TINTA MINDA

PELANTIKAN PAKAR RUJUK DI IPT BENTUK KETERAMPILAN SISWA

26/07/2024 10:02 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh: Mohamad Letfee Ahmad

Pelantikan pakar, tokoh dan personaliti pelbagai bidang sebagai Ahli Lembaga Pengarah, Felow, Profesor Adjung, Karyawan Tamu dan Pakar Bidang di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) awam atau swasta di mana sahaja di dunia telah lama diamalkan. Tiada siapa mempertikaikan pelantikan mereka kerana mereka sememangnya pakar dalam bidang masing-masing.

Tiba-tiba apabila Datuk Seri Siti Nurhaliza dilantik, satu negara kecoh. Kita sepatutnya berasa bangga dan menyokong pelantikan beliau demi kepentingan industri kreatif dan bidang pendidikan itu sendiri.

Siti Nurhaliza bukan penyanyi pertama dilantik sebagai pakar rujuk di IPT. Pada tahun 2015, penyanyi Fauziah Latiff dilantik sebagai Karyawan Tamu di Pusat Pengajian Sains Perikanan dan Akuakultur, Universiti Malaysia Terengganu (UMT). Walaupun beliau berkhidmat di pusat yang tiada kaitan dengan dunia hiburan, Fauziah telah melaksanakan tugasnya dengan cemerlang.

Dalam isu pelantikan Siti Nurhaliza sebagai Pakar Bidang di Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya (UMCced), Ketua Jabatan Pengajian Media dan Komunikasi UM, Prof. Madya Dr. Mohamad Saleeh Rahamad berpendapat bahawa tidak menjadi masalah buat UMCced melantiknya sebagai pakar. Katanya pelantikan penyanyi nombor satu negara itu disifatkan sebagai satu nilai tambah buat pusat pengajian tersebut dan peserta kursusnya. Berbeza dengan fakulti, UMCced bukan mengeluarkan ijazah. Pusat itu hanya menganjurkan program Diploma, Diploma Eksekutif, Sijil Profesional dan kursus pendek dalam pelbagai bidang.

Sebelum pelantikan Siti Nurhaliza, UM telah melantik penyanyi era 1980-an, Ferri Anugerah Makmur sebagai Felow Pembelajaran berdasarkan Pengalaman Industri dan Teknokrat (ELITE) pada Januari lalu. Beliau yang baru berjinak-jinak dengan dunia penulisan ditempatkan di Fakulti Bahasa dan Linguistik bagi menambah nilai para pelajar bidang berkenaan.

Persoal kelayakan

Pada 2019, personaliti TV, Datin Vivy Sofinas Yusof dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Universiti Teknologi MARA (UiTM) ketika berusia 32 tahun. Pelantikan Vivy menimbulkan rasa kurang senang kalangan warga siber yang mempersoalkan kelayakan usahawan terkenal itu. Mereka sebaliknya mencadangkan UiTM melantik alumni universiti yang menurut mereka wajar diberi penghormatan menduduk kerusi Lembaga Pengarah.

Penulis yang ketika itu masih berkhidmat sebagai editor media berpendapat bahawa pelantikan Vivy itu wajar berdasarkan pencapaiannya dalam bidang perniagaan. Ikon fesyen negara itu menerima pelbagai anugerah sepanjang pembabitannya dalam bidang fesyen termasuk Bella Business Award pada 2013.

Hasrat warga siber untuk melihat alumni UiTM dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah universiti itu tercapai setahun kemudian apabila pereka dan usahawan fesyen yang juga lulusan Seni Lukis dan Seni Reka (Fesyen), Datuk Rizalman Ibrahim dilantik pada Oktober 2020 untuk tempoh tiga tahun. Tiada sebarang suara kedengaran kerana pelantikan itu berlaku secara kebetulan dan bukan atas desakan sesiapa.

Kejayaan Rizalman tidak berhenti setakat itu. Menjelang hari ulang tahun kelahirannya ke-52 pada Oktober tahun lalu, beliau dilantik sebagai Profesor Adjung Fakulti Akademi Islam dan Kontemporari (ACIS) UiTM berkuat kuasa 13 Ogos 2023 hingga 30 Julai 2025.

