Oleh Sharran Loganadzan
Guru berperanan mendidik murid di institusi pendidikan dan bertanggungjawab menyediakan bahan pembelajaran. Umumnya, guru muda bukan sahaja merujuk kepada guru novis tetapi kepada golongan guru generasi baharu yang berusia 40 tahun ke bawah.
Pendidikan digital merangkumi pengintegrasian teknologi dalam proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara kritis, kreatif dan inovatif bagi melahirkan generasi fasih digital. Dalam konteks ini, pembangunan pendidikan digital negara berkait rapat dengan agenda perkembangan ASEAN seiring dengan Revolusi Perindustrian (5IR).
Dasar Pendidikan Digital
Oleh itu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melalui Dasar Pendidikan Digital (DPD) telah menzahirkan komitmen terhadap usaha memacu transformasi pendidikan digital yang mampan. DPD ini mempunyai empat objektif, enam teras, 18 strategi dan 41 inisiatif yang jelas bagi menyokong visi pendidikan digital. Dokumen ini turut mengambil kira konsep Malaysia MADANI yang berlandaskan rukun Kemapanan, Kesejahteraan, Daya cipta, Hormat, Keyakinan dan Ihsan. DPD yakni menjadi pedoman kepada semua pihak berkepentingan dalam mendepani cabaran pendidikan digital yang berfokuskan pembangunan bakat dan modal insan.
Dalam menjayakan aspirasi DPD, peranan pendidik khususnya guru muda amat signifikan. Ini kerana guru muda sering dikaitkan sebagai kelompok yang lebih mudah menerima dan membuat perubahan kepada amalan pengajaran mereka berbanding guru senior. Lebih-lebih lagi, ketidaktentuan global seperti pandemik COVID-19 telah memberi cabaran dan peluang bagi mempercepat aplikasi serta adaptasi teknologi digital dalam pendidikan. Malah tinjauan yang dijalankan oleh Forum Ekonomi Dunia mendapati bahawa golongan guru muda di rantau ini sebenarnya optimis tentang kesan teknologi terhadap pengajaran mereka. Mereka telah menunjukkan penyesuaian dalam menghadapi ketidakpastian dan cabaran semasa wabak dengan membiasakan urusan kerja dan sekolah dengan teknologi digital. Natijahnya, ia telah membantu mereka menjangkau lebih ramai pelajar secara serentak di luar fizikal bilik darjah. Dalam erti kata lain, ia turut membantu mereka meningkatkan kompetensi digital secara berterusan. Namun begitu, kumpulan rentan yang diselubungi masalah kekurangan akses kepada Internet, kekurangan literasi digital dilaporkan menghadapi masa yang lebih mencabar dan sering tercicir.
Sistem Pendidikan Komprehensif
Pada dasarnya, kita memerlukan sistem pendidikan yang lebih komprehensif di pelbagai peringkat, dan lebih ramai profesional untuk menambah baik pengalaman pengguna. Berdasarkan Tahap Kompetensi Digital Guru yang diukur KPM pada tahun 2021 didapati hanya 6,442 daripada 297,018 orang guru bersamaan 2.2% sahaja berada pada tahap lanjutan. Penelitian ini memaparkan penguasaan pendidik yang meliputi aspek pengetahuan, kemahiran dan nilai berkaitan teknologi digital berada pada tahap yang kritikal. Jadi, pengupayaan para pendidik dan pemimpin pendidikan adalah bermakna bagi melahirkan generasi fasih digital. Sebagai kesinambungannya, guru muda boleh menampilkan teladan yang baik dalam ekosistem digital. Misalnya, dengan menerapkan komponen-komponen digital dalam kaedah perancangan bahkan pelaksanaan PdP seharian mereka, memanfaatkan pedagogi inovatif, dan melaksanakan kajian tindakan berteraskan gamifikasi. Sinonim dengan itu, guru muda bertindak sebagai agen pemangkin untuk semua menguasai kemahiran-kemahiran digital, di samping membangunkan profesionalisme guru, dan integrasi sosial. Penekanan terhadap aspek pendidikan digital oleh guru muda ini dilihat selaras dengan matlamat pembangunan lestari ke-4 iaitu mendapat akses kepada pendidikan yang berkualiti dan juga matlamat ke-10 iaitu mengurangkan ketidaksamaan. Ironinya, memperkukuh nilai kebersamaan dan identiti bersama kita, sebagai warganegara sejagat.
Pada pengamatan penulis, golongan guru muda mempunyai lebih banyak ruang untuk belajar dan belajar semula daripada cabaran COVID-19. Guru muda hanya perlu diberi peluang dan sokongan untuk tampil lebih tangkas menyesuaikan diri, bertindak dalam pendekatan yang lebih bersepadu, dengan mengambil kira kesalinghubungan melalui teknologi digital, dan menjadikan yang mustahil mungkin melalui inovasi. Tidak dapat disangkal lagi bahawa, guru muda ini harus memperkasa diri mereka sebagai pendidik kompeten digital bagi mewujudkan iklim pembelajaran yang bersesuaian dengan abad ke-21. Guru juga perlu komited menghasilkan kandungan digital yang berkualiti. Sebagai analoginya, guru boleh mengoptimumkan penggunaan laman sosial seperti TikTok, Youtube dan Facebook sebagai wahana untuk berkongsi karya keilmuan di samping membina rangkaian di luar sempadan. Konteks ini penting bagi pendidik bergiat aktif, menganjur dan mengambil bahagian dalam wacana intelektual, kolokium kesarjanaan dan simposium. Melalui penglibatan dalam persidangan dalam talian, atau webinar ini kita dapat memupuk netika yang sejahtera dan menggalakkan rasa kewarganegaraan digital. Atas manifestasi ini, tepatlah guru muda pemangkin untuk mentransformasikan pendidikan digital secara menyeluruh bagi melengkapkan landskap pendidikan negara.
-- BERNAMA
Sharran Loganadzan ialah guru di SJKT Pasir Gudang, Johor