TINTA MINDA

RISIKO SHARENTING DALAM DUNIA DIGITAL DAN KESANNYA KEPADA ANAK

12/02/2025 10:45 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Dr Syafila Kamarudin

Di era digital yang berkembang pesat ini, ibu bapa kini lebih mudah berkongsi momen-momen istimewa kehidupan anak-anak mereka di media sosial seperti Instagram, Facebook, Tiktok, dan lain-lain. Fenomena ini dikenali sebagai “sharenting”, gabungan antara perkataan “share” (kongsi) dan “parenting” (keibubapaan). Sharenting adalah satu amalan di mana ibu bapa berkongsi gambar, video, atau cerita mengenai anak-anak mereka di platform digital untuk tatapan umum. Walaupun niat asalnya adalah untuk berkongsi kebahagiaan, ia membawa pelbagai risiko yang perlu diberi perhatian serius oleh ibu bapa.

Ancaman Terhadap Privasi Anak-anak

Salah satu risiko yang paling ketara dalam sharenting adalah ancaman terhadap privasi anak-anak. Ketika ibu bapa berkongsi gambar atau maklumat peribadi anak tanpa persetujuan atau pemahaman mereka, ia boleh memberi kesan jangka panjang yang tidak dapat diramalkan. Setiap perkongsian di media sosial berpotensi untuk disalahgunakan, terutamanya apabila data tersebut jatuh ke tangan pihak yang tidak bertanggungjawab. Dunia maya adalah tempat yang terdedah dengan pelbagai ancaman seperti kecurian identiti, buli siber, atau eksploitasi seksual. Anak-anak yang gambarnya sering dimuat naik oleh ibu bapa mereka berisiko menjadi sasaran eksploitasi digital atau jenayah dalam talian. Sebagai contoh, gambar yang sering dikongsi oleh ibu bapa boleh digunakan oleh individu tidak bertanggungjawab untuk tujuan yang tidak baik, seperti penipuan, pemerasan, atau perisian yang merosakkan.

Di samping itu, berkongsi kehidupan anak-anak secara terbuka di media sosial boleh memberi kesan kepada harga diri dan perasaan privasi mereka. Seiring dengan pertumbuhan anak-anak, mereka akan semakin sedar tentang identiti mereka dan bagaimana kehidupan mereka dipaparkan di hadapan umum. Remaja yang dulunya tidak memahami kesan perkongsian ini mungkin mula merasa tidak selesa apabila kehidupan peribadi mereka menjadi perhatian orang ramai terutamanya apabila mereka mencapai usia yang lebih matang. Mereka mungkin merasa bahawa ruang peribadi mereka telah diambil tanpa izin, yang boleh menjejaskan hubungan mereka dengan ibu bapa serta memberikan kesan negatif kepada psikologi mereka.

Ketergantungan Terhadap Pengiktirafan Sosial

Selain daripada kesan terhadap privasi, sharenting juga dapat membentuk ketergantungan terhadap pengiktirafan sosial. Ibu bapa yang kerap berkongsi gambar atau cerita anak-anak mereka di media sosial mungkin merasa dihargai melalui pujian dan perhatian yang diterima daripada ahli keluarga, rakan-rakan, atau pengikut dalam talian. Pujian ini boleh memberi rasa kepuasan sementara, tetapi ia juga boleh mencipta satu lingkaran di mana ibu bapa merasa tertekan untuk terus memuat naik kandungan yang menarik atau menghiburkan bagi memastikan perhatian tersebut berterusan.

Dalam keadaan ini, ibu bapa mungkin mula mempersembahkan kehidupan keluarga mereka dengan cara yang lebih ideal atau sempurna di media sosial. Mereka mungkin memilih untuk menyembunyikan aspek kehidupan yang lebih peribadi atau tidak sempurna. Hal ini boleh mengubah cara mereka berinteraksi dengan anak-anak, di mana interaksi menjadi lebih berpandukan kepada penilaian orang luar berbanding dengan ikatan kekeluargaan yang sebenar. Anak-anak mungkin merasa bahawa kehidupan mereka tidak lagi menjadi milik mereka sendiri dan mereka boleh menjadi objek yang digunakan untuk mendapatkan perhatian dari dunia luar. Dalam jangka panjang, ini boleh menjejaskan hubungan ibu bapa dan anak, kerana anak-anak mungkin merasa tidak dihargai sebagai individu yang berhak menentukan batasan mereka sendiri.

Tanggungjawab Ibu Bapa dalam Dunia Digital

Fenomena sharenting bukan sahaja memberi kesan kepada anak-anak tetapi juga kepada ibu bapa. Dalam Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) yang berlangsung baru-baru ini, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menekankan risiko yang semakin membimbangkan ini, di mana ibu bapa tanpa sedar mendedahkan anak-anak mereka kepada bahaya dalam talian dengan berkongsi maklumat peribadi mereka. Ini menunjukkan betapa pentingnya ibu bapa perlu lebih berhati-hati dalam menguruskan maklumat anak-anak di dunia digital. Amalan sharenting ini boleh mencetuskan kebimbangan mengenai pelanggaran hak privasi anak-anak yang dilindungi oleh undang-undang seperti Akta Kanak-Kanak 2001. Akta ini mengutamakan perlindungan terhadap keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak serta memastikan hak mereka untuk hidup dalam persekitaran yang selamat dan terpelihara.

