Menyelesaikan masalah jurang besar di antara jumlah graduan berpendidikan tinggi dengan peluang pekerjaan yang tersedia setanding kelayakan mereka serta kesukaran mencari pekerjaan yang bersesuaian dengan bidang atau kelayakan akademik yang dicapai memerlukan kerjasama rentas kementerian dan industri secara lebih strategik dan efektif.
Isu Kebolehpasaran Graduan
Isu kebolehpasaran graduan khususnya membabitkan jawatan berkemahiran tinggi bukan perkara baharu namun boleh ditangani jika semua pemain utama dapat duduk satu meja dan membuat tindakan penyelarasan yang sewajarnya. Dalam konteks ini, kita menyambut baik inisiatif Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang akan melaksanakan pendekatan baharu untuk menangani masalah tahap guna tenaga tidak penuh serta kebolehpasaran graduan dengan cara menjalinkan kerjasama merentasi pelbagai kementerian, terutamanya Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dan Kementerian Ekonomi.
Sudah tiba masanya untuk kita melaksanakan inisiatif bersepadu agar pada akhirnya graduan, industri dan negara mendapat manfaat sepenuhnya. Dalam hal ini penglibatan industri sebagai rakan strategik juga sangat perlu supaya agensi kerajaan boleh memperolehi maklum balas langsung apa diperlukan oleh pasaran kerjaya semasa. Ini juga akan menutup persepsi institusi pendidikan tidak mengeluarkan graduan yang diperlukan oleh industri.
Kerjasama Kemententerian, IPT dan Industri
Hakikatnya pihak kementerian, institusi pendidikan tinggi (IPT) dan industri masing-masing mempunyai peranan dalam menangani isu nasional ini. Misalnya, pihak kementerian berkaitan boleh menyediakan data dan perangkaan termasuk unjuran keperluan guna tenaga mengambil kira fokus ekonomi masa depan negara. Ini akan membantu pihak IPT lebih fokus dalam bidang diperlukan sekali gus dapat menyediakan guna tenaga yang sesuai dan berkelayakan.
Selain itu, pihak kementerian berkaitan juga perlu bekerjasama rapat dengan pihak industri untuk menyediakan peluang pekerjaan yang sepadan dengan kelayakan graduan termasuk menawarkan gaji yang setimpal. Misalnya, Kementerian Ekonomi dan KESUMA diharap dapat terus menyemarakkan sesi libat urus dengan pihak industri untuk meyakinkan mereka menyediakan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dengan kadar gaji yang sepadan.
Ini disokong pula dengan peranan IPT yang sedang giat memperkasakan peranan melatih dan menyediakan guna tenaga mengikut bidang kepakaran masing-masing. Dalam konteks ini setiap IPT wajar proaktif dan menilai tahap kompetitif dan kerelevanan setiap program yang sedang ditawarkan, adakah memenuhi keperluan industri, ekonomi dan pasaran kerja semasa serta masa hadapan.
Semak Semula Kandungan Program
Secara prinsipnya program sedia ada wajar disemak semula dari segi kandungan silibus serta permintaan di pasaran kerja, manakala cadangan program baharu pula perlu dibuat analisis keperluan dan daya saing sewajarnya sebelum ditawarkan agar benar-benar memenuhi keperluan industri. Tindakan drastik seperti menjumudkan program yang tidak mendapat sambutan serta kurang relevan di pasaran dan digantikan dengan program baharu yang lebih sesuai wajar dilaksanakan segera.
Ironinya pihak IPT boleh melaksanakan pelbagai pendekatan baharu melalui jalinan kerjasama strategik dengan rakan industri yang relevan dengan bidang atau program pengajian yang ditawarkan. Buka seluas-luasnya ruang untuk rakan industri memberi maklum balas terhadap kandungan silibus serta program pengajian yang ditawarkan kerana mereka lebih arif dan tahu apa yang diperlukan dalam dunia pekerjaan yang sebenar.
Selain itu, perlaksanaan latihan industri juga perlu diteliti dan disemak terutamanya dari segi tempoh masa dan lokasi latihan yang dipilih oleh pelajar. Latihan industri adalah platform penting yang akan mendedahkan pelajar kepada alam pekerjaan sebenar justeru ianya perlu dilaksanakan secara berstruktur, maka sudah ada keperluan untuk meneliti soal tempoh masa latihan yang sedang diamalkan sekarang sama ada cukup dan memadai untuk memberikan pengalaman yang diperlukan bakal graduan.
Malah lokasi latihan yang dipilih oleh pelajar juga wajar diteliti bagi memastikan mereka seboleh-bolehnya menjalani latihan di industri yang sesuai dengan bidang pengajian mereka agar dapat mengaplikasikan apa yang dipelajari selama ini. Kita tidak mahu pelajar memilih mana-mana industri atau organisasi secara sembrono sekadar untuk memenuhi keperluan kursus atau kredit untuk menamatkan pengajian semata-mata.
Maka dalam hal ini, kita menyokong penuh inisiatif KESUMA yang memperkenalkan Insentif Latihan Amali (ILHAM) KESUMA khususnya Program Latihan Industri Berstruktur Nasional (MySIP) bagi membantu bakat baharu dan merancakkan sektor pekerjaan negara.
MySIP oleh Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) dilaporkan akan memberi potongan cukai berganda kepada majikan yang memberi penempatan latihan industri kepada pelajar dan memberi latihan secara berstruktur mengikut keperluan dunia pekerjaan sebenar.
Diharap MySIP bertindak sebagai satu galakan kepada para majikan untuk melihat latihan industri secara serius, selain menyediakan rangka kerja serta latihan industri yang berstruktur.
Pihak industri yang bakal menerima guna tenaga dari IPT juga wajar bertindak proaktif dengan melibatkan diri secara serius untuk membantu kementerian dan IPT dalam mengeluarkan guna tenaga yang relevan dan berkemahiran tinggi selain menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan dengan kadar gaji yang sepadan dengan kelayakan graduan.
Kita tidak mahu pihak industri hanya tahu menuding jari kepada kerajaan atau IPT kononnya gagal menyediakan guna tenaga yang diperlukan, sebaliknya perlu memikul tanggungjawab untuk sama-sama membantu melahirkan graduan yang cemerlang dan memenuhi kriteria ditetapkan majikan.
Guna Tenaga
Hakikatnya, data terkini pada suku ketiga 2024 menunjukkan 1.95 juta graduan berpendidikan tinggi kerja tidak setara kelayakan dan senario guna tenaga tidak penuh ini merugikan negara justeru perlu ditangani dengan segera. Guna tenaga tidak penuh adalah keadaan di mana individu yang mempunyai kelayakan pendidikan selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) seperti diploma dan ijazah sarjana muda, tidak bekerja sebagai buruh mahir, sebaliknya mereka bekerja sebagai buruh separuh mahir atau tidak mahir.
Tuntasnya, masalah guna tenaga, keperluan melahirkan graduan berkemahiran tinggi, menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan dengan kadar gaji yang sepadan dengan kelayakan graduan serta masalah kebolehpasaran graduan tidak boleh diselesaikan secara silo oleh satu atau dua agensi sebaliknya memerlukan jalinan kerjasama strategik merentasi kementerian, agensi dan pemain utama industri negara.
-- BERNAMA
Noor Mohamad Shakil Hameed ialah Timbalan Pendaftar Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia (UPM)