NOTA KAMPUS

UPM LAHIRKAN PENDIDIK BERKEMAHIRAN KARAMAH INSANIAH

14/02/2025 10:28 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Prof Madya Dr Nor Aniza Ahmad

Ketika melangkah masuk ke Auditorium Utama, Fakulti Pengajian Pendidikan (FPP), Universiti Putra Malaysia (UPM) bagi menghadiri majlis perasmian sambutan jubli emas baru-baru ini, satu persoalan bermain dalam fikiran.

Penulis memikirkan bagaimana sambutan untuk 100 tahun akan datang, dan mampukah FPP kekal relevan dengan cabaran dunia pendidikan yang sentiasa berubah?

Institusi Pendidikan Guru di Malaysia

Penulis mengimbau sejarah dan perkembangan institusi pendidikan guru di negara ini yang bermula dengan penubuhan The Malay High School, Singapura pada 1878. Kemudian, pada 1922 Maktab Perguruan Sultan Idris di Tanjung Malim ditubuhkan bertujuan melatih guru-guru sekolah Melayu. Kini, maktab berkenaan dikenali sebagai Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Tiga belas tahun kemudian, pemerintah menubuhkan Maktab Perguruan Perempuan Durian Daun, Melaka bagi melatih guru-guru perempuan terutama dalam bidang Sains Rumah Tangga. Sejak 2008 maktab tersebut dinaik taraf kepada Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM), Kampus Perempuan Melayu, Melaka.

Fakulti Pengajian Pendidikan, UPM ditubuhkan pada 1975 sebagai sebuah institusi pendidikan untuk melatih bakal-bakal guru di negara ini. Pada awal penubuhannya, FPP dikenali sebagai Fakulti Perkhidmatan Pendidikan selaras dengan fungsi utama fakulti pada ketika itu. FPP menawarkan kursus kepada penuntut yang mengikuti program pengajian Diploma Sains dengan Pendidikan dan Bacelor Sains dengan Pendidikan (Kepujian) dengan kerjasama Fakulti Sains.

Fakulti tersebut menawarkan kursus elektif dan umum yang diambil oleh penuntut daripada pelbagai fakulti pada ketika itu. Sejak penubuhannya, FPP menjadi pusat kecemerlangan akademik yang melahirkan ribuan pendidik, penyelidik, dan pemimpin dalam pelbagai bidang pendidikan di negara ini dan antarabangsa.

Mengimbau Perjalanan 50 Tahun FPP

Sambutan Jubli Emas FPP tahun ini menandakan perjuangan 50 tahun dalam pendidikan guru, penyelidikan, dan pembangunan modal insan. Bermula sebagai sebuah fakulti kecil, kini ia berkembang menjadi satu fakulti pendidikan terkemuka bukan sahaja di Malaysia malah menjadi pilihan para penuntut antarabangsa.

Melalui penawaran pelbagai program pendidikan di peringkat sarjana muda, sarjana, dan kedoktoran, fakulti ini melahirkan graduan berkualiti tinggi yang memberi impak besar kepada dunia pendidikan.

Sepanjang lima dekad, fakulti telah melalui pelbagai cabaran dan transisi khususnya dalam bidang pendidikan. Dari tahun ke tahun, penulis melihat perubahan yang berlaku di FPP, dari persekitaran hingga ke bilik darjah berteknologi, smartclassroom, pendekatan pengajaran di bilik darjah abad ke-21 yang semakin berkembang sehinggalah kepada perkembangan dan pembangunan kurikulum yang bersesuaian dengan aliran pendidikan semasa.

Namun demikian, untuk kelestarian pendidikan yang sentiasa relevan dengan tuntutan perkembangan dunia pendidikan yang pantas, satu perkara yang akan kekal adalah pembentukan dan pembinaan karekter pendidik berkemahiran karamah insaniah telah bermula di FPP.

Naib Canselor UPM, Profesor Datuk Dr Ahmad Farhan Sadullah, dalam ucapan perasmian sambutan 50 tahun serentak dengan peluncuran buku Agenda Keterjaminan Makanan dan Pertanian untuk Rakyat Menerusi Aktiviti Kokurikulum Sekolah, Skuad dan Kelab Putra FPP dengan kerjasama industri, berbangga dengan komitmen ahli fakulti dalam menyokong visi dan misi untuk melagang pendidikan ke persada antarabangsa.

FPP terus memperkukuh reputasi dengan menyesuaikan diri dalam dunia pendidikan yang sentiasa berubah. Pengenalan teknologi dalam pengajaran, penyelidikan yang inovatif, dan kerjasama dengan institusi tempatan serta antarabangsa telah menjadikannya relevan dan terus berdaya saing dalam disiplin pendidikan.

