Oleh Prof Madya Dr Md. Asrul Nasid Masrom dan Prof Madya Ts Dr Goh Kai Chen
Industri pembinaan global kini semakin ligat mengadaptasi teknologi hijau, memperkenalkan peraturan yang lebih ketat dan membangunkan penyelesaian inovatif untuk mengurangkan jejak karbon. Dengan kemajuan dalam kecerdasan buatan (AI), data raya dan automasi yang semakin mendapat perhatian, penilaian karbon dilihat berpotensi menjadi lebih tepat dan efektif.
Negara-negara maju juga dijangka meningkatkan komitmen mereka terhadap kelestarian dengan menetapkan sasaran karbon yang lebih bersasar dan memperluaskan insentif kewangan untuk projek mesra alam pada tahun 2025. Bagaimana pula usaha yang dijalankan di Malaysia?
Penilaian Jejak Karbon
Industri pembinaan merupakan penyumbang utama pelepasan karbon global yang menyumbang hampir 39 peratus daripada pelepasan karbon dioksida yang berkaitan dengan tenaga di seluruh dunia. Projek pembinaan berskala besar, seperti pembangunan infrastruktur, kompleks komersial dan perbandaran kediaman, telah memburukkan lagi beban alam sekitar akibat penggunaan bahan yang tinggi, proses yang memerlukan tenaga yang intensif dan penghasilan sisa bahan binaan yang tidak terkawal.
Oleh itu, penilaian jejak karbon dalam projek-projek ini menjadi alat penting dalam mengurangkan perubahan iklim, menggalakkan pembangunan lestari, dan mematuhi piawaian alam sekitar antarabangsa. Penilaian jejak karbon dalam projek pembinaan juga melibatkan pengukuran pelepasan gas rumah kaca (GHG) sepanjang kitaran hayat sesebuah bangunan atau infrastruktur. Beberapa metodologi telah diterapkan secara global untuk mengukur dan mengurangkan pelepasan karbon dengan berkesan.
Pelbagai usaha giat dijalankan melalui kajian-kajian penyelidikan oleh university tempatan mahupun antarabangsa seperti Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, The Bartlett School of Sustainable Construction, University College London (UCL), MIT’s Concrete Sustainability Hub, Massachusetts Institute of Technology (MIT), USA, dan The Sustainable and Healthy Environments (SHE) Lab, University of Melbourne. Penilaian Kitaran Hayat (LCA) merupakan metodologi utama dalam menilai impak alam sekitar dari peringkat pengekstrakan bahan mentah, pembuatan, pengangkutan, pembinaan, operasi dan fasa perobohan. Piawaian ISO 14040 dan ISO 14044 menyediakan garis panduan untuk pelaksanaan LCA.
Selain itu, alat pengukuran karbon seperti Kaedah Penilaian Alam Sekitar Penyelidikan Bangunan (BREEAM), Protokol Gas Rumah Kaca (GHG) dan Kepimpinan dalam Reka Bentuk Tenaga dan Alam Sekitar (LEED) digunakan secara meluas dalam menilai jejak karbon terutamanya dalam industri pembinaan.
Analisis penggunaan bahan dan tenaga juga merupakan aspek kritikal iaitu mengenal pasti bahan yang menggunakan tenaga tinggi seperti simen, keluli, dan aluminium yang menyumbang secara signifikan kepada pelepasan karbon. Tambahan pula, integrasi teknologi digital seperti AI, IoT, Machine Learning, Cloud Computing, Digital Twin dan Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM) membantu dalam pemodelan ramalan pelepasan karbon, membolehkan jurutera mereka bentuk alternatif rendah karbon sebelum pembinaan bermula.
Jejak Karbon Dalam Perolehan Pembinaan
Penerapan penilaian jejak karbon dalam proses perolehan pembinaan telah menjadi pendekatan asas dalam usaha mencapai matlamat kelestarian. Pihak kerajaan dan pemaju swasta mengintegrasikan keperluan pengurangan karbon dalam dasar perolehan dalam usaha ke arah menggalakkan amalan pembinaan yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar.
