TINTA MINDA

INISIATIF GAJI PREMIUM TVET PERINTIS ASPIRASI DASAR GAJI PROGRESIF

02/10/2024 11:51 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Profesor Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin

“Bagai bulan jatuh ke riba”, itulah peribahasa paling tepat untuk kita gambarkan situasi kepada para penjawat awam selepas pengumuman khas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkaitan kenaikan gaji di Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) baru-baru ini.

Pengumuman ini jelas membawa naratif betapa kerajaan MADANI pada hari ini cukup serius dalam memperkasakan taraf kehidupan rakyat dan ekonomi negara ini. Namun begitu, masih terdapat juga rintihan berkenaan gaji di sektor swasta sering kali terdedah kepada fluktuasi dan ketidakpastian.

Dasar Gaji Progresif (DGP)

Ini menyebabkan ketidakseimbangan dalam pasaran buruh dan mengurangkan daya saing serta motivasi pekerja di sektor swasta. Oleh kerana itulah, kerajaan MADANI telah memperkenalkan Dasar Gaji Progresif (DGP) sebagai usaha strategik untuk merubah struktur pasaran buruh negara.

Dasar ini bertujuan untuk menyelaraskan peningkatan gaji pekerja dengan produktiviti yang lebih tinggi, memacu negara ke arah kemakmuran ekonomi yang lebih mampan. Dengan pelaburan sebanyak RM50 juta yang disalurkan bagi pelaksanaan projek rintis DGP, termasuk pembayaran insentif kepada 1,000 majikan, langkah ini diambil untuk memperkukuhkan asas ekonomi negara.

Keberkesanan DGP memerlukan penyusunan strategi yang komprehensif dan inovatif untuk memastikan objektif yang ditetapkan dapat dicapai. Secara eksplisitnya ia turut berkaitan kemampuan kewangan syarikat, majikan dan keadaan ekonomi negara.

Menurut Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, kira-kira 97 peratus entiti perniagaan di Malaysia adalah perusahaan mikro, kecil, dan sederhana (PMKS). Oleh itu mewajibkan PMKS untuk melaksanakan peningkatan gaji berisiko menyebabkan kegagalan perniagaan dan kehilangan pekerjaan yang akan merencatkan pembangunan ekonomi.

Inisiatif Penetapan Gaji Premium TVET

Dalam menyokong usaha kerajaan dalam isu ini, pelbagai agensi kerajaan yang lain turut harus agresif memainkan peranan masing-masing. Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) misalnya sudah memulakan langkah dengan memperkenalkan inisiatif penetapan gaji premium untuk graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) selari dengan inisiatif TVET Termaju rangkaian Universiti-Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) 2030 yang menekankan pembangunan bakat melalui kepakaran teknikal, kemahiran insaniah serta keusahawanan di peringkat pengajian tinggi selaras Kerangka Kelayakan Malaysia (MQF).

Pada masa kini, sekitar 10 peratus graduan TVET dari Universiti Awam (UA) atau rangkaian MTUN telah berjaya memperoleh gaji premium ini, menandakan kemajuan yang positif dalam pelaksanaan dasar ini. Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) turut memainkan peranan penting dalam menjayakan inisiatif ini melalui formula strategik TVET Place & Train UTeM@KPT.

Dengan menawarkan 25,000 peluang penempatan pekerjaan bergaji premium, UTeM membuktikan komitmennya dalam memajukan graduan TVET ke arah masa depan yang lebih cerah. Formula khas ini digerakkan melalui 4 inisiatif utama yang meliputi JELITA UTeM@KPT, UTeM-Industrial Playground, Industry-MTUN Cyber Security Consortium, dan National Industrial Career Expo (NICE@UTeM).

JELITA UTeM@KPT bertujuan untuk memupuk bakat-bakat muda dengan menyediakan platform latihan dan penempatan, manakala UTeM-Industrial Playground menyediakan ruang untuk praktikal dan eksperimen dalam suasana industri sebenar.

Industry-MTUN Cyber Security Consortium mengukuhkan kerjasama dalam bidang keselamatan siber dan NICE@UTeM menyediakan peluang rangkaian yang luas untuk graduan mencari kerjaya yang sesuai. Apa yang pasti, dalam merealisasikan inisiatif gaji premium graduan TVET, yakni secara tidak lansung menyokong dasar gaji progresif negara, peranan warga universiti di Malaysia amatlah signifikan.

Usaha pihak universiti seperti penyediaan peluang pekerjaan, latihan kemahiran yang relevan dan penyelidikan sememangnya amat diperlukan dalam menyokong pembangunan dasar. Dengan kerjasama yang erat antara universiti dan kementerian, matlamat untuk meningkatkan gaji pekerja secara berperingkat dan meningkatkan produktiviti negara dapat dicapai dengan lebih efektif, sekaligus memajukan ekonomi negara ke arah yang lebih mampan dan inklusif.

Manifestasi Kerajaan MADANI

Merujuk kepada cambahan minda yang menjadi nadi diskusi dalam artikel ini, konklusi yang dapat dibuat, inisiatif gaji premium TVET tidak hanya merupakan langkah strategik dalam memperkukuhkan Dasar Gaji Progresif tetapi juga merupakan manifestasi aspirasi kerajaan MADANI untuk mewujudkan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi dan berdaya saing.

Dengan usaha yang berterusan dan sokongan yang padu dari semua pihak, negara kita akan lebih dekat untuk mencapai matlamat ekonomi yang lebih inklusif dan mampan.

-- BERNAMA

Profesor Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin ialah Naib Canselor, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM)

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)