sebagai kompeten. Seorang pemimpin yang kompeten adalah pemimpin yang memiliki kekuatan sama ada dari sudut fizikal, spiritual, intelektual, kemampuan, kemahiran, pengalaman, dan kebijaksanaan dalam menjalankan amanah, sesuai dengan amanah yang dipikul.

Manakala al-Amin pula adalah integriti. Sifat kedua ini bahkan lebih utama dan perlu menjadi pelengkap kepada sifat pertama. Negara yang ditadbir pemimpin yang memiliki kompetensi tanpa integriti bakal merosakkan masa depan anak bangsa. Begitu juga negara yang ditadbir oleh pemimpin yang berintegriti tanpa kompetensi, tidak akan ke mana-mana.

Kedua-dua sifat ini terakam dalam kisah Nabi Musa dan Nabi Shuaib sebagaimana yang dirakamkan dalam surah al-Qasas ayat 26, firman Allah SWT :

قَالَتْ إِحْدَاهُمَا يَا أَبَتِ اسْتَأْجِرْهُ ۖ إِنَّ خَيْرَ مَنِ اسْتَأْجَرْتَ الْقَوِيُّ الْأَمِينُ

Maksudnya: “Salah seorang di antara perempuan yang berdua itu berkata: “Wahai ayah ( Shuai b), ambilah dia ( Musa ) bekerja, Sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang kompeten, lagi berintegriti.

Justeru, dalam melahirkan kepimpinan yang berdaya cipta, generasi belia perlu diberikan ruang yang sewajarnya. Golongan belia perlu dibangun berpaksikan landasan akidah, syariah dan akhlak. Kekuatan fizikal dan intelektual yang ada pada golongan belia hendaklah selari dengan kekuatan spiritual agar negara dapat membina suatu peradaban yang cemerlang dan mampan.

Kehormatan Institusi Islam

Perkara 3 Fasal (1) Perlembagaan Persekutuan telah memperuntukkan bahawa Islam adalah agama bagi Persekutuan, tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.

Berdasarkan Fasal (2) dan Fasal (5) Perkara 3 Sultan Negeri-Negeri menjadi Ketua Agama Islam di Negeri masing-masing dan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) menjadi Ketua Agama Islam di Sabah, Sarawak, Pulau Pinang, Melaka dan Wilayah-Wilayah Persekutuan. Kedudukan istimewa Islam sebagai agama utama dan dominan turut dikukuhkan melalui fasal (1) dan fasal (4) Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan.

Ini bermakna, penubuhan pelbagai institusi Islam seperti Majlis Agama Islam, Jabatan Agama Islam, Jabatan Mufti, Pusat Pungutan Zakat, institusi wakaf, masjid, madrasah dan sekolah agama serta lain-lain adalah berasaskan kedudukan Raja-Raja Melayu sebagai Ketua Agama Islam. Semestinya dalam mentadbir hal ehwal agama, Raja-Raja selaku Ketua Agama Islam memerlukan institusi yang boleh membantu baginda melaksanakan pengurusan hal ehwal agama Islam di peringkat negeri dan persekutuan.

Justeru, sebagai warganegara Malaysia, kita berkewajipan mengangkat, mempertahankan dan menghormati kedudukan institusi Islam selaras dengan prinsip Rukun Negara iaitu “Kesetiaan kepada Raja dan Negara” dan “Keluhuran Perlembagaan”.

Kesimpulannya, Gagasan Malaysia MADANI yang diterajui oleh YAB Perdana Menteri mampu untuk dicapai dengan cemerlang dan gemilang sekiranya konsep al-Falah benar-benar difahami, dihayati dan diimplementasikan. Sebaliknya kalimah “Ma’al Hijrah” hanya akan menjadi slogan semata-mata sekiranya kelima-lima teras yang dinyatakan tidak dijadikan panduan dan pedoman. Ini kerana kesemua teras itu bukanlah perkara baru yang direkayasa sebaliknya merupakan kefahaman yang diekstrak daripada nas al-Quran, al-Sunnah dan sirah.

-- BERNAMA

Datin Paduka Hajah Hakimah Mohd Yusoff ialah Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)