TINTA MINDA

GUNA SIJIL ATAU IJAZAH PALSU ADALAH KESALAHAN SERIUS DAN PERBUATAN JENAYAH

30/08/2024 04:04 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Dr Muzaffar Syah Mallow

Sebarang dakwaan pengunaan sijil atau ijazah palsu ataupun sijil atau ijazah yang diperolehi dari mana-mana universiti yang tidak wujud perlu disiasat dengan segera. Ini bagi mengelak sesetengah pihak daripada terus mengunakan sijil atau ijazah mereka yang tidak mempunyai nilai dalam negara serta menipu orang ramai.

Isu pengunaan sijil atau ijazah palsu ini bukanlah satu isu yang baru dalam negara kita. Semenjak beberapa tahun kebelakangan ini, dakwaan pengunaan sijil atau ijazah palsu mula muncul dalam negara kita.

Punca yang boleh dikenal pasti adalah kerana terdesak untuk mendapatkan pekerjaan, kemunculan pelbagai jenis teknologi moden yang memudahkan proses pembuatan sijil atau ijazah palsu serta untuk tujuan melakukan aktiviti jenayah seperti penipuan.

Merosakkan imej

Isu yang melibatkan pengunaan sijil atau ijazah palsu ini tidak boleh dipandang ringan kerana ia boleh memberi kesan buruk terhadap negara. Sekiranya seseorang yang memiliki sijil atau ijazah palsu ini mendapat sesuatu pekerjaan menerusi pengunaan sijil atau ijazah palsu, mereka tidak akan berupaya melakukan sebarang jenis pekerjaan kerana mereka tidak memiliki ilmu pengetahuan dan kemahiran asas yang sepatutnya dikuasai oleh mereka.

Kesan negatif pengunaan sijil atau ijazah palsu bukan sahaja terhad kepada diri pelaku malah turut memberi kesan kepada organisasi si pelaku bekerja, masyarakat sekeliling dan negara.

Jenayah

Pengunaan sijil atau ijazah palsu ini adalah satu bentuk kesalahan dan jenayah. Sekiranya seseorang itu telah diambil bekerja berdasarkan sijil atau ijazah palsu, mereka boleh dianggap telah melakukan kesalahan besar yang boleh dikenakan hukuman berat termasuklah dibuang kerja oleh pihak majikan.

Selain dibuang kerja, kesalahan pengunaan sijil atau ijazah palsu ini juga boleh dianggap sebagai salah satu kesalahan jenayah dan boleh disiasat dan didakwa di bawah Kanun Keseksaan [Akta 574].

Antara seksyen yang boleh dipertimbangkan untuk digunakan bagi tujuan siasatan dan pendakwaan sebarang kes yang melibatkan jenayah pemalsuan sijil ataupun dokumen ini adalah Seksyen 463 Kanun Keseksaan [Akta 574]. Seksyen 463 Kanun Keseksaan [Akta 574] menyatakan tentang kegiatan jenayah pemalsuan ini dengan jelas iaitu “Barang siapa membuat sesuatu surat atau sebahagian surat palsu dengan niat hendak menyebabkan kerosakan atau bencana kepada awam atau kepada seseorang, atau hendak menyokong apa – apa tuntutan atau hak, atau hendak menyebabkan seseorang melepaskan harta atau membuat apa – apa kontrak yang nyata atau yang disifatkan ada, atau dengan niat hendak melakukan tipuan atau supaya tipuan boleh dilakukan, adalah melakukan pemalsuan”.

Seksyen 465 Kanun Keseksaan [Akta 574] pula memperuntukkan hukuman terhadap kegiatan jenayah pemalsuan ini dengan menyatakan bahawa “Barang siapa melakukan pemalsuan hendaklah diseksa dengan penjara selama tempoh yang boleh sampai dua tahun atau dengan denda, atau dengan kedua-duanya”.

Peranan semua pihak

Oleh yang demikian, adalah penting supaya isu pengunaan sijil ataupun ijazah palsu ini dipandang serius oleh semua pihak dalam negara kita.

Semua pihak perlu mengela daripada mengunakan sebarang jenis dokumen palsu dalam kehidupan mereka kerana ia boleh menjejaskan reputasi serta masa depan mereka.

Pihak majikan perlu memainkan peranan mereka dengan meneliti segala dokumen, sijil ataupun ijazah yang diberikan kepada. Ini kerana ia melibatkan reputasi organisasi mereka.

Bahagian sumber manusia di setiap sektor pekerjaan perlu menjalankan proses pengesahan teliti terhadap semua jenis dokumen, sijil ataupun ijazah yang telah diberikan oleh pekerja bagi memastikan setiap dokumen, sijil ataupun ijazah yang diterima adalah sahih serta diperakukan untuk pengunaannya dalam negara kita.

Tidak boleh wujud sebarang kompromi dalam soal pengesahan sijil ataupun ijazah yang dimiliki oleh seseorang individu dalam negara kita.

Pihak kerajaan khususnya pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu menjalankan pemeriksaan dengan teliti terhadap segala sijil ataupun ijazah semua kakitangannya khususnya terhadap kakitangan akademik. Ini bagi memastikan segala sijil dan ijazah yang dimiliki oleh semua kakitangan ini adalah sahih.

Pada masa yang sama, pihak KPM dan KPT perlu memastikan tiada kakitangan pentadbiran mereka yang terlibat atau bersekongkol dengan aktiviti jenayah ini. Selain daripada isu penggunaan sijil dan ijazah palsu, isu sijil dan ijazah yang tidak diiktiraf oleh kerajaan Malaysia juga perlu mendapat perhatian yang serius. Pengunaan sijil atau ijazah yang tidak diiktiraf oleh kerajaan Malaysia juga adalah satu bentuk salah laku dan kesalahan jenayah dan boleh diambil tindakan dibawah peruntukan undang-undang dalam negara kita seperti yang telah dinyatakan di atas.

-- BERNAMA

Dr Muzaffar Syah Mallow ialah Profesor Madya, Fakulti Syariah & Undang-Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)