TINTA MINDA

PERTABALAN YANG DI-PERTUAN AGONG: MENJAGA NILAI KESETIAAN DAN PATRIOTISME DALAM PERADABAN NUSA BANGSA MALAYSIA

24/07/2024 03:28 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh: Dr Ahmad Nasir Mohd Yusoff

Acara penting dalam sejarah negara kita ialah Pertabalan Yang di-Pertuan Agong. Istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 Sultan Ibrahim telah berlangsung pada 20 Julai 2024.

Ia bukan sahaja lambang kedaulatan negara tetapi juga lambang perpaduan rakyat dan kesatuan, memahami dan akur dengan hak keistimewaan dan kedudukan Raja Melayu seperti yang diperuntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Disamping menghormati bidang kuasa Raja, Kesetiaan kepada Raja dan Negara merupakan elemen penting yang memperkasakan perpaduan serta semangat patriotik dalam kalangan masyarakat yang pelbagai di Malaysia.

Menghormati Institusi Raja

Dalam keadaan seperti ini, marilah kita memupuk nilai kesetiaan dan hormat kepada negara kita, yang harus ditanam dalam hati setiap rakyat Malaysia. Acara pertabalan ini mengingatkan kita bahawa menghormati institusi raja adalah penting untuk keamanan dan kestabilan negara.

Keharmonian masyarakat bergantung pada nilai kesetiaan kepada raja dan negara. Kesetiaan ini ditunjukkan dalam kehidupan seharian kita, bukan sahaja memberi penghormatan dalam upacara pertabalan.

Rakyat Malaysia harus sedar bahawa raja adalah komponen penting dalam struktur pemerintahan negara. Ia menggalakkan perpaduan negara dan melindungi hak semua kaum Malaysia.

Malahan ia menjadi nilaian penting dalam Rukun Negara yang menjadi landasan utama bagi mewujudkan keharmonian, keselamatan dan kemajuan negara Malaysia.

Rakyat Malaysia harus sentiasa mempunyai semangat setia kepada raja dan negara tanpa mengira bangsa dan budaya selama mana menjadi warga negara Malaysia dan perlu difahami dengan mendalam terutamanya kesetiaan atau kepatuhan kepada Raja sebagai pemerintah dan Ketua Negara bagi menjamin kestabilan dan keselamatan negara.

Perkara 32 Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menyebut bahawa Yang Dipertuan Agong (YDPA) adalah Ketua Negara. Perkara 44 pula menyebut bahawa YDPA adalah sebahagian daripada komponen yang membentuk Parlimen di negara ini. Justeru perinsip kesetiaan kepada Raja dan Negara menjadi unsur penting dan ciri utama dalam soal pemerintahan dan kewarganegaraan di Malaysia.

Malaysia adalah negara berdaulat dan merdeka kerana mempunyai sistem pemerintahan dan pentadbiran berlandaskan kepada Sistem Raja Berperlembagaan. Maka selayaknya setiap warganegara Malaysia menumpukan sepenuh taat setia secara jujur dan ikhlas kepada YDPA dan negara.

Kepatuhan kepada undang-undang, menghormati institusi negara dan menjaga keamanan dan keharmonian masyarakat adalah bukti kesetiaan ini. Dalam era globalisasi yang mencabar ini, kita mesti lebih berhati-hati terhadap anasir luar yang boleh menjejaskan kestabilan negara kita.

Kesetiaan Kepada Raja

Kesetiaan kepada raja dan negara kita adalah satu-satunya benteng yang ada. Apabila dikatakan kesetiaan kepada Raja ia berkaitan dengan kedudukan institusi Diraja, peranan institusi Diraja dan cara menghormati institusi Diraja.

Manakala kesetiaan kepada negara pula ia merujuk kepada konsep kedaulatan negara, cara menzahirkan kesetiaan kepada negara dan pemupukan semangat kenegaraan dan patriotism dalam kalangan rakya jelata.

Tambahan pula, patriotisme harus menjadi nadi setiap ahli masyarakat. Cinta negara adalah lebih daripada sekadar mengibarkan Jalur Gemilang pada hari kemerdekaan.

Menjaga alam sekitar, memajukan ekonomi negara, menghormati perbezaan budaya dan menyumbang kepada kesejahteraan komuniti adalah cara menunjukkan patriotisme. Untuk memastikan negara kita terus maju dan sejahtera, semangat ini adalah penting.

Peranan raja sebagai ketua agama Islam negara adalah sangat penting dalam konteks isu semasa. Raja perlu memberi perhatian kepada perkara seperti perpecahan Islam, ancaman ekstremisme, dan salah faham agama antara pelbagai agama di Malaysia.

Yang di-Pertuan Agong dan raja-raja Melayu, dengan bimbingan dan nasihat mereka sebagai ketua agama Islam, mempunyai keupayaan untuk mendamaikan dan menyatukan semua masyarakat di Mlaysia. Ini adalah penting untuk mengekang ekstremisme dan memastikan ajaran Islam sebenar terus diamalkan.

Raja juga perlu mengambil berat tentang masalah perpaduan. Pelbagai kaum dan agama tinggal di Malaysia. Walaupun perpaduan kita adalah kekuatan kita yang paling penting, ia juga boleh menjadi titik lemah jika tidak diurus dengan betul.

Sebagai simbol perpaduan, raja-raja Melayu boleh memainkan peranan penting dalam memperkukuh hubungan antara kaum. Program perpaduan yang melibatkan semua lapisan masyarakat boleh dilaksanakan dengan lebih baik dengan sokongan raja.

Sejak kecil, semangat cintakan negara atau patriotisme juga harus ditanam. Pendidikan memainkan peranan penting dalam memupuk jati diri dan patriotisme generasi muda. Pendidikan mesti mempunyai kurikulum yang menggabungkan aspek sejarah negara, perjuangan untuk kemerdekaan, dan prinsip moral.

Selain itu, pelajar boleh memupuk rasa nasionalisme melalui program kokurikulum yang melibatkan aktiviti seperti kawad kaki, kem jati diri, sukan dan program pertukaran pelajar. Pemahaman dan amalan Rukun Negara amat penting diterapkan pada generasi mahasiswa kini.

Generasi muda wajib mendalami ilmu sejarah pengubalan rukun negara, menguasai kupasan objektif rukun negara termasuk dalam isu kesetiaan kepada Raja dan Negara.Rukun Negara adalah asas perpaduan dan pembinaan negara bangsa yang ideal.

Oleh itu, pertabalan Yang di-Pertuan Agong bukan sekadar acara budaya; sebaliknya, ia adalah peringatan kepada semua orang tentang betapa pentingnya untuk mengekalkan semangat kesetiaan dan sayangkan negara kita.

Institusi raja memastikan kestabilan dan keharmonian negara. Kesetiaan kepada raja dan negara serta semangat patriotisme adalah kunci utama untuk memastikan Malaysia terus maju dan makmur dalam menghadapi cabaran globalisasi dan masalah semasa.

Marilah kita bekerjasama untuk menjunjung tinggi institusi raja dan mengamalkan semangat patriotisme untuk kepentingan negara tercinta selamanya.

-- BERNAMA

Dr Ahmad Nasir Mohd Yusoff ialah Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)