Oleh Nik Amalena Najebah Nik Azman
Pada masa kini, ekonomi gig berkembang pesat bukan sahaja di Malaysia malah di seluruh dunia. Ekonomi gig menawarkan peluang ekonomi kepada ramai anak muda yang mencari pendapatan segera dan kebebasan bekerja. Dengan kemajuan teknologi dan platform digital, pekerjaan seperti p-hailing (penghantar makanan), e-hailing (kereta persendirian dijadikan perkhidmatan awam), dan kerja bebas dalam talian kini mudah diakses oleh sesiapa sahaja. Bagi pelajar sekolah, terutama mereka daripada keluarga berpendapatan rendah, ekonomi gig menjadi penyelesaian pantas untuk memperoleh pendapatan tambahan bagi menampung kos hidup harian.
Namun, di sebalik daya tarikan ini, terdapat kebimbangan yang semakin tinggi mengenai kesan jangka panjang ekonomi gig terhadap minat pelajar sekolah untuk melanjutkan pelajaran. Semakin ramai pelajar yang melihat pendapatan cepat melalui ekonomi gig sebagai alternatif kepada pendidikan tinggi yang dianggap memerlukan masa yang panjang dan pelaburan yang lebih besar. Fenomena ini menimbulkan persoalan penting tentang bagaimana untuk mengimbangi keperluan ekonomi segera dengan manfaat pendidikan untuk masa depan.
Pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang memilih untuk tidak menyambung pengajian amat membimbangkan kerana kecenderungan bekerja dalam sektor ekonomi gig. Fenomena ini dijangka memberi kesan kepada sumber manusia negara, khususnya dalam mencapai sasaran tenaga kerja berkemahiran tinggi.
Setakat ini, Malaysia hanya berjaya mencapai sekitar 28 peratus tenaga kerja berkemahiran tinggi, jauh di bawah sasaran 35 peratus yang ditetapkan menjelang tahun 2030. Jika trend ini berterusan, ia mungkin menyukarkan negara untuk mencapai matlamat tersebut. Anak muda yang memilih untuk terlibat dalam ekonomi gig mungkin kehilangan peluang untuk membina kemahiran dan kelayakan yang diperlukan bagi mengisi peranan dalam sektor kritikal yang memerlukan pendidikan formal dan latihan teknikal.
Kelebihan ekonomi gig
Ekonomi gig menawarkan beberapa kelebihan utama yang menarik ramai anak muda. Antaranya adalah fleksibiliti waktu bekerja yang membolehkan mereka menyesuaikan jadual kerja dengan kehidupan peribadi dan komitmen lain. Tambahan pula ekonomi gig menawarkan kebebasan kepada para pekerja, kerana mereka tidak diawasi secara langsung atau terikat dengan keperluan untuk bekerja di pejabat. Fleksibiliti ini membolehkan mereka mengurus masa dengan lebih baik.
Kelebihan terbesar dalam fleksibiliti ekonomi gig adalah pekerja menjadi majikan kepada diri sendiri, bermakna mereka mempunyai kawalan penuh ke atas bagaimana, di mana, dan berapa lama mereka bekerja. Dalam sesetengah situasi, mereka juga diberi kebebasan untuk memilih pelanggan mereka dan menetapkan kadar bayaran yang sesuai dengan tahap perkhidmatan yang ditawarkan.
Selain itu, ekonomi gig juga memberi peluang kepada para pekerja untuk mengambil pelbagai jenis pekerjaan dan projek yang menarik dalam waktu yang sama. Berbanding pekerjaan tetap yang mempunyai jadual tetap dari 9 pagi hingga 5 petang dengan satu majikan, ekonomi gig membolehkan mereka menggunakan kreativiti dan kemahiran menyelesaikan masalah dalam pelbagai situasi. Ini membantu memastikan mereka sentiasa bermotivasi dan bersemangat dalam melaksanakan tugasan mereka.
Dari sudut pandang majikan, ekonomi gig sering kali lebih berpatutan. Mengupah pekerja bebas boleh menjadi pilihan yang lebih murah berbanding mengupah pekerja sepenuh masa, kerana mereka tidak perlu menyediakan faedah tambahan seperti insurans atau cuti berbayar. Pada masa yang sama, perniagaan juga berpeluang untuk mencari bakat baharu dan menetapkan kadar bayaran yang berbeza mengikut tahap kemahiran pekerja gig yang diambil.
Selain itu, ekonomi gig memberikan pendapatan cepat dan segera, yang dapat memenuhi keperluan harian seperti makanan dan perbelanjaan peribadi.
Kekurangan ekonomi gig
Walaupun menawarkan kelebihan-kelebihan tersebut, ekonomi gig juga mempunyai beberapa kekurangan yang perlu diberi perhatian. Salah daripadanya idalah ketiadaan jaminan kestabilan pendapatan. Pendapatan daripada ekonomi gig boleh berubah-ubah bergantung kepada jumlah pekerjaan atau permintaan pada masa tertentu. Mereka yang terlalu bergantung kepada ekonomi gig mungkin menghadapi masalah kewangan jika mereka tidak memperoleh pekerjaan yang mencukupi.