Pengerusi CMCF Rafiq Razali turut mengingatkan bahawa ibu bapa mempunyai tanggungjawab penting untuk memastikan hak anak-anak terutama berkaitan dengan maruah dan keselamatan mereka tidak terjejas dalam dunia digital. Sebagai penjaga yang bertanggungjawab, ibu bapa perlu mengawasi penggunaan media sosial anak-anak dan memastikan bahawa mereka dilindungi daripada pendedahan yang tidak diingini.

Langkah Perlindungan

Untuk melindungi anak-anak daripada risiko digital ini, ibu bapa boleh mengambil beberapa langkah perlindungan yang bijak dan praktikal. Salah satunya adalah dengan menggunakan tetapan privasi yang sesuai di media sosial. Ibu bapa harus memastikan bahawa gambar dan video anak-anak hanya boleh dilihat oleh individu yang dikenali dan dipercayai. Menggunakan ciri privasi di platform media sosial boleh membantu mengurangkan risiko penyalahgunaan data peribadi dan melindungi anak-anak daripada ancaman luar yang tidak diingini.

Selain itu, adalah penting bagi ibu bapa untuk berbincang dengan anak-anak mereka mengenai apa yang mereka selesa dan tidak selesa untuk dikongsikan di internet. Melibatkan anak-anak dalam keputusan ini memberi mereka rasa kawalan terhadap imej digital mereka, yang sekaligus membantu membentuk persepsi positif terhadap privasi mereka. Apabila anak-anak sudah cukup dewasa, perbincangan terbuka mengenai batasan perkongsian maklumat boleh membantu ibu bapa memahami perasaan mereka dan memastikan bahawa setiap perkongsian dilakukan dengan persetujuan bersama.

Ibu bapa juga boleh memilih untuk menyimpan kenangan keluarga secara lebih peribadi, seperti dalam album keluarga yang hanya boleh diakses oleh orang terdekat. Ini adalah cara yang lebih selamat dan bertanggungjawab untuk menyimpan momen-momen berharga tanpa pendedahan kepada dunia luar. Dengan mengurangkan pendedahan anak-anak kepada umum, ibu bapa dapat memastikan bahawa privasi anak-anak mereka tetap terjaga.

Mengimbangi Kehidupan Digital dan Kehidupan Nyata

Dalam dunia digital yang semakin terbuka hari ini, ibu bapa perlu lebih bijak dalam membuat keputusan tentang perkongsian foto dan maklumat mengenai anak-anak mereka. Setiap gambar atau cerita yang dimuat naik ke media sosial bukan sahaja menceritakan kisah kehidupan keluarga, tetapi juga membuka ruang untuk orang ramai mengakses maklumat peribadi yang mungkin tidak diinginkan. Oleh itu, sebelum memuat naik sebarang kandungan, ibu bapa perlu berfikir dua kali tentang kesan jangka panjang yang boleh berlaku, terutama apabila anak-anak mereka semakin dewasa dan mula memahami impak perkongsian tersebut.

Ibu bapa perlu mempertimbangkan bagaimana perasaan anak-anak apabila mereka mengetahui bahawa kehidupan mereka telah dipaparkan secara terbuka tanpa persetujuan mereka. Sebagai ibu bapa, adalah menjadi tanggungjawab mereka untuk memastikan bahawa keputusan ini tidak memberi kesan negatif kepada anak-anak pada masa hadapan. Hal ini amat penting apabila anak-anak mula memahami bahawa perkongsian yang dilakukan semasa mereka kecil boleh mempengaruhi cara orang lain melihat mereka pada masa akan datang.

Secara keseluruhannya, sharenting sememangnya boleh menjadi satu cara yang indah untuk ibu bapa berkongsi kegembiraan dan kebahagiaan mereka dengan kenalan atau pengikut di alam maya. Namun, harus diingat setiap perkongsian dalam talian mungkin membawa kesan jangka panjang yang tidak dapat diramalkan. Dunia digital yang semakin berkembang menawarkan kemudahan tetapi juga membawa pelbagai cabaran, terutama dalam aspek keselamatan dan privasi. Oleh itu, ibu bapa seharusnya berhati-hati dalam membuat keputusan mengenai apa yang perlu dikongsi dan dengan siapa ia dikongsi.

Setiap gambar, cerita, atau maklumat yang dimuat naik dalam media sosial berpotensi memberi kesan terhadap masa depan anak-anak. Ibu bapa mempunyai tanggungjawab besar untuk melindungi hak dan keselamatan anak-anak terutamanya dalam talian. Dengan pendekatan yang lebih bijak dan berhati-hati, ibu bapa dapat memastikan anak-anak dapat membesar dalam persekitaran digital yang selamat, terlindung daripada risiko yang tidak diingini, dan dapat menikmati keseimbangan antara berkongsi momen indah dengan menjaga privasi peribadi mereka. Langkah-langkah perlindungan yang sewajarnya akan memastikan bahawa anak-anak dibesarkan dalam dunia digital yang penuh dengan tanggungjawab dan perlindungan.

-- BERNAMA

Dr Syafila Kamarudin ialah Ketua Laboratori Generasi Siber, Institut Pengajian Sains Sosial, Universiti Putra Malaysia

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)