PENA WANITA

CABARAN WANITA BERKERJAYA

19/08/2024 11:31 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh: Dr Siti Marziah Zakaria

Kajian oleh Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), Universiti Kebangsaan Malaysia mendapati terdapat beberapa cabaran untuk wanita menjadi pembuat keputusan atau pemimpin terutamanya dalam sektor ekonomi dan politik.

Antara cabaran yang dihadapi ialah sifat prejudis masyarakat, stereotaip gender, kurang sokongan dan konflik kerjaya-keluarga. Cabaran ini akan menjadi halangan kepada hasrat kerajaan yang menyasarkan 30 peratus wanita sebagai pembuat keputusan. Cabaran-cabaran ini perlu ditangani dengan program dan intervensi yang berkesan di sektor kerajaan mahu pun swasta dan dimulakan dengan segera.

Prejudis

Dalam masyarakat Malaysia, masih ramai yang bersikap prejudis terhadap wanita sebagai pemimpin. Ramai yang mempertikaikan kewibawaan dan kompetensi wanita sebagai pemimpin walaupun wanita telah mempunyai pengalaman yang lama dalam sesuatu organisasi, institusi atau industri. Apabila wanita dicalonkan dan ingin dilantik ke jawatan yang lebih tinggi, ramai yang mula mempersoalkan latar belakang mereka. Status perkahwinan, bilangan anak, pekerjaan pasangan, umur, latar belakang pendidikan, pengalaman, malah kedudukan kewangan mereka akan dipersoal. Sedangkan jika lelaki yang dicalonkan, soalan yang paling utama yang ditimbulkan hanya pengalaman dan latar belakang pendidikan. Ramai juga yang menganggap wanita tidak mempunyai ciri-ciri kepimpinan yang diperlukan dan dilihat sebagai lemah untuk membuat keputusan penting dan menyelesaikan masalah.

Norma gender yang diterapkan terhadap wanita juga menjadi antara cabaran dan halangan untuk mereka menceburi dunia politik. Norma gender ini menjadikan wanita berfikir bahawa dunia politik adalah domain lelaki dan mereka perlu mencabar diri melakukan sesuatu yang lebih untuk membuktikan kemampuan mereka dalam arena politik.

Kurang Sokongan

Wanita juga sukar mendapat sokongan daripada pihak atasan mahu pun bawahan. Sikap prejudis, stereotaip gender dan diskriminasi terhadap mereka adalah antara punca mengapa sukar bagi seorang wanita meraih sokongan. Keluarga dan rakan-rakan terdekat kepada wanita sendiri kadang-kadang turut ragu-ragu dengan kebolehan mereka. Wanita hanya menjadi pilihan terakhir untuk dilantik sebagai pengurus, pengarah, ketua dan sebagainya jika tiada lagi calon lelaki. Jika mereka menghadapi persaingan dengan lelaki, selalunya lelaki yang berjaya mendapat jawatan tersebut dengan mudah. Untuk sektor yang didominasi oleh lelaki, persaingan tersebut tentulah lebih sengit. Wanita biasanya dilantik sebagai pemimpin dalam sektor yang didominasi oleh wanita seperti sektor pendidikan, kesihatan dan kecantikan.

Stereotaip Gender

Dalam masyarakat Melayu terutamanya, stereotaip gender masih menebal. Kita masih lagi memandang lelaki sebagai pemimpin di semua peringkat. Lelaki dikaitkan dengan sifat pemimpin seperti berani, kuat, kompeten, cekap, bijak mengawal emosi dan berdaya saing. Wanita pula disifatkan sebagai lemah, sensitif, mudah tersinggung, sukar mengawal perasaan, mudah mengalah dan sebagainya. Wanita juga dianggap sebagai pengikut kepada lelaki, bukan sebagai pemimpin kepada lelaki walaupun wanita mempunyai lebih pengalaman serta kepakaran. Jika wanita diangkat sebagai pemimpin, mereka akan sentiasa diperhatikan, dipantau dan dinilai hanya kerana stereotaip gender yang wujud bahawa wanita tidak sesuai menjadi pemimpin.

Kajian di Timor-Leste pada tahun 2022 melaporkan majoriti responden iaitu kira-kira 70 daripada mereka berpendapat bahawa golongan lelaki adalah merupakan pemimpin yang lebih baik berbanding wanita. Sementara itu, perbincangan kumpulan berfokus pula mendapati bahawa kebanyakan responden mengganggap wanita tidak mempunyai kebolehan, kemahiran dan pengalaman untuk menjadi pemimpin. Kajian di Amerika Syarikat (US) mengenai bias terhadap pemimpin wanita dalam politik juga mendapati bahawa kebanyakan pengundi kurang berminat untuk mengundi calon wanita dalam pilihan raya. Mereka berpendapat bahawa calon wanita tidak sesuai untuk jawatan tersebut. Selain itu, alasan lain undian tidak memihak kepada calon politik wanita adalah disebabkan liputan berat sebelah pihak media dan tuntutan untuk membuktikan kelayakan calon menggalas jawatan yang dipertandingkan.

Konflik Kerjaya-Keluarga

Banyak kajian yang dijalankan mengenai kepimpinan wanita mendapati bahawa antara cabaran terbesar pemimpin wanita adalah konflik kerjaya-keluarga. Ramai dalam kalangan wanita mengambil keputusan untuk meletak jawatan kerana konflik ini. Konflik kerjaya-keluarga lebih parah jika tiadanya sokongan kuat daripada pasangan, anak-anak, keluarga mertua atau jiran-jiran. Ramai wanita yang sangat berpotensi untuk memegang jawatan pentadbiran dan kepimpinan, tetapi mereka berputus asa apabila berhadapan dengan masalah kesihatan anak, masalah kesihatan pasangan, penjagaan ibu bapa yang uzur dan tekanan di tempat kerja. Wanita di usia muda, dengan anak-anak yang masih kecil adalah golongan yang paling kritikal menghadapi konflik kerjaya-keluarga. Akhirnya, mereka mengambil keputusan untuk berhenti kerja kerana tiada sokongan untuk mereka di rumah dan di tempat kerja. Kehilangan wanita yang berpotensi adalah satu kerugian kepada organisasi dan negara kerana mereka boleh memberi sumbangan yang besar kepada ekonomi dan pembangunan negara.

- BERNAMA

Dr Siti Marziah Zakaria ialah penyelaras siswazah di Pusat Kajian Psikologi dan Kesejahteraan Manusia, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)