TINTA MINDA

ISU, CABARAN DAN STRATEGI TINGKAT PENGELUARAN DAGING LEMBU DI MALAYSIA

18/10/2024 10:18 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Prof Datuk Dr Quaza Nizamuddin Hassan Nizam

Daging lembu dan kerbau merupakan sumber protein penting yang menyokong keperluan asid amino dan mikronutrien bagi pemakanan serta kesihatan manusia. Pada tahun 2005, penggunaan daging lembu dan kerbau di Malaysia berjumlah 138,980 tan metrik berbanding 244,801 tan metrik pada tahun 2022, iaitu peningkatan sebanyak 76 peratus. Ini mencerminkan kadar peningkatan purata sebanyak 4.47 peratus setiap tahun. Jumlah penggunaan daging sesebuah negara lazimnya berkadar terus dengan peningkatan populasi dan pendapatan rakyat.

Namun, bekalan tempatan untuk kedua-dua jenis daging tersebut telah mengalami penurunan. Hasilnya, kadar sara diri telah menurun daripada 23.6 peratus pada tahun 2015 kepada 14.7 peratus pada tahun 2022, bermakna sebanyak 85.3 peratus keperluan daging lembu dan kerbau di negara ini perlu diimport.

Secara terperinci, trend populasi lembu dan kerbau menunjukkan penurunan daripada 914,548 ekor pada tahun 2005 kepada 801,614 ekor pada tahun 2022. Ini bermakna antara tahun 2005 hingga 2022, negara telah mengalami penguncupan ternakan sebanyak 12.35 peratus. Penurunan populasi ternakan juga boleh dikaitkan dengan kadar penyembelihan yang tinggi terhadap ternakan tempatan. Pada tahun 2015, daripada 149,174 ekor lembu dan kerbau yang disembelih, 45.6 peratus berasal daripada sumber tempatan.

Pada tahun 2022, daripada 125,313 ekor yang disembelih, sebanyak 90.1 peratus diperoleh daripada sumber tempatan. Peningkatan peratus ternakan yang disembelih daripada sumber tempatan akan menggugat kestabilan gerompok ternakan. Kajian telah menunjukkan bahawa jika jumlah penyembelihan, penyingkiran, dan kematian lembu serta kerbau setiap tahun melebihi jumlah penggantian melalui kelahiran dan tambahan ternakan baharu daripada import, maka akan berlaku pengurangan populasi ternakan.

Strategi

Jabatan Perkhidmatan Veterinar, di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, telah melaksanakan pelbagai program dan inisiatif bagi meningkatkan serta memperkembangkan pengeluaran lembu dan kerbau secara tempatan. Namun, usaha-usaha setakat ini masih kurang berkesan.

Sudah tiba masanya kita memikirkan pendekatan yang berkesan serta berfokus kepada strategi-strategi yang boleh membina populasi ternakan, iaitu dengan meningkatkan populasi bibit atau lembu pembiak. Apabila berlaku peningkatan bilangan lembu pembiak yang tinggi, maka lebih banyak anak lembu boleh dihasilkan dan dengan ini penggandaan populasi ternakan akan berlaku.

Kawasan yang luas diperlukan untuk memperkembangkan aktiviti pembiakan dan menambahkan populasi ternakan. Malaysia tidak mempunyai kawasan ragutan yang luas seperti Australia, tetapi mempunyai kawasan tanaman kelapa sawit yang begitu luas iaitu 5.85 juta hektar, di mana sebahagiannya (12.6 peratus) telah digunakan untuk menternak lembu.

Beberapa syarikat serta pengusaha persendirian sedang dengan jayanya mengusahakan perladangan integrasi lembu dengan tanaman kelapa sawit. Jika kita boleh menambah lagi kawasan seluas 750,000 hektar (anggaran peningkatan 13 peratus) untuk menternak lembu di dalam ladang kelapa sawit, maka kita boleh menambah bilangan ternakan sebanyak 187,500 ekor (berdasarkan nisbah satu ekor induk bagi setiap empat hektar). Ini berpotensi menambah pengeluaran daging berjumlah 10,416 tan metrik (dengan andaian 18 induk boleh menghasilkan satu tan metrik daging berdasarkan kadar kelahiran 56 peratus, dengan tambahan sembelihan 20 peratus daripada induk yang diasing singkir dan 20 peratus daripada anak betina).