Selain itu, ekonomi gig sering kali tidak menawarkan faedah pekerjaan yang biasa diperoleh dalam pekerjaan tetap, seperti insurans kesihatan, pencen, atau faedah cuti. Kekurangan perlindungan ini boleh menimbulkan risiko, terutama jika mereka terlibat dalam pekerjaan berbahaya seperti p-hailing atau e-hailing. Ketiadaan sokongan sosial jangka panjang dalam ekonomi gig juga boleh menjadi masalah apabila mereka perlu merancang untuk masa depan yang lebih stabil.
Dari segi kerjaya, ekonomi gig selalunya tidak menawarkan laluan kemajuan atau peningkatan kemahiran yang setara dengan pekerjaan formal. Kebanyakan pekerjaan ekonomi gig bersifat sementara dan tidak memberi peluang kepada pekerja untuk membina kelayakan atau kepakaran dalam bidang tertentu. Tanpa pendidikan tinggi, mereka mungkin mendapati diri mereka terperangkap dalam pekerjaan bergaji rendah tanpa peluang untuk berkembang lebih jauh.
Kepentingan pendidikan untuk masa depan
Sehubungan dengan itu, mengambil kira kelebihan dan kekurangan ekonomi gig, pendidikan tinggi tetap memainkan peranan penting dalam membentuk masa depan anak muda dan perlu menjadi cita-cita wajib bagi semua pelajar. Melanjutkan pelajaran ke peringkat diploma atau ijazah memberikan pelajar bukan sahaja pengetahuan mendalam dalam bidang tertentu, tetapi juga kemahiran berfikiran kritikal, penyelesaian masalah, dan kemahiran komunikasi. Kemahiran-kemahiran ini amat diperlukan dalam dunia kerjaya masa kini. Malah, banyak pekerjaan di pasaran hari ini memerlukan kelayakan akademik yang lebih tinggi untuk menjamin laluan kerjaya yang lebih stabil dan peluang pendapatan yang lebih baik.
Selain itu, pendidikan tinggi juga menawarkan pelajar akses kepada rangkaian profesional yang luas, melalui program-prgram yang dianjurkan oleh universiti seperti aktiviti ko-kurikulum. Ini memberikan mereka kelebihan kompetitif apabila bersaing dalam pasaran kerja yang semakin mencabar. Walaupun ekonomi gig mungkin menawarkan pengalaman kerja praktikal, namun pendidikan formal tetap relevan dalam menyediakan asas yang kukuh untuk pertumbuhan kerjaya jangka panjang dan masa depan yang lebih cerah.
Peranan semua pihak dalam mendorong pelajar
Oleh yang demikian, dalam menghadapi cabaran ini, adalah penting untuk semua pihak memainkan peranan masing-masing dalam menggalakkan pelajar untuk tidak mengabaikan pendidikan mereka walaupun tertarik dengan peluang ekonomi gig. Ibu bapa perlu memberi galakan dan dorongan kepada anak-anak mereka untuk melihat pendidikan sebagai pelaburan penting untuk masa depan dan bukan sekadar satu bebanan. Mereka boleh membantu anak-anak merancang masa dengan baik supaya ekonomi gig tidak mengganggu tumpuan kepada pelajaran.
Institusi pendidikan juga harus lebih fleksibel dalam menangani isu ini. Dengan menawarkan program pembelajaran dalam talian, kursus sambilan, atau kelas malam, pelajar yang terlibat dalam ekonomi gig boleh terus melanjutkan pelajaran mereka tanpa perlu mengorbankan pendapatan. Inisiatif seperti ini dapat mengurangkan tekanan kepada pelajar yang perlu bekerja untuk menyara diri tetapi masih mahu memperoleh kelayakan akademik diperingkat lebih tinggi.
Selain itu, kerajaan dan majikan dalam industri gig perlu berperanan aktif dalam menyediakan peluang kepada anak muda. Kerajaan boleh memperkenalkan program biasiswa atau insentif kepada pelajar yang terlibat dalam ekonomi gig tetapi ingin melanjutkan pelajaran. Majikan dalam sektor gig pula boleh menawarkan sokongan dalam bentuk latihan atau pengiktirafan pengalaman kerja yang boleh diterjemahkan kepada kredit akademik.
Kesimpulanya, ekonomi gig menawarkan peluang ekonomi yang menarik, tetapi ia juga boleh menjadi halangan dan ancaman kepada pendidikan tinggi jika tidak ditangani dengan bijak. Semua pihak baik dari ibu bapa, guru, institusi pendidikan, hatta kerajaan perlu bekerjasama dalam mendorong pelajar untuk melanjutkan pelajaran walaupun mahu terlibat dalam sektor ini. Hanya dengan pendidikan yang baik, anak muda kita dapat bersedia untuk menghadapi masa depan yang lebih cerah dan stabil dalam kerjaya mereka. Negara juga dijangka dapat mencapai peratusan tenaga mahir yang diharapkan menjelang 2030 seterusnya mempunyai pelapis pemimpin yang mapan.
--BERNAMA
Nik Amalena Najebah Nik Azman ialah Pensyarah, UNITEN Business School, Universiti Tenaga Nasional, Kampus Sultan Haji Ahmad Shah.