TINTA MINDA

TULAR ‘LOADED NACHOS’ ALA ‘MEXICO’, RUAH ARUS BUDAYANYA DI MALAYSIA

20/12/2024 10:58 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Dr Nik Hasif

Sejak kebelakangan ini, dunia makanan di Malaysia semakin dikuasai oleh arus gabungan yang pelbagai dari segi tradisi kulinari, mencipta pengalaman unik dan menarik bagi penggemar makanan. Salah satu arus terbaharu yang semakin mendapat perhatian di negara ini adalah konsep ‘BYOB’ (Bring Your Own Bag), yang memperkenalkan sentuhan baharu pada Nachos yang berasal daripada Texas-Mexican (Tex-Mex). Kini, BYOB boleh didapati di Malaysia dengan menu dan cita rasa Malaysia yang berbeza, memberikan gabungan kreatif yang menarik perhatian penggemar makanan.

Kemunculan Konsep BYOB ‘Loaded Nachos’ di Malaysia

Konsep BYOB ini mula menjadi tular dalam aplikasi TikTok setelah perusahaan trak makanan di Washington DC mula memperkenalkan konsep ini yang dilihat bitara. Pelanggan hanya perlu membawa apa-apa beg cip, dan peniaga trak makanan akan mengisinya dengan daging cincang yang disaluti dengan sayur-sayuran yang turut dipotong halus seperti timun, bawang, dan tomato. Selepas itu, mereka menyiramkan sos buatan sendiri seperti sos perisa bawang, BBQ, atau mayonis sebelum diakhiri dengan taburan daun ketumbar.

Makanan ini adalah pendekatan moden terhadap Nachos tradisional yang mengandungi cip tortilla (jagung) yang dicampuri dengan daging, sos dan sayur-sayuran yang dicincang halus. Apa yang membezakan konsep ini adalah ia memberi pengalaman kreatif dan sosial yang bukan sahaja membolehkan orang ramai mencirikan pilihan Nachos mereka tetapi juga memberi peluang untuk diuji rasa dengan sensasi tempatan. Dengan menggantikan cip tortilla tradisional dengan cip yang dijual di pasar raya, BYOB ‘Nachos’ memberi peluang kepada pencinta makanan untuk menguji cita rasa mereka seperti menggunakan cip yang berperisa BBQ, pedas ataupun keju.

Arus ini mula mencuri perhatian ramai usahawan dan penggemar makanan tempatan yang dikenali sebagai “Loaded Nachos”, sekali gus mencerminkan kepelbagaian dan sifat inovatif masakan Malaysia dengan adanya nilai budaya Tex-Mex. Bukan itu sahaja, terdapat juga usahawan tempatan yang menawarkan makanan ini dengan membawa bekas sendiri dengan harga bermula daripada RM10 ke atas.

Sejarah Ringkas Nachos

Untuk benar-benar menghargai trend gabungan makanan baharu ini, penting untuk memahami sejarah Nachos dan bagaimana ia menjadi makanan asas dalam masakan Texas-Mexican atau dikenali sebagai Tex-Mex. Pada abad ke-19, pendatang Amerika dan penduduk Mexico tinggal bersama di kawasan yang kini dikenali sebagai Texas. Kumpulan-kumpulan ini berasimilasi dan bertukar-tukar tradisi kulinari serta bahan masakan sehingga munculnya pelbagai menu gabungan yang unik dan dilabel sebagai kulinari ‘Tex-Mex’. Kulinari Tex-Mex mula dikenali global dan sering disinonimkan dengan makanan ‘Mexico’ biarpun ia kurang tepat. Antara menu yang terkenal adalah Burrito, Chili con Carne (Cili dan Daging), Quesadilla dan Nachos.