Sudah tentu ini memerlukan penyertaan syarikat-syarikat besar untuk melabur dalam industri ini kerana syarikat perladangan kelapa sawit swasta dan senarai awam memiliki lebih daripada 50 peratus keseluruhan kawasan tanaman kelapa sawit di dalam negara.

Secara lazimnya, syarikat-syarikat ini menyatakan bahawa mereka tiada kepakaran untuk menceburi bidang ini serta pulangan yang rendah. Bagi menarik minat syarikat-syarikat tersebut, tiga pendekatan boleh disyorkan untuk mereka pilih bagi mengatasi kekangan yang dihadapi:

  1. Mengadakan usahasama dengan syarikat-syarikat yang berjaya untuk mengusahakan integrasi lembu dengan tanaman kelapa sawit.
  2. Melantik syarikat yang berjaya untuk menguruskan atau mengendalikan perniagaan integrasi ternakan lembu dengan kelapa sawit.
  3. Menyewakan kawasan kepada koperasi penternak lembu setempat untuk mengusahakan bidang ini dengan menggunakan garis panduan yang disediakan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar serta di bawah pemantauan jabatan.

Insentif dan Polisi

Di samping itu, kerajaan juga boleh membantu menyediakan insentif percukaian tambahan kepada syarikat yang terlibat dalam pelaburan ini. Walau bagaimanapun, perkara yang paling penting adalah satu polisi perlu diwujudkan untuk mewajibkan setiap syarikat perladangan kelapa sawit mengenal pasti dan menyediakan 20 peratus hingga 25 peratus daripada kawasan tanaman kelapa sawit mereka untuk penternakan lembu bagi memastikan bekalan daging lembu tempatan dapat dipertingkatkan.

Integrasi ternakan dengan tanaman kelapa sawit juga dapat mengurangkan penggunaan racun (15 peratus-40 peratus) untuk meracun rumpai kerana ternakan lembu dapat meragut sebahagian daripada rumpai tersebut. Bukan itu sahaja, pengurangan penggunaan racun dapat mengurangkan kesan negatif terhadap alam sekitar, dan syarikat boleh menonjolkan usaha ini sebagai menepati keperluan di bawah ‘ESG’ (Alam Sekitar, Sosial, dan Tadbir Urus), Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO), dan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) yang kini diberi tumpuan.

Selain itu, usaha perlu diambil untuk mengatasi penyembelihan lembu betina yang produktif. Antara sebab lembu produktif disembelih adalah untuk menambah pendapatan atau bilangan ternakan yang dipelihara tidak dapat ditampung oleh kawasan meragut yang terhad. Sudah ada peruntukan undang-undang di bawah Akta Binatang 1953 (Akta 647) yang melarang penyembelihan untuk mengurangkan ketirisan induk ternakan.

Akta ini boleh digunakan bersama dengan satu sistem yang boleh diwujudkan untuk pembelian semula lembu-lembu betina produktif yang hendak disembelih dan kemudiannya dijual semula atau diagihkan kepada penternak yang berkapasiti untuk meningkatkan populasi lembu.

Strategi ini boleh dijayakan jika pendekatan bersepadu dilakukan oleh kerajaan dan pihak swasta di samping strategi lain yang sedang, akan, dan perlu dilaksanakan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar serta Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, seperti yang terkandung dalam Pelan Strategik Pembangunan Industri Pedaging Negara (BIF Plan) 2021-2025.

Dengan usaha-usaha yang berfokus ini, kita dapat meningkatkan kadar sara diri untuk bekalan daging lembu dan kerbau ke suatu tahap yang lebih tinggi.

-- BERNAMA

Prof Datuk Dr Quaza Nizamuddin Hassan Nizam ialah Pensyarah Fakulti Kesihatan dan Sains Perubatan, Universiti Taylor. Beliau sebelum ini berkhidmat sebagai Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia (2017-2020) dan sebagai Presiden Persekutuan Persatuan Veterinar Asia (2020-2022).

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)