TINTA MINDA

ELAK KEHILANGAN PEKERJA TERLATIH, TINGKAT DAYA SAING DENGAN SYARIKAT ASING

21/10/2024 11:04 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Mohamed Ismail bin KP Hj Pakir Mohamed (UTHM)

Oleh Mohamed Ismail KP Hj Pakir Mohamed

Daya saing sebuah syarikat merujuk kepada keupayaan syarikat untuk bersaing dengan berkesan dalam pasaran, baik di peringkat domestik mahupun global. Daya saing ini ditentukan oleh pelbagai faktor yang mempengaruhi prestasi dan keberkesanan syarikat dalam memenuhi keperluan pelanggan, menghasilkan produk berkualiti dan mencapai keuntungan.

Salah satu aspek yang kritikal yang boleh mempengaruhi daya saing syarikat adalah kecekapan mengurus sumber manusia. Sumber manusia yang terlatih dan berkemahiran tinggi meningkatkan produktiviti, sementara penggunaan teknologi canggih meningkatkan kecekapan operasi. Kemampuan untuk meramalkan dan menyesuaikan diri dengan perubahan pasaran sumber manusia adalah kunci untuk kekal relevan dan berjaya dalam persekitaran yang kompetitif.

Pada era globalisasi ini, persaingan antara syarikat tempatan dan asing di Malaysia semakin ketara. Dengan pendekatan ekonomi Madani, lebih banyak syarikat asing telah dan akan menubuhkan operasi mereka di Malaysia dan ini menjadikan isu daya saing semakin relevan.

Salah satu contoh yang menarik perhatian adalah isu Malaysia Airlines Berhad (MAB) yang kehilangan kakitangan penyelenggaraan pesawat syarikat. Media tempatan ada melaporkan lebih 60 kakitangan MAB Engineering Services (MABES), sebuah anak syarikat MAB, yang boleh memperakui perihal keselamatan pesawat penerbangan telah meletakkan jawatan dan berpindah ke syarikat-syarikat lain. Salah satu syarikat yang menjadi pilihan untuk kakitangan ini berhijrah adalah Singapore Airlines Engineering Company (SIAEC), sebuah syarikat penyelenggaraan pesawat milik Singapore Airlines yang baru-baru ini beroperasi di Subang. Ada yang menyatakan perpindahan itu disebabkan oleh tawaran gaji yang lebih tinggi dan peluang kerjaya yang lebih baik.

Kesan dari kekurangan kakitangan kritikal ini, beberapa pesawat menghadapi masalah semasa penerbangan. Terdapat beberapa insiden yang mana pesawat Malaysia Airlines (MAS) terpaksa berpatah balik atau membuat pendaratan kecemasan. Selain dari isu kekurangan kakitangan penyelenggaran, dilaporkan juga yang MAB menghadapi isu kekurangan alat ganti komponen mekanikal pesawat. Isu membabitkan komponen mekanikal pesawat ini merupakan salah satu faktor insiden masalah teknikal yang berlaku. Kekurangan alat ganti pesawat ini telah mengganggu kerja-kerja penyelenggaraan pesawat.

Disebabkan insiden yang berpunca daripada masalah tenaga kerja dan komponen, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia atau Civil Aviation Authority of Malaysia (CAAM) telah mengurangkan tempoh pembaharuan Sijil Perakuan Pengendali Udara (AOC) dari tiga tahun kepada satu tahun. Audit untuk memastikan pematuhan terhadap langkah-langkah keselamatan akan dilaksanakan dengan lebih kerap.

MAB pula telah mengambil langkah-langkah yang penuh bertanggungjawab dengan mengurangkan kekerapan penerbangan dan menjadualkan semula penerbangan. Tujuan mengurangkan kekerapan penerbangan adalah untuk memastikan bahawa pesawat yang beroperasi berada dalam keadaan baik dan selamat. Ini membolehkan syarikat memberi tumpuan kepada penyelenggaraan dan pemulihan pesawat yang memerlukan perhatian. Penjadualan semula penerbangan pula dilaksanakan untuk meminimumkan gangguan kepada penumpang. MAB berusaha untuk memberikan pilihan alternatif kepada penumpang, termasuk penerbangan lain atau mengembalikan wang.

Nasib yang dialami oleh MAB ini boleh juga dialami oleh syarikat-syarikat Malaysia yang lain. Kehilangan pekerja terlatih boleh memberi impak negatif yang besar kepada daya saing sesebuah syarikat, terutamanya syarikat-syarikat di Malaysia yang berhadapan dengan persaingan sengit daripada syarikat asing yang bertapak di negara ini.

Apabila pekerja terlatih meninggalkan syarikat, syarikat kehilangan modal insan yang berharga. Pekerja yang mahir dan berpengalaman membawa bersama mereka pengetahuan, kemahiran dan kepakaran yang sukar digantikan. Ini menjejaskan keupayaan syarikat untuk mengekalkan kualiti produk dan perkhidmatan.

Ini juga akan menyebabkan gangguan operasi. Kehilangan pekerja terlatih secara tiba-tiba boleh menyebabkan gangguan kepada operasi harian syarikat. Proses peralihan dan latihan pekerja baharu memerlukan masa dan sumber yang banyak. Ini boleh memberi kesan kepada kecekapan dan produktiviti syarikat secara keseluruhan.

