SALAM DARI BEIJING

KEUNIKAN ETNIK MIAO DI WILAYAH GUIZHOU

13/11/2024 11:08 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Marfika Adnan Haris Fadzilah

Assalamualaikum.

Selepas melalui berpuluh terowong dan perjalanan sejauh 2 jam 30 minit dari Lapangan Terbang Antarabangsa Guiyang Longdongbao, penulis tiba di sebuah perkampungan popular di Wilayah Guizhou yang menempatkan lebih 1,000 keluarga etnik Miao iaitu ‘Xijiang Miao Village’.

Perkampungan itu adalah penempatan etnik Miao terbesar di negara Tembok Besar tersebut, selain, menyumbang lebih separuh dari populasi etnik berkenaan di China.

Etnik Miao yang kebanyakkannya menetap di kawasan pergunungan di selatan China merupakan kumpulan minoriti di republik itu dan kira-kira seramai enam juta kaum tersebut tinggal di wilayah Guizhou.

Kali pertama melangkah masuk ke perkampungan tersebut membuatkan penulis terpukau dek keindahan kampungnya yang berbukit-bukau dan diserikan lagi dengan keunikan golongan kaum wanita di sini yang rata-rata bersanggul tinggi.


Bayangkanlah, di tengah-tengah lembah berbukit-bukau ini, wujud sebuah perkampungan unik berada di lereng-lereng bukit. Sangat indah.

Etnik disini sangat meminati Mijiu (wain beras) yang dikatakan akan mendapat keberkatan setiap kali meminumnya, gaya rambut kaum wanita yang menarik dan kecintaan golongan ini terhadap hiasan perak serta sulaman.

KRAFTANGAN ETNIK MIAO

Etnik Miao mempunyai ciri khas yang sangat unik antaranya dalam penghasilan kraftangan perak yang dipakai sebagai aksesori dalam kehidupan harian mereka.

Walaupun menggunakan teknik yang rumit, mereka berjaya menghasilkan aksesori yang sangat indah dan unik. Ini kerana, etnik tersebut percaya perhiasan berkenaan boleh melindungi mereka daripada sebarang bencana dan penyakit.

Sulaman Miao juga merupakan wahana penting bagi sejarah dan budaya etnik berkenaan. Seni corak sulaman yang dihasilkan mereka sangat halus dan menggunakan warna-warna terang, kerana etnik ini menluahkan visi kehidupan mereka yang sentiasa indah.


Di perkampungan berkenaan, pelawat boleh melihat dan mencuba sendiri cara-cara membuat kraftangan etnik itu. Penulis sendiri tidak melepaskan peluang mencuba untuk menyulam serta hasilnya, saya mendapat pujian daripada golongan ibu di situ.

Berdasarkan laporan media tempatan, ketika lawatan Presiden China, Xi Jinping ke sebuah perkampungqn Miao di sini, beliau menyatakan, sulaman Miao bukan sahaja merupakan warisan tradisional, tetapi juga mengikuti arus fesyen pada masa sekarang.

Xi juga menyatakan bahawa sulaman tersebut bukan hanya satu industri, tetapi, juga berkait rapat dengan kebudayaan, selain, pembangunan sulaman Miao dapat menyemarakan kebudayaan tradisional, sekaligus menyumbang kepada usaha pembasmian kemiskinan dan pembangunan desa di Wilayah Guizhou yang merupakan antara daerah termiskin di China.

PERSEMBAHAN BUDAYA YANG MENARIK

Selain popular dengan hasil kraftangan yang unik, etnik itu juga sinonim dengan aktiviti kebudayaannya seperti drama, nyanyian, tarian dan puisi.

Tarian etnik Miao, seperti tarian Lusheng dan tarian Nasi Kakak, merupakan ekspresi semangat kebersamaan, identiti serta ingatan kolektif, yang sering dipersembahkan masyarakat di sini setiap kali musim perayaan.

Melalui persembahan kebudayaan mereka, penonton akan didedahkan berkaitan keindahan keseluruhan etnik tersebut seperti lagu dan tarian, adat istiadat, seni bina, pakaian, emosi, rohani, dan pelbagai lagi.

Penulis dan rakan-rakan juga tidak melepaskan peluang untuk menari bersama-sama, ia sangat mengujakan.


Selain itu, penulis juga berpeluang menonton Teater Yang Ousang di perkampungan itu selain berpengalaman mencuba ruang penonton berputar 360 darjah dan pemandangan pentas yang bewarna-warni yang ditawarkan di situ.


Teater yang berkisarkan mengenai kisah cinta mitos Yang Ousang dan matahari itu juga pernah memenangi Anugerah Teater Cemerlang negara tersebut pada 2014.

Setakat ini sahaja coretan penulis untuk kali ini. Nantikan lebih banyak lagi pengalaman menarik yang bakal dikongsikan dari Beijing. Jumpa lagi di lain waktu, Xie Xie!

"Salam Dari Beijing"

-- BERNAMA

Marfika Adnan Haris Fadzilah ialah wartawan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) yang mengikuti Program Pusat Media Antarabangsa China 2024, di bawah rangka kerja China International Press Communication Centre (CIPCC), di Beijing selama empat bulan bermula Ogos.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)