Oleh Ninot Aziz
Semua bangsa di dunia mempunyai kearifan tempatan iaitu hikmah dan kebijaksanaan yang terbina daripada kehidupan sosial, politik, budaya, ekonomi dan dalam lingkungan masyarakat tempatan. Ini termasuk keilmuan tempatan dan kepandaian yang diwarisi daripada generasi ke generasi oleh orang dan bangsa Melayu di Nusantara.
Sebagai contoh, bangsa Arab dikenali hebat dalam bidang perdagangan, bangsa China dalam bidang ilmu reka cipta seperti pembuatan kertas dan bahan api, serta pertanian, manakala dari India kita diperkenalkan kepandaian dalam matematik dan kini, bidang teknologi informasi. Begitu juga dengan bangsa Jerman yang unggul dalam bidang kejuruteraan.
Kearifan dan ilmu tempatan
Kearifan tempatan yang dijulung seantero dunia di Kepulauan Melayu merangkumi kebijaksanaan dan akal budi yang diterima oleh masyarakat dan terus diwarisi sejak berzaman. Masyarakat di rantau ini telah menghalusi ilmu yang tinggi dalam bidang yang memerlukan kreativiti berfikir dan seni reka cipta berinovasi. Pemahaman canggih tentang alam dan lautan turut menjadi kekuatan.
Kita mewarisi kearifan dan ilmu tempatan yang dinamik dan bernilai, dan sebenarnya kekal relevan hingga hari ini. Antara kearifan, kepandaian dan keilmuan tempatan masyarakat kita termasuk:
- Bidang perundangan dan kebijaksanaan diplomatik contohnya, tertera dalam Hukum Kanun dari Melaka, Pasai, dan Kedah pada Abad ke-14 hingga ke-16.
- Ilmu pelayaran, penerokaan, pembinaan kapal, serta pengetahuan membaca laut, bintang, dan alam seperti yang diamalkan oleh Champa, Sriwijaya, Tamadun Sungai Batu Kedah Lama, Melaka, Terengganu dan di Pulau Jawa.
- Ilmu pembuatan besi, logam dan meriam rentaka, keris dan perisai misalnya di Sungai Batu, Kedah Tua pada Abad ke-2, Langkasuka, dan Patani pada Abad ke-16.
- Akal budi terzahir daripada kesusasteraan tinggi seperti pantun, syair serta ribuan khazanah manuskrip seperti Salatus Salatin, Tajul Salatin, Negarakertagama, Praraton, dan lain-lain menunjukkan keberadaan ketamadunan tinggi di Kepulauan Melayu.
- Ilmu seni bina dan pembinaan dalam membina jambatan, pengairan, kubu, pelabuhan, masjid dan istana seperti yang terdapat di Aceh, Melaka, Riau, Kedah, Kelantan, dan Terengganu.
- Ilmu tentang alam hutan belantara termasuk ilmu tib dan ubat-ubatan diamalkan di seluruh Kepulauan Melayu.
- Kesenian tinggi seperti wau, labu sayung dan barangan perkakas kehidupan yang mempunyai nilai estetika yang tinggi yang tersebar di seluruh Dunia Melayu.
- Kearifan tentang kelestarian alam dan kebijaksanaan dalam memanfaatkan sumber alam secara lestari contohnya, Taman Sri Ksektra dibina untuk kebahagiaan semua yang bergerak dan tak bergerak oleh Dapunta Hyang Sri Jayanasa Raja Sriwijaya pertama, Talang Tuwo, Sriwijaya pada Abad ke-7.
- Kepandaian seni ukir Melayu seperti kemahiran dalam seni ukir kayu telah menjadi identiti yang unik untuk masyarakat Melayu. Keindahan dan kehalusan dalam setiap ukiran memperlihatkan kecekapan dan kehalusan tangan para seniman tempatan.
- Industri kraf tangan tempatan seperti anyaman mengkuang, songket dan batik turut menunjukkan kehalusan dan keindahan dalam setiap rekaan. Keunikan motif dan warna menjadi ciri khas dalam penghasilan kraf tangan Melayu.
