SALAM DARI BEIJING

MALAYSIA? LEE ZII JIA?

10/09/2024 09:55 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Marfika Adnan Haris Fadzilah

Semenjak menjejakkan kaki di negara Tembok Besar ini, penulis berasa seperti bintang filem popular apabila sentiasa menjadi perhatian penduduk di sini. Kadang-kadang keadaan tersebut membuatkan penulis sedikit kaku dan berasa serba tidak kena kerana segala tingkah laku seakan-akan menjadi tumpuan.

Salah satu cara penulis mengurangkan rasa canggung adalah dengan menegur penduduk tempatan menggunakan sapaan 'Ni Hao,' yang bermaksud 'apa khabar.' Reaksi mereka sungguh positif; keterujaan jelas terpancar di wajah mereka setiap kali menerima sapaan tersebut. Pada tahun 2022, penduduk di sini berjumlah 1.412 bilion, lebih daripada 40 kali ganda penduduk Malaysia. Oleh itu, sesiapa yang mempunyai warna kulit berbeza sering menjadi tumpuan penduduk tempatan.

Lee Zii Jia: Wira Malaysia di China

Pengalaman paling menarik berlaku ketika penulis melawat Dataran Tiananmen, seorang remaja lelaki tempatan mendekati penulis dengan penuh keterujaan dan bertanya:"(Are you from) Malaysia?"

Penulis menjawab: Yes, I'm Malaysian, do you know my country?
Dengan yakin, remaja tersebut menyebut: Lee Zii Jia?


Keterujaan remaja itu terus berpindah kepada penulis tatkala mendengar nama atlet hebat itu disebut, “Yeah, that’s right! He is our hero.”

Walaupun, Bahasa Inggeris remaja itu kurang fasih, namun mesej yang ingin disampaikan kepada penulis cukup mengujakan. Nampaknya, prestasi yang dipamerkan pemain badminton perseorangan negara kita itu bukan sahaja membanggakan rakyat Malaysia, malah, turut mendapat tempat di hati peminat sukan berkenaan di Tanah Besar ini.

Lebih-lebih lagi, apabila jaguh negara itu baru sahaja meraih pingat gangsa Sukan Olimpik 2024 selepas menewaskan pemain India, Lakshya Sen di Porte de La Chapelle Arena, Paris, Ogos lepas.

Pada masa sama, jersey tertulis perkataan Malaysia yang sering dipakai penulis juga dilihat berjaya menarik minat warga di sini selain, menonjolkan identiti sebagai rakyat Malaysia.

Melawat Tiananmen Square: Sejarah di Setiap Sudut

Dalam satu lawatan yang diatur oleh China International Press Communication Centre (CIPCC), penulis berpeluang melawat Dataran Tiananmen iaitu sebuah lokasi yang bukan sahaja penuh dengan nilai sejarah, malah menjadi simbol kebudayaan bagi Kerajaan China.

Lokasi bersejarah ini pernah menjadi tapak pengisytiharan Republik Rakyat China pada 1 Oktober 1949. Untuk memasuki kawasan ini, pengunjung perlu melalui kawalan keselamatan yang ketat, termasuk pemeriksaan pasport dan kad pengenalan. Penulis sendiri melalui dua pemeriksaan keselamatan untuk memastikan tiada barangan terlarang seperti senjata berbahaya dibawa masuk ke kawasan tersebut.


Dataran Tiananmen yang meliputi kawasan seluas 40.5 hektar ini merupakan antara dataran bandar terbesar di dunia dan sering dikunjungi pelancong tempatan serta luar negara. Terletak berdekatan Kota Larangan (Forbidden City), dataran ini juga menempatkan Monumen Pahlawan Rakyat, Dewan Besar Rakyat, Muzium Negara China, dan Makam Mao Zedong.

Setakat ini sahaja coretan penulis untuk kali ini. Nantikan lebih banyak lagi pengalaman menarik yang bakal dikongsikan dari Beijing.

Jumpa lagi di lain waktu, Xie Xie!

"Salam Dari Beijing"

-- BERNAMA

Marfika Adnan Haris Fadzilah ialah wartawan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) yang mengikuti Program Pusat Media Antarabangsa China 2024, di bawah rangka kerja China International Press Communication Centre (CIPCC), di Beijing selama empat bulan bermula Ogos.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)