Pada 9 hingga 11 Oktober lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang-sidang Kemuncak Berkaitan di Vientiane, Lao PDR.
Sidang ini menjadi titik penting kerana ia menandakan penyerahan rasmi jawatan Pengerusi ASEAN 2025 kepada Malaysia. Perdana Menteri Laos Sonexay Siphandone menyerahkan mandat kepada Anwar dengan pengambilalihannya berkuat kuasa pada 1 Januari.
Ini bukan sekadar acara simbolik tetapi merupakan bab penting, selaras dengan ulang tahun ke-10 penubuhan Komuniti ASEAN dan pelancaran Wawasan Komuniti ASEAN 2045 yang bakal menggariskan hala tuju masa depan ASEAN untuk dua dekad akan datang.
Pada majlis itu, Anwar memperkenalkan logo ASEAN Malaysia 2025 dengan tema "Keterangkuman dan Kemampanan”, yang mencerminkan aspirasi kemajuan bersama tanpa ada yang tercicir dengan jaminan bahawa segala tindakan tatkala Malaysia mempengerusikan ASEAN akan diputuskan secara konsensus antara 10 ahli.
Komitmen tinggi Anwar terbukti bila sebaik sahaja berakhir misi di Lao PDR, beliau terus membuat arahan supaya seluruh jentera kerajaan mahu pun swasta perlu persiapkan diri untuk memberi sambutan dan layanan terbaik buat delegasi ASEAN sepanjang 2025.
Agenda
Antara agenda penting kepengerusian Malaysia ialah memastikan penyertaan Timor-Leste sebagai ahli ke-11 ASEAN dalam usaha untuk meningkatkan potensi dan memperluas ekonomi ASEAN selain akan menyumbang kepada pencapaian wawasan besar ASEAN.
Adalah satu kejayaan besar bagi Malaysia jika ia berjaya mendapatkan konsensus semua 10 ahli untuk menerima Timor-Leste sebagai ahli ke-11 ASEAN di bawah kepengerusian Malaysia setelah para pemimpin ASEAN bersetuju pada prinsipnya menerima Timor-Leste pada 2022.
Selainnya ialah penegasan untuk ASEAN mengekalkan prinsip sebagai blok bebas dan mengekalkan hubungan dua hala dengan kuasa besar sama ada Amerika Syarikat (AS), China, Rusia atau Kesatuan Eropah (EU).
Ini telah ditekankan dari awal oleh Anwar dalam Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) ke-19 melalui penegasan mengenai kepentingan menegakkan prinsip kebebasan ASEAN sambil mengekalkan hubungan baik dengan AS dan EU, memperkukuh hubungan dengan China serta mengekalkan hubungan dengan Rusia selaras dengan status ASEAN sebagai blok yang bebas dan berdaulat.
Ketegangan di Laut China Selatan juga kekal sebagai cabaran utama, dan Malaysia menekankan penyelesaian melalui diplomasi dan undang-undang antarabangsa, khususnya Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS) 1982.
Melalui Sidang Kemuncak ASEAN-China ke-27, Anwar menzahirkan penghargaan terhadap peranan dan sumbangan China terhadap ekonomi serantau, menyampaikan pendirian ASEAN berhubung kepentingan untuk semua pihak mengekalkan keamanan dan kestabilan di Laut China Selatan, selaras dengan prinsip undang-undang antarabangsa
Malaysia juga menunjukkan komitmen untuk mencari penyelesaian damai kepada krisis Myanmar. Anwar menyambut baik kesediaan Myanmar menghantar pemerhati ke Sidang Kemuncak dan membuka ruang rundingan. Malaysia akan mengetuai usaha ini dengan Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan, akan menyelaras rundingan dengan pelbagai pihak berkepentingan.
Malaysia juga berhasrat memperkukuh dan memperluas kerjasama ekonomi ASEAN ke seluruh dunia. ASEAN kini di landasan untuk menjadi ekonomi keempat terbesar dunia menjelang 2030, berbanding kedudukan kelima ketika ini.