Syarikat pula terpaksa menanggung kos untuk mengambil dan melatih semula pekerja baharu. Kos ini termasuk iklan jawatan, proses temuduga, latihan induksi dan latihan kemahiran. Kos ini boleh membebani syarikat terutamanya syarikat kecil dan sederhana. Bagi pekerja terlatih barisan harapan yang berhubung langsung dengan pelanggan, apabila mereka berhijrah, mereka mungkin membawa pelanggan yang rapat dengan mereka. Ini boleh menyebabkan syarikat kehilangan pelanggan penting dan pendapatan. Membina semula hubungan dengan pelanggan memerlukan usaha dan masa yang lama.

Oleh itu boleh dirumuskan bahawa kehilangan pekerja terlatih menjejaskan keupayaan syarikat untuk bersaing dari segi kualiti, inovasi dan kecekapan. Syarikat mungkin ketinggalan berbanding pesaing yang dapat mengekalkan bakat terbaik. Ini menjadikan syarikat kurang kompetitif dalam pasaran tempatan dan global. Untuk mengatasi masalah ini, secara umumnya syarikat perlu melaksanakan langkah-langkah strategik yang berkesan. Berikut adalah beberapa strategik yang boleh digunakan untuk menghalang kehilangan tenaga kerja terlatih:

1. Menawarkan pakej gaji dan faedah yang kompetitif

Salah satu punca utama kehilangan pekerja terlatih adalah tawaran gaji yang lebih tinggi dari syarikat asing. Oleh itu, syarikat Malaysia perlu menyemak dan meningkatkan gaji. Menawarkan gaji yang setara atau lebih baik daripada pesaing boleh menarik dan mengekalkan bakat. Syarikat juga perlu menyediakan faedah tambahan seperti insurans kesihatan, cuti yang lebih panjang dan bonus prestasi untuk meningkatkan daya tarikan syarikat.

2. Mewujudkan persekitaran kerja yang positif

Persekitaran kerja yang baik adalah kunci untuk mengekalkan pekerja terlatih. Salah satu langkah yang boleh diambil adalah mewujudkan budaya kerja yang inklusif dan menyokong kesejahteraan mental dan fizikal pekerja. Ini termasuk program kesejahteraan, aktiviti sosial dan sokongan psikologi. Juga boleh dipertimbangkan adalah membenarkan pekerja memilih mod kerja yang fleksibel seperti kerja dari rumah atau waktu kerja yang boleh disesuaikan untuk meningkatkan keseimbangan kerja dan kesejahteran pekerja.

3. Pelaburan dalam latihan dan pembangunan

Syarikat perlu melabur dalam latihan dan pembangunan untuk memastikan pekerja terus berkembang. Menyediakan program latihan yang berkualiti adalah penting untuk meningkatkan kemahiran dan pengetahuan pekerja. Ini termasuk kursus dalam talian, bengkel dan seminar. Syarikat juga perlu mewujudkan laluan kerjaya yang jelas dan peluang untuk kenaikan pangkat bagi pekerja yang menunjukkan prestasi baik.

4. Menggalakkan inovasi dan kreativiti

Syarikat perlu menggalakkan inovasi dan kreativiti dalam kalangan pekerja. Syarikat boleh menyediakan platform yang mana pekerja boleh berkongsi idea dan inovasi. Ini boleh dilakukan melalui sesi brainstorming atau hackathon. Syarikat juga perlu memberikan pengiktirafan kepada pekerja yang menyumbang idea inovatif dan memberi impak positif kepada syarikat.

5. Membangunkan rangkaian dan kerjasama

Membangunkan rangkaian dan kerjasama dengan institusi pendidikan dan industri lain dapat membantu syarikat dalam mendapatkan bakat. Kerjasama dengan universiti untuk program latihan industri dan internship bagi pelajar boleh menjadi saluran untuk merekrut bakat baharu. Syarikat juga perlu menghadiri acara industri dan seminar untuk membina hubungan dengan profesional lain dan mengenal pasti peluang kerjasama.

6. Mewujudkan program retensi

Syarikat perlu mempunyai program khusus untuk mengekalkan pekerja terlatih.

Kajian lapangan perlu dilaksanakan untuk memahami keperluan dan kepuasan pekerja. Tindakan susulan berdasarkan maklum balas ini dapat membantu mengatasi isu sebelum ia menjadi masalah besar. Selain itu, syarikat juga boleh mewujudkan program ‘mentoring’ yang mana pekerja berpengalaman membimbing pekerja baharu, membantu mereka merasa lebih terlibat dan berharga dalam organisasi.

Apa yang berlaku pada MAB menunjukkan tidak mustahil nasib yang sama boleh berlaku pada syarikat-syarikat lain di Malaysia. Oleh itu, dengan melaksanakan langkah-langkah strategik ini, syarikat-syarikat di Malaysia dapat mengurangkan kehilangan pekerja terlatih dan meningkatkan daya saing mereka dalam pasaran yang semakin mencabar. Pelaburan dalam modal insan adalah kunci kepada kejayaan jangka panjang dan pertumbuhan syarikat.

-- BERNAMA

Mohamed Ismail KP Hj Pakir Mohamed adalah Pensyarah Kanan dan Ketua Focus Group Manufacturing Technology Management, Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan (FPTP), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)