Bermula 1 Feb 2025, kadar gaji minimum pekerja dinaikkan daripada RM1,500 kepada RM1,700. Seramai 4.37 juta pekerja menikmati kadar gaji minimum baharu ini.
Perintah gaji minimum baharu ini ditetapkan kepada majikan yang menggajikan lima orang pekerja atau lebih serta majikan menjalankan suatu aktiviti profesional, tanpa mengambil kira bilangan pekerja yang digajikan oleh majikan berkenaan.
Pihak kerajaan memutuskan penangguhan kuat kuasa gaji minimum RM1,700 membabitkan majikan yang mempunyai kurang daripada lima pekerja bagi tempoh enam bulan iaitu berkuat kuasa pada 1 Ogos 2025, bagi memastikan majikan diberi tempoh mencukupi untuk melakukan penyesuaian dalam struktur gaji dan operasi syarikat masing-masing.
Keputusan untuk menaikkan kadar gaji minimum ini dapat memastikan setiap pekerja dalam negara ini dapat menikmati kehidupan yang selesa serta dapat menampung peningkatan kos sara hidup dan suasana ekonomi yang semakin mencabar.
Namun, pihak kerajaan perlu melakukan proses pemantauan yang ketat terhadap proses pelaksanaan kadar gaji minimum baharu ini.
Ia amat penting bagi memastikan tiada majikan yang ingkar untuk melaksanakan kadar gaji minimum berkenaan dan tiada pekerja yang dinafikan hak mereka untuk menerima gaji minimum selaras dengan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merangkap Menteri Kewangan dalam pembentangan Belanjawan 2025, tahun lalu.
Isu Pelaksanaan Perintah Gaji Minimum
Terdapat pelbagai isu yang melibatkan pelaksanaan Perintah Gaji Minimum sebelum ini.
Ada sesetengah pekerja mengadu majikan mereka yang masih belum sudi untuk melaksanakan Perintah Gaji Minimum, serta aduan daripada pekerja berhubung tindakan sesetengah pihak majikan yang memotong elaun dan pengurangan faedah sedia ada bagi mengurangkan kos kenaikan gaji minimum baharu.
Pada sambutan Hari Pekerja pada 1 Mei 2024, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa kerajaan agar lebih agresif dalam menangani isu majikan yang culas untuk menggajikan pekerja mengikut pelaksanaan perintah gaji minimum RM1,500 yang berkuat kuasa dua tahun lepas.
Semua isu berbangkit berkaitan pelaksanaan gaji minimum baharu perlu diberi perhatian serius dan ditangani segera bagi mengelakkan timbulnya masalah lain.
Ia termasuk mencetuskan kekeliruan orang ramai khususnya dalam kalangan pekerja yang menghadapi masalah kewangan akibat kenaikan kos sara hidup.
Sebelum ini, kerajaan terdahulu telah mengumumkan pelaksanaan gaji minimum RM1,500 berkuat kuasa 1 Mei 2022 di seluruh negara, dengan pengecualian diberikan kepada majikan yang mempunyai kurang daripada lima pekerja.
Pelaksanaan kuat kuasa Perintah Gaji Minimum bagi majikan yang menggajikan kurang lima pekerja telah ditangguhkan daripada 1 Jan 2023 kepada 1 Julai 2023.
Kerajaan kemudian mengambil keputusan untuk menaikkan lagi kadar gaji minimum kepada RM1,700 pada tahun 2025.
Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011
Pihak kerajaan harus memastikan setiap majikan di negara ini menghormati dan melaksanakan perintah gaji minimum yang baharu.
Mengikut Seksyen 2 Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 [Akta 732] “gaji minimum” ertinya gaji pokok yang akan ditetapkan atau sebagaimana ditetapkan di bawah Seksyen 23 Akta 732.
Gaji minimum ialah gaji pokok seperti yang ditetapkan dalam Perintah Gaji Minimum 2022. Ia tidak termasuk elaun, insentif atau apa-apa bayaran tambahan yang dibuat kepada pekerja.