Ini termasuk memperluas rangkaian perdagangan dan pelaburan dengan memanfaatkan 685 juta rakyat ASEAN dan peningkatan Perjanjian Perdagangan Barang ASEAN (ATIGA) yang dijadualkan ditandatangani pada tahun 2025.
Selain itu, Sidang Kemuncak ASEAN-GCC + China akan dianjurkan pada 2025, dengan keterlibatan negara-negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC) seperti Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar, Arab Saudi, dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dijangka akan membuka peluang ekonomi baharu bagi ASEAN.
Kesiapsiagaan
Kesiapsiagaan Anwar menyiapkan kepengerusian Malaysia jelas terlihat dalam keterlibatan aktif beliau dalam lebih 30 acara, persidangan, mesyuarat dua hala dan kunjungan hormat bersama pelbagai negara dan pertubuhan antarabangsa bersempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 ini.
Ia termasuk Sidang Kemuncak ASEAN-PBB apabila Anwar menggesa had penggunaan kuasa veto bagi menghentikan pelanggaran undang-undang antarabangsa dan menyeru Majlis Keselamatan PBB menyokong usaha ASEAN mencari penyelesaian damai di Myanmar.
Selain itu, pada Sidang Kemuncak ASEAN-AS, Anwar menyatakan komitmen Malaysia untuk bekerjasama dengan ASEAN dan AS dalam menangani isu-isu tertunggak yang dapat memudahkan proses ratifikasi Protokol Southeast Asia Nuclear Weapon-Free Zone (SEANWFZ) oleh AS.
Pada Sidang Kemuncak ASEAN-Australia, Anwar menekankan kepada Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese mengenai keperluan untuk memperkukuhkan kerjasama dalam pembangunan modal insan, khususnya dalam bidang keselamatan siber, kecerdasan buatan (AI), ekonomi digital, dan tenaga bersih.
Sementara itu, dalam Sidang Kemuncak ASEAN Campur Tiga (APT), Anwar mengalu-alukan sokongan China, Jepun dan Korea Selatan terhadap inisiatif teknologi seperti robotik, kecerdasan buatan (AI) dan kenderaan elektrik melalui Tabung Koperasi APT.
Anwar juga mengadakan pertemuan dengan pemimpin-pemimpin dunia termasuk Xanana Gusmão (Timor-Leste), Lawrence Wong (Singapura), Pham Minh Chinh (Vietnam), Paetongtarn Shinawatra (Thailand), Sonexay Siphandone (Lao PDR), Anthony Blinken (US), Justin Trudeau (Kanada), Xavier Bettel (Luxembourg), Prof Klaus Schwab (Forum Ekonomi Sedunia, WEF) serta Charles Michel (Presiden EU).
Pertemuan-pertemuan ini telah menyediakan asas yang kukuh ke arah usaha mempertingkatkan kerjasama strategik bukan sahaja antara Malaysia dengan negara dan pertubuhan antarabangsa tersebut tetapi juga kerjasama strategik ASEAN sewaktu Malaysia mempengerusikan ASEAN tahun depan.
Anwar melalui Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang-sidang Kemuncak Berkaitan terus menggesa masyarakat antarabangsa terutamanya AS supaya segera melaksanakan Resolusi Majlis Keselamatan PBB 2735 (2024) yang menggariskan cadangan tiga fasa bagi segera menamatkan peperangan di Gaza.
Tegasnya, kepengerusian Malaysia pada 2025 akan menjadi peluang untuk menyatukan negara-negara ASEAN dalam mencapai visi jangka panjangnya dan memperkukuh kedudukan blok ini di arena global. Dengan strategi yang jelas dan kepimpinan yang berwibawa di bawah Anwar, masa depan ASEAN di bawah Malaysia tampak cerah dan penuh potensi.
-- BERNAMA
Prof Madya Dr Laila Suriya Ahmad Apandi adalah Dekan di Pusat Pengajian Antarabangsa (SoIS), Universiti Utara Malaysia (UUM).