TINTA MINDA

NANGKA MALAYSIA MENAMBAT HATI PENGGUNA DI CHINA?

31/07/2024 02:03 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

 

 

Oleh: Siti Nurathirah Abu Hassan

 

Nangka sememangnya terkenal dalam kalangan penggemar buah-buahan tropika. Warna kuning keemasan, rasanya yang manis serta kebaikan nutrisinya menjadikan nangka sebagai buah pilihan.

Pengeluaran nangka di Malaysia pada tahun 2022 adalah 40,220 tan dengan keluasan bertanam 4,851 hektar. Pahang menjadi pengeluar utama nangka dengan pengeluaran hasil sebanyak 8,597 mt (1,804 hektar).

Nangka menunjukkan Kadar Sara Diri (SSR) yang konsisten iaitu melebihi 100 peratus sejak tahun 2020. Ini menunjukkan pengeluaran hasil tempatan mencukupi untuk memenuhi keperluan pasaran domestik.

 

Eksport nangka Malaysia meningkat

Jumlah eksport nangka Malaysia telah meningkat daripada 3 mt pada tahun 2010 kepada 7.3 mt pada tahun 2021. Peningkatan ini didorong oleh permintaan dan perluasan akses kepada pasaran baharu. Antara negara utama yang mengimport nangka Malaysia adalah Singapura, Czech Republik, Hong Kong, United Kingdom, United Arab Emirates, Jerman dan Australia.

Malaysia berjaya melakar sejarah baharu apabila berjaya mendapat akses pasaran nangka segar ke China. Misi ini telah bermula pada tahun 2004 dan akhirnya pada April 2023, Malaysia telah berjaya menandatangani Protocol of Phytosanitary Requirements for Export of Jackfruits bersama The General Administration of Customs of the People’s Republic of China (GACC). Malaysia merupakan negara ketiga yang diluluskan untuk mengeksport nangka segar ke China, selepas Thailand dan Vietnam. Kejayaan ini pastinya membuka peluang yang luas kepada pengeluar tempatan dalam meningkatkan jumlah hasil nangka untuk memenuhi permintaan pasaran selain membantu meningkatkan ekonomi negara.

 

Pasaran nangka di China

Nangka tidak perlu diperkenalkan kepada pengguna-pengguna China terutama dari Wilayah Selatan. Ini kerana nangka boleh didapati di supermarket, premium market dan kedai buah. Pasaran nangka di China didominasi oleh negara Vietnam dengan penjualan dalam bentuk minimum proses (MP) dan produk siap seperti nangka kering.

Faktor bekalan yang konsisten, kos yang lebih rendah dan harga antara faktor penyumbang Vietnam mendominasi pasaran nangka di China. Pasaran nangka di Wilayah Utara, China pula dilihat masih baharu dan berpotensi untuk diperluaskan dan dikembangkan terutama bagi pasaran nangka segar Malaysia.

 

Nangka segar menawan hati

Selepas durian Musang King sejuk beku berjaya menambat hati pengguna China, kini giliran nangka segar Malaysia pula untuk menawan hati mereka. Setelah memperoleh akses pasaran, penghantaran pertama nangka segar Malaysia telah dijalankan melalui pengangkutan udara dan laut ke China.

Penghantaran laut mengambil tempoh masa yang lebih lama berbanding pengangkutan udara iaitu 12 hari dari Pelabuhan Klang, Selangor ke Pelabuhan Tianjin, China. Bagi mengekalkan kualiti buah tersebut, penghantaran perlu mengikuti Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dibangunkan.

 

Kajian penerimaan dan ujian sensor

Kajian penerimaan pengguna telah dijalankan melalui ujian sensori dengan membandingkan nangka Malaysia dan nangka Vietnam. Tanpa mengetahui sampel nangka Malaysia dan nangka Vietnam (blind test), pengguna tembok besar itu perlu merasa, membuat penilaian dan memilih sampel nangka yang mereka gemari.

Hasilnya, pengguna China di wilayah Beijing lebih cenderung memilih dan menggemari nangka Malaysia berbanding nangka Vietnam. Atribut atau ciri-ciri utama yang berjaya memenuhi citarasa mereka adalah warna isi (kuning keemasan), kemanisan, kerangupan dan aroma nangka Malaysia berbanding nangka Vietnam. Ini menunjukkan nangka Malaysia mampu berdaya saing dengan nangka Vietnam.

Bagi mengekalkan daya saing nangka Malaysia di pasaran China, elemen seperti sasaran pasaran dan pengguna, penetapan harga dan bekalan yang konsisten perlu dititikberatkan oleh semua pihak yang terlibat. 

-- BERNAMA

Siti Nurathirah Abu Hassan ialah Pegawai Penyelidik, Pusat Penyelidikan Sosio Ekonomi, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).

 

 

 

 

 

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)