TINTA MINDA

MENANGANI KOS SARA HIDUP DAN PERANAN AHLI AKADEMIK

19/07/2024 09:39 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Profesor Dr Haslinda Abdullah

Komitmen YAB Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam memastikan kos sara hidup rakyat Malaysia adalah di tahap yang seimbang merupakan satu perkara yang tidak boleh dinafikan lagi. Begitu juga kesungguhan beliau dalam menghapuskan miskin tegar. Ianya jelas dalam ucapan beliau sewaktu pertama kali dilantik sebagai perdana menteri ke sepuluh dan di dalam setiap ucapan beliau sepanjang jerayawara beliau di setiap 14 negeri yang dilawati. Walau bagaimanapun komitmen beliau sahaja tidak mencukupi, ianya harus dihadam serta diterjemahkan oleh keseluruhan sistem pentadbiran yang ada dan ini termasuklan ahli akademik. Apatah lagi pengumuman kenaikan gaji sebanyak 15 peratus seharusnya menjadi motivasi yang kuat bagi komitmen yang tidak berbelah bagi diberikan.

Teguran terhadap ahli akademik juga pernah di sebut di dalam ucapan-ucapan beliau. Sebagai golongan yang diiktiraf dari segi kepakaran dalam bidang masing-masing sudah pasti kepakaran tersebut seharusnya digunakan untuk kepentingan watan dan bukan sahaja disusun kemas di dalam silibus mahupun hasil penulisan ilmiah. Menterjemahkan teori kepada praktikal bukanlah sesuatu yang mudah, namun konsep jaringan bersama industri dan masyarakat, peruntukan geran yang memerlukan penyelidik turun untuk lebih memahami isu dan keperluan masyarakat menjadikan usaha tersebut menjadi semakin mudah dan praktikal. Sokongan daripada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan industri dalam memperuntukkan sejumlah kos untuk penyelidikan merupakan satu usaha yang sangat signifikan bagi menjadikan ilmu yang ada dapat ditumpahkan kembali kepada golongan yang memerlukan.

Kepakaran

Dalam konteks kos sara hidup, Universiti Putra Malaysia (UPM) selaku universiti yang dipertanggungjawabkan menerajui isu keterjaminan makanan mempunyai sebilangan besar pakar yang mampu dan layak untuk memikul tanggungjawab ini. Dari segi pertanian, aqua-marin, teknikal, nutrisi, komunikasi, kecerdasan buatan, kesihatan, mahupun sosial UPM mempunyai pakar yang berkaitan untuk menerajui isu ini. Apa kaitan kos sara hidup dan keterjaminan makanan? Sudah pasti ianya sangat berkait. Sekiranya kita melihat piramid keperluan asas manusia, jauh di dasar piramid tersebut adalah terkait dengan keperluan asas iaitu makanan, pakaian dan tidur yang cukup. Pakaian dan tidur menjadi perkara kedua sekiranya manusia tidak mendapat cukup makan. Krisis makanan yang berlaku mutakhir ini juga menjelaskan peri pentingnya Malaysia bersiap siaga dari segi keterjaminan makanan secara serius. Konflik yang berlaku antara Ukraine-Rusia, Iran-Israel dan pelbagai konflik ketenteraan dan krisis makanan di merata tempat di peringkat antarabangsa menyebabkan Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat perlu memperkemaskan perkara asas ini. Justeru, apabila perdana menteri menyentuh berkaitan peranan ahli akademik yang perlu lebih ke hadapan dalam menangani isu-isu yang sedang di depani oleh negara, penulis terpaksa bersetuju walaupun hakikatnya pahit kerana usaha yang dilakukan rupa-rupanya masih belum mencukupi.

Ahli akademik seperti penulis tidak lagi boleh berada di bilik sambil memikirkan berapa H-index yang telah dicapai serta berapa penulisan ilmiah di tahap Q1 yang telah diterbitkan. Sejumlah masa perlu diperuntukan untuk lebih memahami apa yang berlaku di luar tembok universiti. Keperluan mendampingi masyarakat dan menangai isu yang dihadapi secara bersasar sangat kritikal. Ini kerana terdapat isu yang harus ditangani secara kelompok dan tidak sesuai menggunakan kaedah ‘One size fit all’. Kaedah ini terpakai untuk semua bidang, sama ada sains dan teknologi lebih-lebih lagi mereka dalam bidang sains sosial seperti penulis. Sebagai contoh, isu kesihatan mental yang semakin ketara harus ditangani dengan segera dan memfokus kepada kelompok yang berkaitan sebelum ianya membarah dalam masyarakat begitu juga isu kemiskinan tegar yang memerlukan ahli akademik bekerja lebih keras dalam mencari formula yang sesuai untuk merubah paradigma sebahagian dari mereka yang berada dalam kelompok ini disebabkan oleh cara fikir serta sikap mereka sendiri yang pesimis dan negatif. Ia tidak mudah tapi mesti dilakukan.

Peranan semua pihak

Dengan sokongan daripada perdana menteri yang membawa konsep MADANI, penekanan adalah lebih kepada nilai berdasarkan enam teras iaitu Kemampanan, Kesejahteraan, Daya Cipta, Hormat, Keyakinan dan Ihsan. Penulis pasti apa yang dilaungkan oleh beliau dapat disambut dengan baik oleh semua pihak lebih-lebih ahli akademik. Diharapkan ini dapat membuka mata pihak industri untuk turut sama secara aktif membantu gerak kerja ahli akademik dalam melaksanakan tugas mereka. Ini kerana kerja-kerja penyelidikan bukanlah sesuatu yang murah tetapi mesti dilaksanakan untuk mendapatkan mitigasi ataupun perancangan terbaik dalam mengatasi sesuatu isu. Negara maju seperti Jepun dan Amerika telah menunjukkan contoh kepentingan memperuntukan sejumlah besar wang untuk memastikan kajian dalam bidang kritikal dilaksanakan dengan sebaik mungkin.

Moga kehadiran ramai ahli akdemik dalam masyarakat akan menjadikan hasrat dan cita-cita perdana menteri dan masyarakat secara keseluruhannya dapat diterjemahkan sesegera yang mungkin. Prosesnya mungkin panjang tetapi hasil yang lebih holistik sifatnya dapat direalisasikan sekiranya seluruh ekosistem pentadbiran serta para profesional menyedari tanggung jawab mereka. Konsep yang ringan sama dijinjing, berat sama dipikul harus diterapkan dalam menjadikan negara Malaysia sebuah negara yang sejahtera. Impak sebenar kehadiran ahli akademik dalam masyarakat perlu dirasai dan memberi kesan kepada masyarakat. Ini penting kerana kehadiran ahli akademik seharusnya memberi rahmat dipersekitaran di mana mereka berada.

-- BERNAMA

Profesor Dr Haslinda Abdullah ialah Pengarah, Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS) Universiti Putra Malaysia.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)