Tentangan di barat

Di United Kingdom, bantahan seperti yang dialami oleh Siti Nurhaliza dan Vivy Yusof juga berlaku terhadap pelakon Angelina Jolie yang berkhidmat sebagai duta khas ke Pertubuhan Bangsa Bersatu. Aktivis kemanusiaan itu menjadi Pensyarah Bersama kursus sarjana dalam bidang Wanita, Gender dan Keselamatan di London School of Economics bergandingan dengan bekas Setiausaha Luar United Kingdom, William Hague.

Berbeza dengan Jolie, pelantikan personaliti TV, model dan usahawan, Tyra Banks sebagai pensyarah undangan untuk kursus Penjenamaan Diri di Stanford Business School di California pada Mei 2017 disambut baik oleh komuniti akademik. Imej beliau sebagai pakar dalam bidang pemasaran dan penjenamaan turut melonjakkan nama Stanford yang telah melahirkan alumni terkemuka seperti Tiger Woods, Chelsea Clinton dan Condoleezza Rice.

Satu lagi nama yang wajar disebut ialah Peyton Manning yang dilantik sebagai Profesor Pakar oleh Fakulti Komunikasi dan Maklumat, University of Tennessee, Knoxville pada tahun lalu. Pelantikan Manning yang merupakan seorang personaliti media, usahawan, pengulas sukan dan bekas atlet profesional diterima baik oleh semua pihak.

Pakar dihormati masyarakat

Kecaman dan bantahan terhadap pelantikan tokoh industri kreatif dan seni di Malaysia hanya berlaku dalam kalangan warga siber sahaja. Isu ketidakpercayaan terhadap kemampuan pakar seni biasanya dikaitkan dengan ketiadaan kelulusan atau pengalaman sesuai.

Namun dalam banyak situasi, pakar yang dilantik biasanya terdiri daripada tokoh yang diakui kebolehan mereka dan dihormati masyarakat.

Pada tahun 1985, penulis pernah menulis ulasan filem Ali Setan lakonan Azmil Mustapha dan Fauziah Ahmad Daud di sebuah akhbar tempatan. Filem itu diarahkan oleh Tan Sri Jins Shamsuddin ketika beliau menjadi Karyawan Tamu di Universiti Sains Malaysia (USM). Filem terbitan bersama Amir Communications dan Pusat Pengajian Ilmu Komunikasi itu merupakan projek yang dilahirkan melalui kursus perfileman pusat tersebut.

Pembabitan pelajar sebagai tenaga penerbitan dan pelakon telah mendedahkan mereka kepada pengalaman sebenar bekerja di lokasi penggambaran. Kejayaan filem itu menerima beberapa anugerah dalam Festival Filem Malaysia ke-6 pada 1986 termasuk Pelakon Lelaki Terbaik dan Pelakon Wanita Terbaik membuktikan bahawa filem hasil kolaborasi universiti dan industri mampu mencapai matlamat meningkatkan mutu filem negara.

Seorang lagi aktivis seni veteran yang pernah berkhidmat sebagai Karyawan Tamu di USM ialah Che Mat Jusoh, seorang Adiguru Makyung, Wayang Kulit dan Gamelan. Karyawan Tamu Pusat Pengajian Seni itu pernah dinobatkan sebagai Tokoh Seni Budaya Negeri Pulau Pinang 2023.

Pakar berprofil tinggi

Penulis mengenali ramai pakar industri kreatif dan seni yang dilantik dalam program pembelajaran di IPT termasuk menjadi tenaga pengajar. Contoh terbaik ialah pengarah dan pengkritik filem, Hassan Abdul Muthalib yang dilantik sebagai pensyarah kursus perfileman di beberapa IPT tempatan hanya berbekalkan pengalaman lebih 50 tahun dalam industri kreatif termasuk 27 tahun di Filem Negara. Beliau yang menerima pengiktirafan sebagai Bapa Animasi Malaysia pada 2012 dan Anugerah Merdeka (2018) turut menerima undangan memberi ceramah di beberapa universiti luar negara.

