Oleh Khairil Hilmi Mokhtar
Tahun 2025 bakal menyaksikan Malaysia mengambil giliran selaku Pengerusi ASEAN. Penggiliran kepengerusian ini merupakan cerminan kesepakatan suatu pertubuhan yang telah berdekad lamanya wujud dalam membentuk kemakmuran dan kesepakatan negara-negara Asia Tenggara yang mengganggotainya sejak ASEAN tertubuh pada 8 Ogos 1967. Tertubuhnya ASEAN membolehkan negara-negara yang mempunyai latar belakang ideologi sosiopolitik yang berbeza dengan kerencaman budaya, etnik dan agama yang pelbagai serta tahap keutuhan ekonomi yang tidak seimbang mampu duduk bersama di dalam satu kesatuan. Kesatuan ini terbukti dapat merapatkan jurang yang wujud antara negara, untuk membolehkan ASEAN menjadi suatu pertubuhan serantau yang berimpak tinggi dalam konteks geo-strategik dunia.
Kemampanan Ekonomi, Imej Antarabangsa Kepengerusian Malaysia pada tahun 2025 ini dilihat tepat pada waktunya. Malaysia di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah semakin meningkat martabat, harkat dan darjatnya di persada antarabangsa. Di bawah kerangka Malaysia MADANI, aspirasi membina tamadun yang hebat telah mula membuah hasil yang boleh diukur melalui pengukuhan kemampanan ekonomi, imej antarabangsa yang meningkat serta kestabilan sosiopolitik domestik. Pelbagai pihak memberi pandangan bahawa Malaysia bakal menunjukkan potensi sebenar sebagai sebuah negara hebat yang disegani dunia.
Sentimen rakyat Malaysia juga semakin positif, akan kebangkitan ekonomi Malaysia berada di landasan yang betul apabila Ringgit semakin mengukuh dan diiktiraf sebagai antara mata wang terbaik dunia ketika ini. Inflasi dapat dikendali dengan kadar rendah dan terkawal. Kadar pengganguran menurun dengan cerminan peluang pekerjaan bertambah dengan hala tuju pendapatan rakyat meningkat dengan kadar yang munasabah dan bermaruah. Produktiviti perusahan turut meningkat seiring dengan peningkatan eksport barangan keluaran Malaysia. Walaupun terdapat kebimbangan terhadap kos sara hidup, namun ianya dapat dikendali dengan baik. Bantuan-bantuan bersasar kepada rakyat telah dapat dilaksanakan dengan berkesan. Formula Ekonomi MADANI ternyata telah membuahkan hasil.
Keamanan dan Kestabilan
Peningkatan ekonomi Malaysia ini berlaku apabila rakyat mengambil tanggungjawab memastikan keharmonian dan kestabilan sosiopolitik dapat dicapai dengan mendukung agenda perpaduan seperti dihasratkan oleh setiap pihak. Penolakan terhadap ganggu gugat keamanan dan keharmonian oleh pihak-pihak yang mengapiapikan isu 3R (raja, agama, kaum) menunjukkan bahawa rakyat semakin matang untuk menentukan keutamaan dalam membina negara bangsa. Rakyat mendokong Kerajaan Perpaduan dengan penuh hikmah, kematangan dan iltizam dalam meyakini kekuatan Malaysia adalah kesepaduan yang wujud disebalik perbezaan bangsa, agama dan wilayah. Kekuatan Malaysia adalah sebagai sebuah Persekutuan, ia menggembeling segala nilai baik untuk bersama maju ke hadapan sebagai sebuah negara yang berdaulat, aman dan sejahtera. Pengkukuhan Perpaduan yang membawa kepada kemakmuran sosioekonomi ini lah bakal menjadikan Kepengerusian ASEAN di tahun 2025 amat Istimewa kepada seluruh rakyat Malaysia.