Antara pencapaian membanggakan FPP termasuk:

  • Memperoleh persijilan akreditasi dan pengiktirafan antarabangsa bagi program akademiknya. Kini ada enam program pendidikan di peringkat bacelor manakala terdapat 11 program master pendidikan secara kerja kursus, 17 program master sains dan ijazah doktor falsafah secara penyelidikan yang ditawarkan.
  • FPP pernah diiktiraf sebagai fakulti universiti awam pertama di Asia yang menerima akreditasi daripada Teacher Education Accreditation Council (TEAC), Washington DC, USA.
  • Penyelidikan translational dan inovatif dalam bidang pendidikan dan pembangunan sumber manusia.
  • Jaringan kerjasama komuniti dan industri di peringkat lokal dan global termasuk hubungan dengan universiti dan organisasi luar negara.
  • Graduan berkualiti tinggi yang menjadi pemimpin dalam sektor pendidikan dan latihan di seluruh negara dan antarabangsa.

Meraikan Masa Lalu, Mengorak Masa Depan

Sambutan Jubli Emas ini bukan sekadar meraikan kejayaan lalu, tetapi lebih penting membuka lembaran baharu ke arah masa depan yang lebih gemilang. Dengan slogan “Leading in Educational Studies,” fakulti ini berazam untuk terus memainkan peranan utama dalam membentuk generasi pendidik yang kompeten, inovatif, dan bersedia menghadapi cabaran abad ini.

FPP perlu berusaha lebih gigih dalam memacu kegemilangan dan kecemerlangan agar sentiasa terkehadapan dalam era perkembangan pendidikan yang bergerak pantas ini seiring dengan slogannya.

Fakulti harus bergerak merintis pendidikan masa hadapan dengan menerajui perkembangan teknologi, penggunaan kecerdasan buatan (AI), penggunaan realiti maya (VR) dalam pendidikan, data driven, data analitik dengan pendekatan pembelajaran terkini dalam konteks bilik darjah abad ke-21 dan bukan sekadar mengikut arus perubahan semasa.

Ahli akademik juga perlu menjadikan fakulti sebagai hub penyelidikan yang bukan sahaja menghasilkan jurnal penerbitan yang bermutu tinggi tetapi menghasilkan penyelidikan translational dalam membantu pembentukan dasar pendidikan negara.

Pembelajaran sepanjang hayat turut menjadi wadah untuk membantu menyemarakkan perkembangan ilmu dalam komuniti pembelajar. Kaedah pembelajaran hybrid dan fleksibel merupakan platform terbaik untuk memberi peluang kepada golongan pendidik, ahli profesional dan masyarakat mengoptimumkan kemahiran dan pengetahuan menerusi pembelajaran sepanjang hayat.

Prasarana dan fasiliti seharusnya terkehadapan melalui smartclassroom dan kemudahan bilik darjah yang lengkap dapat membantu penyampaian kurikulum yang lebih efektif dan dapat menyokong kelangsungan dan kelestarian pendidikan guru di Malaysia.

FPP bersama-sama menyokong kerangka strategik UPM dalam mencapai visi dan misinya, dan kedudukan strategik (the true north) untuk terus berkembang maju. Semua inisiatif perlu berasaskan hasil, nilai yang dipacu secara inklusif menerusi enam teras utama dan lima aspirasi utama universiti untuk mendukung keseimbangan serta selari dengan motonya, “Berilmu Berbakti”.

Alumni

Sehingga kini, FPP telah melahirkan lebih 25,000 graduan iaitu lebih 11,000 di peringkat ijazah pertama dan lebih 14,000 di peringkat pascasiswazah, yang terdiri graduan tempatan dan luar negara. Kini, mereka kembali berkhidmat menyumbang kepakaran dan ilmu di pelbagai institusi dalam dan luar negara.

Dengan bilangan alumni yang ramai ini, FPP telah diiktiraf di kedudukan 250 terbaik di peringkat global dalam bidang pendidikan dan melonjakkan pencapaian UPM ke tangga 100-150 terbaik dalam QS World Ranking University, tahun ini.

Seusai majlis, penulis melangkah keluar dengan hati penuh harapan. Tahun ini fakulti menyambut ulang tahun yang ke-50 namun, penulis percaya 100 tahun yang akan datang FPP dan UPM khususnya akan terus melakar kecemerlangan dalam memberi pendidikan kepada bakal guru yang akan mendidik anak bangsa berbekalkan kemahiran karamah insaniah untuk berkhidmat di segenap pelosok dunia. Semoga terus maju dan menjadi peneraju dalam bidang pendidikan di peringkat nasional dan global.

-- BERNAMA

Prof Madya Dr Nor Aniza Ahmad ialah Timbalan Dekan (Pengajian Siswazah dan Antarabangsa) di Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang. Kepakaran beliau adalah dalam bidang Psikologi Pendidikan

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)