Menurut sejarah, menu Nachos tercipta pada 1943 oleh Ignacio Anaya García, seorang pelayan restoran lelaki di Victory Club terletak di Piedras Negras, Coahuila, Mexico, yang sangat berhampiran dengan sempadan Texas yang dikenali sebagai Eagle Pass. Sekumpulan wanita Amerika yang dikatakan para isteri kepada tentera yang berkhidmat di kawasan berhampiran tiba di restoran untuk makan malam. Namun, pada ketika itu restoran sedang tutup dan Chef sudah tiada. Oleh itu, Anaya mendapat idea untuk menyediakan sesuatu yang pantas dengan menghidangkan Totopos, iaitu roti Tortilla yang dipotong tiga segi dan digoreng, kemudian ditambahkan keju cair dan potongan cili Jalapeños. Wanita-wanita itu menyukai hidangan tersebut dan menamakan ia “Nachos”, sempena nama singkatan penciptanya daripada “Ignacio”.

Dari masa ke masa, Nachos berkembang, dengan pelbagai adaptasi serantau dan penambahan hiasan (topping) seperti daging lembu kisar, kacang, Guacamole (sos yang diperbuat daripada avocado), dan krim masam. Hari ini, Nachos dinikmati di seluruh dunia, terutamanya di Amerika Syarikat, Mexico dan ruah arus budaya gastronominya kini menular di Malaysia. Nachos yang sinonim dengan masakan Tex-Mex, sering dihidangkan sebagai snek, pembuka selera, atau hidangan utama di restoran santai, acara sukan dan juga di pawagam. Bukan itu sahaja, “Nacho” turut menjadi nama gelaran dalam kalangan orang tempatan di seluruh Rantau Amerika Latin dan Sepanyol yang mempunyai nama Ignacio.

Kunci Utama Mempunyai Rasa Seperti Versi Tex-Mex

Walaupun konsep BYOB “Nachos” di Malaysia memperkenalkan sensasi tempatan ke dalam hidangan, bahan utama yang menjadikan “Loaded Nachos” di Malaysia sebagai “Nachos” adalah bergantung kepada jenis tepung tortilla dan hiasannya. Tortilla mestilah yang diperbuat daripada jagung, manakala hiasannya haruslah mempunyai bahan utama seperti sos Guacamole (avocado), perahan limau nipis, juga cili Jalapeños dan juga keju. Bahan ini memainkan peranan penting dalam mencipta rasa Nachos yang sebenar.

Guacamole adalah sejenis sos dari Mexico yang terbuat daripada avokado yang dilumatkan, dicampur dengan bahan seperti tomato, bawang, dan ketumbar. Ia biasanya digaul bersama jus limau nipis, garam, dan lada, serta boleh ditambah cili untuk rasa pedas. Sos berkrim ini sering dihidangkan bersama cip atau sebagai hiasan untuk hidangan seperti Tacos dan Nachos. Manakala, Jalapeños adalah sejenis cili pedas yang berasal dari Mexico. Ia berwarna hijau dan mempunyai tahap kepedasan daripada sederhana hingga kuat, bergantung pada tahap kematangannya. Jalapeños sering digunakan dalam masakan Mexico dan Tex-Mex untuk memberi rasa pedas pada hidangan. Cili ini juga boleh dimakan segar, dipanggang, atau diawet dalam cuka.

Manakala keju yang biasa digunakan dalam nachos adalah keju cheddar dan keju Monterey Jack. Keju cheddar memberikan rasa yang kaya dan tajam, sementara keju Monterey Jack lebih lembut dan berkrim. Kedua-dua jenis keju ini sering diparut dan dicairkan untuk menghasilkan lapisan keju yang leleh dan berkrim, yang menjadi ciri khas dalam hidangan Nachos. Keju ini juga boleh digabungkan dengan keju lain seperti keju mozzarella untuk menambah rasa dan tekstur.

Budaya Gabungan Gastronomi Antara Mexico dan Malaysia

Kesimpulannya, elemen-elemen daripada Tex-Mex, Latin Amerika dan Mexico, seperti nachos, mula mendapat tempat dalam konteks tempatan di Malaysia, terutama dengan penyesuaian versi halal yang sesuai dengan keperluan dan cita rasa masyarakat kita. Keistimewaan ini tidak hanya memberikan peluang untuk menikmati hidangan yang berbeza, tetapi juga membuka ruang untuk memperkenalkan budaya masakan luar negara dengan sentuhan lokal yang lebih mesra masyarakat.

-- BERNAMA

Dr Nik Hasif ialah Penyelidik Pusat Kajian Ilmu Amerika Latin, IKMAS-UKM.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)