Seorang lagi pakar industri yang wajar disebut ialah Ahmad Ibrahim atau lebih popular dengan nama Mat London. Allahyarham yang juga bekas Presiden Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) dilantik sebagai Sarjana Kreatif oleh Fakulti Filem, Teater dan Animasi UiTM dan ditugaskan sebagai pensyarah perfileman di fakulti tersebut.

Bekas Pengarah Muzik, Radio Televisyen Malaysia yang kemudian memegang jawatan Pengarah Muzik Orkestra Kuala Lumpur (1987-2000) dan Perunding Muzik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (2001-2004), Datuk Johari Salleh dilantik sebagai Felow Tamu di Pusat Kebudayaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mulai 2004 hingga 2008. Setelah tamat perkhidmatan di pusat itu, beliau dilantik pula sebagai Felow Kanan di Pusat Perkembangan Pelajar universiti yang sama.

UKM antara IPT yang kerap melantik Profesor Adjung daripada kalangan tokoh berprofil tinggi. Antara mereka ialah bekas Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Tan Sri Norliza Rofli di Pusat Kajian Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu (2023-2025) dan Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman (Pusat Kajian Media & Komunikasi, 2021-2023).

Seorang lagi personaliti penyiaran yang pernah berkhidmat sebagai Profesor Adjung di UKM ialah bekas Pengurus Radio Klasik, Datuk Chuari Selamat yang berkhidmat di Institut Alam dan Tamadun Melayu. Di UM pula, Datuk Aznil Hj Nawawi, alumni 1984, dilantik sebagai Profesor Adjung di Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, berkuat kuasa 9 Oktober 2023.

Pelantikan terbaharu dibuat oleh Universiti Utara Malaysia (UUM) apabila pelakon dan pengarah filem yang juga Pengerusi FDAM, Datuk Afdlin Shauki dilantik sebagai Profesor Adjung Pusat Pengajian Pengurusan Industri Kreatif dan Seni Persembahan untuk tempoh dua tahun mulai 16 Jun 2024.

Sebelum itu, Datuk Redzuawan Ismail atau lebih dikenali sebagai Chef Wan dilantik semula sebagai Profesor Adjung, Pusat Pengajian Pengurusan Pelancongan, Hospitaliti dan Alam Sekitar UUM untuk penggal ke tiga selama dua tahun berkuat kuasa 1 November 2023.

Pakar pelbagai bidang

Tidak ketinggalan berkongsi pengalaman dan kepakaran di IPT ialah tokoh kewartawanan. Bekas Menteri Penerangan yang juga bekas Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Tan Sri Zainuddin Maidin dilantik sebagai Karyawan Tamu UUM untuk tempoh setahun mulai 1 Mac 2010.

Pada tahun sama, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melantik bekas Editor Dewan Masyarakat yang juga penulis buku Natrah, Datin Seri Fatini Yaacob sebagai Karyawan Tamu. Turut dilantik bersama-sama beliau ialah kartunis Datuk Mohd. Nor Khalid atau Lat.

Pada 2014, bekas Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Press Institute (MPI) dan Pengurus Besar Kanan / Ketua Editor, Bilik Berita TV3 (1999-2007), Datuk Chamil Wariya dilantik sebagai Karyawan Tamu Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dalam bidang Komunikasi.

UMT dilihat lebih berani dalam pelantikan pakar rujuk. Selepas pelantikan penyanyi Fauziah Latiff pada 2015, universiti di pantai timur itu melantik jaguh lumba basikal negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang sebagai Karyawan Tamu di Pusat Pembangunan Holistik dan Kokurikulum, Hal Ehwal Pelajar dan Alumni pada 2021.

Walau apa pun bidang kepakaran yang dimiliki oleh tokoh-tokoh yang dilantik, sumbangan mereka amat besar ertinya dalam membentuk sahsiah para siswa agar berketerampilan dan mampu bersaing dalam industri masing-masing.

-- BERNAMA

Mohamad Letfee Ahmad ialah bekas Pengurus Program, Bernama TV, kini menjadi Naib Presiden Persatuan Teater Malaysia.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)