Perintah Gaji Minimum ini terpakai kepada semua pekerja di sektor swasta yang bekerja di bawah suatu kontrak perkhidmatan, kecuali pekerja domestik (pembantu rumah, tukang kebun, tukang masak dalam rumah persendirian).
Mengikut Seksyen 2 Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 [Akta 732] “kontrak perkhidmatan” ertinya apa-apa perjanjian, sama ada secara lisan atau bertulis, dan sama ada nyata atau tersirat, yang menurutnya seseorang bersetuju untuk mengambil kerja seorang yang lain sebagai pekerja dan orang yang lain itu bersetuju untuk berkhidmat dengan majikannya sebagai pekerja, tetapi tidak termasuk kontrak perantisan.
Pindaan Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2024
Pada Disember 2024, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang – Undang (RUU) Majlis Perundingan Gaji Negara (Pindaan) 2024 yang membolehkan liputan gaji minimum turut terpakai kepada pekerja kontrak perantisan atau ‘apprenticeship’.
Adalah menjadi satu kesalahan kepada mana-mana pihak majikan yang gagal mematuhi Perintah Gaji Minimum ini.
Seksyen 43 Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 [Akta 732] jelas menyatakan: “Majikan yang tidak membayar gaji pokok sebagaimana yang dinyatakan dalam perintah gaji minimum kepada pekerjanya melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi sepuluh ribu ringgit bagi setiap pekerja”.
Seksyen 44 Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 [Akta 732] juga memperuntukkan bahawa:
(1) Jika seseorang majikan disabitkan dengan kesalahan di bawah seksyen 43, mahkamah yang di hadapannya majikan itu disabitkan boleh memerintahkan supaya majikan itu membayar;
(a) perbezaan antara kadar gaji minimum sebagaimana yang dinyatakan dalam perintah gaji minimum dengan gaji pokok yang dibayar oleh majikan kepada pekerja, termasuk perbezaan yang belum selesai dibayar; dan
(b) bayaran lain yang terakru daripada pengiraan gaji berdasarkan gaji pokok yang hendaklah mengikut kadar gaji minimum sebagaimana yang dinyatakan dalam perintah gaji minimum.
(2) Pengiraan perbezaan dan bayaran lain yang terakru di bawah subseksyen (1) hendaklah dibuat mengikut Akta Kerja 1955, Ordinan Buruh Sabah atau Ordinan Buruh Sarawak, mengikut mana-mana yang berkenaan.
(3) Jika seseorang majikan tidak mematuhi mana – mana perintah yang dibuat di bawah subseksyen (1), mahkamah hendaklah, atas permohonan pekerja, mengeluarkan suatu waran untuk melevi harta majikan itu bagi perbezaan dan bayaran lain yang terakru di bawah subseksyen (1) mengikut cara yang berikut:
(a) secara distres dan penjualan harta majikan itu mengikut tatacara yang sama seperti pelaksanaan di bawah Kaedah-Kaedah Mahkamah Rendah 1980 [P.U. (A) 328/80] dan pelaksanaan ini hendaklah terpakai mutatis mutandis walau apa pun amaun dalam perintah itu; atau
(b) mengikut cara yang sama seperti suatu denda sebagaimana yang diperuntukkan di bawah seksyen 283 Kanun Tatacara Jenayah [Akta 593].
Pelbagai jenis hukuman lain yang boleh diberikan terhadap majikan seperti yang termaktub di bawah Seksyen, 45, 46, dan 47 Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 [Akta 732].
Pekerja Boleh Buat Aduan
Pihak majikan perlu memandang serius terhadap pelaksanaan kadar gaji minimum di negara ini. Jika tidak, tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang sedia ada boleh dikenakan terhadap mereka.
Mana-mana pekerja yang merasakan diri mereka teraniaya serta tidak mendapat hak yang sepatutnya selaras dengan pengumuman kadar gaji minimum ini, perlu mendapatkan bantuan daripada mana-mana pihak yang berkaitan dan membuat aduan kepada pihak Jabatan Tenaga Kerja dan Sekretariat Majlis Perundingan Gaji Negara, Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dengan segera.
-- BERNAMA
Prof Madya Dr Muzaffar Syah Mallow, merupakan Pensyarah Fakulti Syariah & Undang – Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)