Tidak lupa juga kearifan dalam bidang perdagangan antarabangsa dengan pelabuhan-pelabuhan di Nusantara menjadi pusat dan entrepot dagangan untuk saudagar-saudagar tempatan serta saudagar-saudagar dari seluruh pelusuk dunia.
Kemahiran
Seringkali kearifan dan ilmu tempatan berasal dari Kepulauan Melayu dilupakan atau dibelakangkan hari ini terutama sekali oleh golongan yang masih dibelenggu pemikiran penjajah. Bangsa Melayu sebenarnya memiliki pelbagai kemahiran tertinggi yang terbina daripada naluri dan akal budi warisan. Kearifan tempatan yang diwarisi pelbagai unsur tradisi yang berkaitan dengan sumber manusia, budaya, ekonomi, keselamatan dan undang-undang serta ilmu yang merangkumi tradisi, budaya, nilai, kepercayaan dan pandangan semesta masyarakat setempat.
Jika kita kaji hikmah dan akal budi zaman silam ini, kita boleh merumuskan bidang hari ini yang bersesuaian untuk bangsa Melayu Kepulauan Melayu hari ini:
1. Seni bina: Penguasaan dalam bidang seni bina. Bidang ini semakin penting dalam pembangunan negara dan industri. Kita lihat seni bina lama dalam pembuatan rumah tradisi yang begitu harmoni dengan persekitaran. Contoh kejayaan dalam bidang ini ialah Arkitek Hijjas Kasturi.
2. Teknologi Kejuruteraan: Pada suatu masa dahulu, kemahiran kejuruteraan kapal terbang terbaik dunia antaranya dikuasai Roslan Ismail, pakar penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO). Malah sebuah syarikat membina bahagian kapal terbang diketuai pakar kejuruteraan, Naguib Mohd Nor.
3. Superkomputer: Ini merupakan bidang yang memerlukan pemikiran luar kotak dan penyelesaian masalah rumit pelbagai dimensi dan syarikat Twistcode Technologies Sdn Bhd yang mempunyai kepakaran dalam bidang ini ditubuhkan oleh Nurazam Malim Sidik Malim.
4. Budaya, bahasa dan kesusasteraan: Kekuatan untuk berkomunikasi secara efektif dalam Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, dan banyak bahasa dunia serta kemahiran untuk menulis dengan jelas dan berkesan memberi orang Melayu kelebihan dalam jurusan perfileman, kesusasteraan dan penulisan contohnya Pendeta Za’aba, HAMKA, Raja Ali Haji, Chairil Anwar dan Amir Hamzah.
5. Kewartawanan; Kekuatan bahasa dan patriotisma sejak lebih 600 tahun memberikan kita penulis seperti Pak Sako dan Tan Sri A Samad Ismail.
6. Keusahawanan dan kemahiran ekonomi: Keupayaan untuk mencipta peluang perniagaan, membangunkan ekonomi, serta memiliki kepimpinan yang kukuh dalam menjalankan perniagaan contohnya Dato Sagor dan Ramly Mokni.
7. Kreativiti dan seni: Kemahiran dalam seni bina, rekaan grafik, fotografi, seni ukir, dan seni kraf lain penting dalam mengekalkan warisan budaya serta berkongsi karya seni dengan dunia. Kita berjaya melahirkan tokoh seperti Tan Sri P Ramlee, Ismail Marzuki, dan Khadijah Awang.
Kesemua kearifan dan keilmuan tempatan ini mencerminkan warisan akal budi, hikmah dan kebijaksanaan masyarakat Kepulauan Melayu seharusnya diteruskan, dihargai, dan dikembangkan untuk manfaat generasi akan datang.
Dengan menghargai dan meneroka lebih mendalam kekuatan warisan dan kearifan tempatan, masyarakat Kepulauan Melayu dapat memperkukuhkan identiti budaya dan warisan serta memastikan kelestarian warisan bangsa demi kebangkitan generasi akan datang.
-- BERNAMA
Zalina Abdul Aziz atau Ninot Aziz ialah Presiden Persatuan Sastera Lisan Malaysia dan pengasas Hikayat Fandom. Penggiat budaya ini telah menulis lebih 40 novel dan buku grafik genre Hikayat.