Sebagai seorang yang beragama Islam semestinya penulis sangat berhati-hati dalam pemilihan makanan. Lebih-lebih lagi menetap di negara yang majoritinya bukan beragama Islam.
Setiap kali mahu membeli atau memesan makanan, perkataan ini akan wajib keluar daripada mulut penulis, “It’s halal, okay for muslim people? (Ia halal, baik untuk orang Islam)”.
Perkataan ‘halal’ ini memang satu istilah yang tidak asing bagi masyarakat di negara kita, tidak kiralah yang beragama Islam mahupun bukan Islam. Namun, di sini tidak semua memahami akan pengertian halal tersebut dan kebanyakan mereka menganggap ‘tiada babi’ (no pork) itu adalah halal.
Mujur teman penulis yang bekerja di sini sering mengingatkan agar memastikan saya menyemak perkataan 清真 (Qing Zhen, yang bermaksud halal) yang kebiasaannya diletakkan pada papan tanda atau bahagian hadapan restoran, sebelum membeli sesuatu.
Boleh penulis simpulkan jika datang ke Beijing untuk mendapatkan makanan halal itu bukanlah satu permasalahan kerana banyak restoran halal yang dibuka di sini. Saya sendiri mempunyai restoran halal kesukaan di sini setiap kali bosan memakan masakan sendiri.
Jalan NiuJie: Syurga Makanan Halal
Jika bercakap mengenai lokasi makanan halal di Beijing, Jalan NiuJie ialah jawapannya. Rata-rata restoran atau pasaraya yang ditempatkan di jalan ini kesemua menjual makanan halal. Kawasan ini juga dikenali sebagai penempatan yang kaya dengan warisan budaya dan komuniti Muslim yang pelbagai.
Niujie ialah sebuah kawasan kejiranan yang terletak di daerah Xicheng. Nama ‘Niujie’ itu sendiri bermaksud ‘Jalan Lembu’, merujuk kepada lembu yang dahulunya digunakan untuk mengangkut barangan di kawasan tersebut, selain, kini ramai pengusaha menjual daging lembu halal ditempatkan di situ.
Sepanjang jalan ini, penulis juga berpeluang melihat dan merasai pelbagai jenis makanan halal yang dijual di bahu-bahu jalan. Tempat ini juga sangat terkenal dengan rasa autentik dan hidangan yang menggamit selera, sesuai untuk penduduk tempatan dan pelancong.
Antara hidangan popular yang wajib dicuba di sini antaranya Yangrou Chuan (sate kambing), Lanzhou La Mian (mi tarik tangan), dan Douzhi (susu kacang hijau yang diperam). Jalan ini juga terkenal dengan pencuci mulut tradisional seperti Jellied Bean Curd dan Sweet Osmanthus Cake.
Jika ada dikalangan pembaca yang ingin melawat ke jalan ini digalakkan datang pada hari biasa bagi mengelakkan kesesakan dan barisan panjang di gerai makanan popular di sini
Kedai daging kakak halal
Memandangkan NiuJie jaraknya kira-kira 20 ke 30 minit jauh daripada kediaman penulis, saya lebih suka mendapatkan bekalan daging dan ayam di premis yang digelar Kedai Kakak Halal.
Kedai tersebut terletak 10 minit jaraknya jika berjalan kaki dari kawasan penempatan penulis dan premis itu juga mendapat kesemua bekalan daging yang dijualnya daripada Jalan NiuJie.
Walaupun peniaga ini langsung tidak boleh bertutur dalam bahasa Inggeris, tapi beliau seorang yang sangat peramah dan lucu. Apabila kami bersembang saling tidak tumpah seperti ayam dan itik, tetapi masih boleh ketawa bersama.
Apa yang lebih menarik, dek kerana penulis merupakan pelanggan setia di kedainya, saya sering diberikan diskaun. Ayam di sini dijual dengan harga 40 yuan atau RM24 seekor.
Penampilan peniaga wanita di sini juga sedikit berbeza kerana selain bertudung mereka juga memakai kopiah bagi menunjukkan identiti seorang yang beragama Islam.
Setakat ini sahaja coretan penulis untuk kali ini. Nantikan lebih banyak lagi pengalaman menarik yang bakal dikongsikan dari Beijing. Jumpa lagi di lain waktu, Xie Xie!
"Salam Dari Beijing"
-- BERNAMA
Marfika Adnan Haris Fadzilah ialah wartawan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) yang mengikuti Program Pusat Media Antarabangsa China 2024, di bawah rangka kerja China International Press Communication Centre (CIPCC), di Beijing selama empat bulan bermula Ogos.