Salah satu pendekatan utama ialah penggunaan Dasar Perolehan Hijau, yang mana kontraktor dan pembekal dikehendaki memenuhi piawaian kelestarian yang telah ditetapkan. Projek sektor awam, terutamanya di Kesatuan Eropah, United Kingdom dan Australia, telah melaksanakan kriteria tender berasaskan karbon, yang mana pembida mesti menunjukkan usaha untuk mengurangkan karbon dalam bahan dan proses pembinaan.
Bukan itu sahaja, penilaian karbon sepanjang hayat semakin menjadi penanda aras dalam keputusan perolehan. Kaedah ini menilai pelepasan karbon dari peringkat sumber bahan sehingga ke fasa akhir hayat sesebuah struktur, membolehkan pemilihan bahan dan teknik pembinaan yang lebih bijak.
Di negara membangun seperti Malaysia dan China, rangka kerja perolehan lestari sedang giat diperkasakan. Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) menggalakkan perolehan lestari melalui Indeks Bangunan Hijau (GBI) dan alat penilaian Sustainable INFRASTAR. Begitu juga, kerajaan China mewajibkan penggunaan bahan rendah karbon dalam projek infrastruktur awam untuk memastikan kelestarian diterapkan dalam kontrak perolehan.
Tambahan pula, program penglibatan pembekal telah dilaksanakan oleh Pihak Berkuasa Tempatan untuk menggerakkan rantaian bekalan rendah karbon. Bukan itu sahaja, malah syarikat pembinaan dan pembekal bahan binaan saling berganding bahu untuk mendapatkan bahan lestari, mempromosikan prinsip ekonomi kitaran dan mengintegrasikan tenaga boleh diperbaharui di tapak pembinaan.
Cabaran Dalam Penilaian Jejak Karbon
Walaupun Analisis Pengesahan Faktor (CFA) memainkan peranan penting, ia masih menghadapi pelbagai cabaran dalam projek pembinaan berskala besar. Antara cabaran utama ialah ketersediaan dan ketepatan data, kerana mendapatkan data yang boleh dipercayai mengenai rantaian bekalan bahan, logistik pengangkutan dan pelepasan operasi masih sukar terutamanya di negara membangun.
Kos pelaksanaan yang tinggi juga menjadi halangan. Alat dan perisian penilaian jejak karbon memerlukan pelaburan kewangan yang besar yang mungkin dianggap membebankan oleh sesetengah pemaju. Selain itu, jurang peraturan dan kekurangan piawaian menyukarkan pelaksanaan CFA kerana banyak negara tidak mempunyai dasar mandatori yang mengawal selia penilaian jejak karbon, mengakibatkan amalan yang tidak konsisten dalam industri. Isu lain yang kritikal ialah kesedaran dan pematuhan pihak berkepentingan. Menggalakkan kontraktor, pembekal, dan pemaju untuk menerima pakai amalan rendah karbon masih menjadi cabaran kerana isu persaingan ekonomi dan kekurangan insentif kewangan untuk pembinaan lestari.
Kesimpulannya, penilaian jejak karbon dalam projek pembinaan berskala besar adalah usaha yang signifikan ke arah mengurangkan kesan alam sekitar yang semakin tenat. Pengintegrasian pertimbangan jejak karbon dalam proses perolehan penting dalam mendorong kelestarian merentas rantaian bekalan. CFA perlu menjadi standard industri dalam membantu mencapai masa depan rendah karbon selain mengatasi cabaran berkaitan ketepatan data, kos dan rangka kerja peraturan. Gabungan kecerdasan manusia dan disokong dengan kecerdasan buatan dilihat satu tindakan bijak dalam usaha mitigasi cabaran jejak karbon ini agar dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan konsisten dalam tahun 2025.
-- BERNAMA
Prof Madya Dr Md. Asrul Nasid Masrom ialah Penyelidik Utama, Pusat Penyelidikan Pengurusan Infrastruktur Lestari dan Alam Sekitar (CSIEM), Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
Prof Madya Ts Dr. Goh Kai Chen ialah Penyelidik Utama, Pusat Penyelidikan Pengurusan Infrastruktur Lestari dan Alam Sekitar (CSIEM),Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan Unversiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)