TINTA MINDA

KAWALAN RASA MALU MANGSA BULI MENOKTAHKAN FENOMENA BULI

29/07/2024 10:29 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh: Dr Mohamad Naqiuddin Bin Dahamat Azam

Buli adalah isu sosial yang tiada penghujung dan mendapat perhatian ramai. Tingkah laku agresif ini boleh berlaku secara fizikal atau lisan. Ia memberi kesan secara langsung kepada setiap individu tidak kira peringkat umur. Jika di sekolah, buli boleh menjejaskan prestasi akademik pelajar. Manakala buli di tempat kerja menjejaskan produktiviti dan kepuasan kerja serta mewujudkan budaya organisasi yang toksik.

Saban tahun, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan untuk mengekang isu buli. Pun begitu, satu faktor penting yang merumitkan usaha untuk menoktahkan buli adalah malu yang membelenggu mangsa buli. Malu adalah emosi yang lahir apabila harga diri tercalar. Tidak dinafikan bahawa mangsa buli sering berasa malu rentetan daripada penghinaan yang dialami sehingga menjejaskan harga diri mereka. Bahkan, penelitian ke atas kajian lepas mendapati bahawa emosi negatif ini mampu merencatkan bantuan dan sokongan kepada mangsa buli, sekali gus menyulitkan usaha menoktahkan isu ini.

Pengasingan Diri

Mangsa buli yang mengalami emosi malu yang memuncak cenderung untuk memencilkan diri daripada persekitaran sosial mereka. Rasa bimbang diri akan diejek, diketepikan, mahupun dinilai secara negatif, menyebabkan mangsa tidak berani untuk melaporkan penderitaan yang dialami. Pengasingan diri yang berlaku secara berterusan boleh menyulitkan usaha menyalurkan sokongan emosi kepada mangsa oleh ahli keluarga dan rakan sebaya. Sikap mendiamkan diri akan menyukarkan campur tangan pihak berkuasa dan menidakkan mangsa buli mendapatkan perkhidmatan bimbingan dan kaunseling yang boleh diberikan oleh kaunselor bertauliah.

Masalah Kesihatan Mental

Perasaan malu yang menebal juga boleh mencetuskan masalah kesihatan mental yang serius kepada mangsa buli. Perasaan sedih, takut, dan putus asa yang sering ditanggung oleh mangsa boleh dikaitkan dengan ketidakupayaan untuk menguruskan bebanan rasa malu mereka. Bahkan, kegagalan mangsa buli untuk mengawal emosi negatif tersebut boleh memburukkan lagi tekanan emosi mereka. Bahkan, bebanan emosi negatif yang tidak tertanggung mampu melorong kepada episod kemurungan, sehingga ada mangsa buli yang menganggap bunuh diri sebagai satu penyelesaian yang terbaik kepada masalah mereka.

Stigma dan Sikap Masyarakat

Stigma masyarakat turut membebankan lagi emosi malu yang dialami oleh mangsa buli. Keadaan ini merangkumi stereotaip dan salah tanggapan yang memudaratkan. Misalnya, kepercayaan bahawa buli adalah asam garam dalam kehidupan kanak-kanak dan remaja. Malahan, wujud segelintir ahli masyarakat yang mengagungkan tingkah laku buli dengan melabelkan mangsa sebagai lemah, penakut, atau manja. Corak pemikiran seperti ini adalah berbahaya dan hanya membuka ruang dan peluang untuk perilaku buli dinormalisasikan di dalam masyarakat. Akibatnya, mangsa akan beranggapan bahawa pengalaman buruk yang mereka alami sebagai tidak penting dan serius. Justeru, stigma dan sikap masyarakat yang tidak menyokong menyukarkan usaha melaksanakan gerakan anti-buli yang berkesan.

Kebimbangan terhadap Persepsi Negatif

Mengakui secara terbuka wujudnya kejadian buli di organisasi adalah satu tugas yang mencabar. Pengakuan tersebut boleh mewujudkan prasangka dan persepsi negatif ahli komuniti setempat terhadap sesebuah sekolah atau tempat kerja. Namun begitu, penafian terhadap kewujudan kes buli di sesebuah organisasi kebiasaannya bertujuan menjaga imej positif mereka daripada tercalar. Keadaan ini menyebabkan organisasi tidak melaporkan sebarang insiden buli, gagal menguatkuasakan dasar anti-buli, dan kurang ketelusan dalam mengendalikan kes.

Perkasa Mangsa Buli

Satu inisiatif penting dalam memecahkan tembok malu mangsa buli adalah dengan menggalakkan mereka bersuara tanpa rasa takut diadili. Mangsa yang mampu meluahkan kesengsaraan mereka tanpa dikritik, dipersalahkan, atau diketepikan, akan memudahkan urusan penyampaian bantuan dan sokongan kepada mangsa di samping turut mengurangkan bebanan emosi malu mereka. Di samping itu, program kesedaran yang komprehensif boleh dilaksanakan untuk memupuk pemahaman masyarakat berkenaan fenomena buli dan langkah pencegahannya. Pengetahuan asas berkenaan buli, kepentingan intervensi, dan peranan psikologi boleh ditekankan dalam pelaksanaan program tersebut. Pemahaman yang tuntas akan dapat memupuk rasa empati ahli masyarakat untuk membantu dan menyokong mangsa buli dengan sewajarnya. Selain itu, penyediaan mekanisme pelaporan tanpa nama boleh membantu mangsa mengawal perasaan malu mereka. Melaporkan kes buli tanpa mendedahkan nama mangsa adalah satu usaha penting dalam mencipta cara yang selamat untuk mendedahkan insiden buli tanpa rasa takut. Dengan memastikan kerahsiaan mangsa terpelihara, situasi ini menggalakkan mangsa melaporkan kes buli serta memudahkan urusan penyampaian bantuan dan sokongan.

Kesimpulan

Rasa malu perlu dikawal dengan baik, terutamanya kepada mangsa buli. Perasaan malu yang tidak diuruskan secara berkesan boleh menatijahkan impak negatif kepada kesihatan mental dan kesejahteraan secara menyeluruh. Namun, dengan sokongan dan intervensi yang tepat, mangsa buli boleh mengatasi emosi negatif ini, membina daya tahan, dan memupuk imej diri yang lebih positif, yang membawa kepada kehidupan yang lebih bermakna.

-- BERNAMA

Dr Mohamad Naqiuddin Bin Dahamat Azam ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM).

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)