TINTA MINDA

‘KEMPEN ZERO LOG’ BANTU PEMBIAKBAKAN RATU KELULUT IN-VITRO

14/08/2024 05:09 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh:Prof Madya Dr Wahizatul Afzan Azmi

Sektor penternakan kelulut memerlukan lebih banyak inovasi bagi membantu penternak menggandakan koloni kelulut dengan kaedah yang lebih murah dan secara lestari.

Permintaan yang tinggi ke atas produk lebah kelulut (madu, roti debunga, propolis) telah menyebabkan penternak tempatan terpaksa menggandakan koloni dengan lebih banyak.

Ratu Lebah Kelulut

Kunci kejayaan kepada proses penggandaan koloni ini sangat bergantung kepada penghasilan ratu lebah kelulut. Oleh itu, pembiakbakaan secara in-vitro merupakan antara penyelesaian yang dicadangkan bagi mengatasi masalah kekurangan ratu di dalam penternakan lebah kelulut.

Kumpulan penyelidikan yang diketuai oleh Prof Madya Dr Wahizatul Afzan Azmi telah berjaya menghasilkan kaedah pembiakbakaan ratu kelulut Heterotrigona itama secara in-vitro yang dapat membantu penternak dan usahawan kelulut tempatan menggandakan koloni dengan kos yang lebih murah dan secara lestari.

Projek ini adalah kesinambungan kepada projek dana Fundamental Research Grant Scheme (FRGS) yang diterima daripada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan dana geran dalaman Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Commercialization Initiative Fund (CIF) yang telah diterima dari tahun 2019 hingga 2023.

Melalui dana penyelidikan tersebut, penyelidik telah melaksanakan program Pemindahan ilmu yang memberikan impak yang besar kepada komuniti khususnya kepada penternak kelulut, usahawan industri produk berasaskan lebah kelulut serta penyelidik- penyelidik dari pelbagai agensi kerajaan atau swasta.

Pemindahan Ilmu

Program pemindahan ilmu ini telah membantu penternak mengurangkan kos pembelian log kelulut liar berharga antara RM800 – RM1200 kepada kurang RM300.

Malah membantu penternak untuk menggandakan koloni lebah kelulut tanpa merosakkan kawasan semula jadi seperti penebangan pokok, meningkatkan pengeluaran madu kelulut secara lestari dan mesra alam, serta menyumbang kepada usaha pemuliharaan biodiversiti lebah kelulut di Malaysia.

Projek Pembiakbakaan Ratu Kelulut In- Vitro untuk Penternak Kelulut Terpilih di Negeri Terengganu amat penting dalam memberi latihan dan pengetahuan asas pembiakbakaan ratu kelulut Heterotrigona itama. Latihan ini adalah melalui kaedah in-vitro kepada 10 orang penternak kelulut terpilih dari Terenganu yang juga merupakan ahli kepada Persatuan Lebah Kelulut Terengganu (PELEKAT) bagi membantu mereka untuk menggandakan koloni kelulut dengan kaedah yang lebih murah dan secara lestari.

Geran pemindahan ilmu bernilai RM44,500.00 ini dibiayai oleh Kementerian Kewangan (MOF) di bawah Program Pendayaan Komuniti Universiti Awam (Komuniti@UniMADANI) dengan kerjasama Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah bermula dari awal Jun 2024 dan akan berakhir pada Disember 2024.

Projek pembiakbakaan ratu kelulut in-vitro ini secara umumnya merupakan salah satu usaha menyokong ‘kempen zero log’ yang mula diperjuangkan oleh sekumpulan usahawan kelulut di Malaysia.

Teknik pembiakbakaan ratu kelulut in-vitro merupakan salah satu teknik dan inovasi untuk menggandakan koloni baharu secara lestari tanpa merosakkan alam sekitar melalui penebangan pokok di hutan, di samping menjimatkan kos dan tenaga.

Menerusi program pemindahan ilmu ini, ianya bukan sahaja dapat meningkatkan pendapatan peserta dengan sasaran purata pendapatan bersih bulanan sebanyak RM 2,500. Malahan program ini dapat memberi impak kepada alam sekitar iaitu dengan mengubah amalan teknik penggandaan dan pembiakbakaan koloni kelulut secara mesra alam.

Akhirnya, projek ini juga memberikan impak kepada kerajaan dengan membuka peluang sebagai tarikan baru kepada aktiviti Agro Pelancongan di Terengganu dan menyokong kepada Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara (DSMN) 2021-2025 bagi memastikan kesinambungan bekalan makanan negara.

-- BERNAMA

Prof Madya Dr Wahizatul Afzan Azmi ialah Pensyarah Kanan Fakulti Sains dan Sekitaran Marin, Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)