Assalamualaikum dan Salam Malaysia MADANI
Siapa sangka di tengah-tengah Bandar Guiyang, Guizhoa yang sedang pesat membangun ini terdapat sebuah gunung berketinggian 1,500 meter (4,921 kaki) di atas paras laut yang menjadi tarikan utama pelancong datang ke sini.
Mujurlah terdapat perkhidmatan kereta kabel disediakan di sini, tidak perlulah penulis mendaki kira-kira 1,500 anak tangga untuk naik ke puncak. Saya hanya mengambil masa selama 10 minit sahaja untuk tiba di lokasi pemandangan udara yang sangat menakjubkan.
Bagi penulis, Gunung Qianling ini adalah contoh sempurna bagaimana keindahan semula jadi, sejarah, dan budaya bersatu, menjadikannya sebagai salah satu destinasi paling menarik di wilayah Guizhou.
Kawasan Gunung Qianling ini merangkumi kira-kira 426 hektar (4.26 kilometer persegi), termasuk hutan, tasik, dan kawasan rekreasi.
Gunung ini juga dipenuhi hutan purba dengan lebih daripada 90 peratus kawasannya ditutupi tumbuh-tumbuhan hijau dan udara yang segar.
Hutan gunung ini adalah rumah kepada pelbagai flora dan fauna, termasuk lebih daripada 1,500 spesies tumbuhan dan habitat untuk haiwan seperti kera, monyet, burung eksotik, dan rusa.
Hutan purba berusia lebih 1,000 tahun
Hutan di Gunung Qianling ini dianggap sebagai hutan purba kerana mempunyai sejarah yang dianggarkan berusia lebih daripada 1,000 tahun. Ia berdasarkan kajian ke atas ekosistem tempatan, tumbuhan, dan penggunaan gunung ini sebagai kawasan suci dan semula jadi sejak zaman dahulu.
Hutan di gunung ini juga pernah memainkan peranan penting dalam sejarah setempat, kerana menjadi lokasi untuk kuil, meditasi, dan tempat tinggal para sami sejak Dinasti Ming dan Qing. Dipercayai oleh masyarakat terdahulu sebagai kawasan suci yang dilindungi oleh roh-roh gunung.
Hutan purba ini bukan sahaja menjadi lambang keindahan semula jadi tetapi juga warisan sejarah dan budaya yang penting bagi wilayah Guizhou.
Zoo Taman Gunung Qianling
Penulis juga berkesempatan melawat Zoo Taman Gunung Qianling yang menempatkan pelbagai haiwan dari dalam dan luar China, termasuk spesies endemik wilayah Guizhou. Antara haiwan popular yang ada di sini ialah panda, panda merah, harimau, beruang hitam, rusa, monyet dan pelbagai burung eksotik.
Persekitaran zoo ini direka untuk menyerupai habitat semula jadi haiwan-haiwan di sini, dengan lanskap hijau, bukit kecil, dan kawasan berbatu yang memberikan pengalaman mendekati alam sambil menikmati keindahan fauna.
Zoo ini juga mempunyai ruang pendidikan yang memberi maklumat tentang spesies haiwan, usaha pemuliharaan, dan ekosistem tempatan.
Penulis sendiri tidak melepaskan peluang untuk menonton panda secara dekat kerana haiwan ini sangat popular di sini. Panda ini juga adalah haiwan yang mempereratkan hubungan dua hala Malaysia dan China.
Pada 21 Mei 2014 sempena ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik, panda gergasi Fu Wa dan Feng Yi dipinjamkan China kepada Malaysia serta pasangan itu kemudiannya melahirkan tiga anak iaitu Nuan Nuan pada 18 Ogos 2015, Yi Yi pada 14 Jan 2018 dan Sheng Yi pada 30 Mei 2021.
‘Influencer’ Gunung Qianling
Seekor kera di taman ini pernah tular di media sosial dek kerana aksi bergambarnya yang menarik. Setiap kali haiwan ini berhadapan dengan kamera, kera ini akan memuncungkan mulut atau membongkok badannya dengan gaya tersendiri.
Pergerakannya yang anggun dan penuh gaya menjadikannya kelihatan seperti model profesional. Apa yang lebih menarik, kera yang bijak ini turut memberi masa kepada pelancong untuk merakam gambar setiap kali ia menukar gayanya. Penulis sendiri tidak melepaskan peluang menangkap gambar haiwan ini.
Menurut pegawai di taman berkenaan, kera ini tidak dilatih sebaliknya mempelajari dan mengamati tingkah laku pengunjung yang hadir ke taman tersebut.
Setakat ini sahaja coretan penulis untuk kali ini. Nantikan lebih banyak lagi pengalaman menarik yang bakal dikongsikan dari Beijing. Jumpa lagi di lain waktu, Xie Xie!
"Salam Dari Beijing"
-- BERNAMA
Marfika Adnan Haris Fadzilah ialah wartawan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) yang mengikuti Program Pusat Media Antarabangsa China 2024, di bawah rangka kerja China International Press Communication Centre (CIPCC), di Beijing selama empat bulan bermula Ogos.