Perpaduan dan Toleransi
Perpaduan dalam kepelbagaian (Unity in diversity) yang membentuk dan memperkuat Persekutuan Malaysia adalah cerminan kepada rantau Asia Tenggara itu sendiri yang sangat majmuk sifatnya. Biar ada jurang perbezaan, namun kesepakatan yang membentuk ASEAN membolehkan ia sebagai suatu pertubuhan serantau dapat berfungsi dengan baik dan memberi manfaat kepada ahli-ahlinya. ASEAN telah membuktikan apabila perpaduan dengan toleransi matang dapat dibentuk, ia memberikan manfaat dan rahmat yang besar kepada semua pihak. Malaysia, seperti ASEAN mampu menjadi hebat kerana ahli-ahlinya saling lengkap melengkapi dan membentuk kekuatan unik di sebalik perbezaan. Perbezaan itu tidak menjadi pemisah, malah menjadi kekuatan apabila setiap pihak mampu melihat ada kebaikan besar yang mampu diraih. Inilah yang dimaksudkan bahawa Malaysia itu cerminan ASEAN – apabila bersepakat, bernaung bersama, memelihara keharmonian, hormat menghormati dan saling lengkap melengkapi maka sudah pasti banyak manfaat yang dapat diraih. Ahli-ahli Malaysia itu sendiri saling lengkap melengkapi. Yang kurang di Perak ditampung Selangor. Yang lebih di Sarawak dikongsi dengan Melaka. Yang berani di Johor memperkukuh di Sabah. Setiap negeri di Malaysia saling menyumbang rezeki kebaikan untuk dinikmati bersama. Setiap negeri di Malaysia saling memulih luka dan mendokong di kala sukar. Susah dan senang diharung bersama. Itu lah rahmat dan nikmat perpaduan yang dinikmati negara bertuah ini.
Kebangkitan Malaysia, Kebangkitan Asia
Justeru, apabila Malaysia mempengerusikan ASEAN pada tahun 2025, ianya sendiri suatu yang sangat teristimewa. Ketokohan Anwar Ibrahim sebagai pemimpin dunia yang berwibawa, berani dan mempunyai prinsip dan ketegasan dalam pelbagai isu antarabangsa bakal menyaksikan ASEAN dan Asia mempunyai seorang pemimpin yang dihormati dan disegani. Ini lah kebangkitan Malaysia. Inilah kebangkitan Asia. Kita bakal terus mendunia sejajar kepengerusian ini dan agenda ini wajar disambut seluruh rakyat Malaysia untuk menggalas cabaran ini dalam segenap aspek. Perkhidmatan Awam Malaysia harus memperkemas keupayaan agar menjadi nadi jentera kerajaan bertaraf dunia. Sektor ekonomi, perdagangan dan perusahaan Malaysia harus merebut peluang menjadi peneraju dan pelopor dalam bidang masing-masing. Anak-anak remaja dan belia Malaysia harus mampu meletakkan diri di tempat yang tinggi khususnya penguasaan sains dan teknologi, budaya dan keterampilan. Seluruh rakyat Malaysia juga harus memperkukuh jati diri, menjunjung tatakelola baik, menguasai ilmu baharu, dan menjadi contoh kepada rakyat negara lain bahawa kita adalah insan-insan hebat yang menghuni sebuah negara bermartabat tinggi bernama Malaysia. Dan kehebatan ini hadir kerana kita semua rakyat yang bernaung di bawah sebuah negara Makmur.
Bersekutu Bertambah Mutu, cogan kata yang terpahat pada Jata Negara itu adalah DNA yang ada dalam setiap darah rakyat Malaysia. Maka 2025 hadir dengan giliran kepengerusian ASEAN oleh Malaysia juga harus disambut segulai sejalai oleh segenap rakyat Malaysia dengan perasaan bangga kerana yakinlah kita telah lama bersedia untuk mendunia. Semoga amanah dan tanggungjawab ini kita dapat galas bersama sebagai ahli pasukan kepada Malaysia, sebuah negara hebat yang tinggi darjat, harkat dan martabatnya.
-- BERNAMA
Khairil Hilmi Mokhtar ialah Penganalisis Geo-Strategik.