TINTA MINDA

ERA BAHARU HUBUNGAN TURKIYE - MALAYSIA

17/02/2025 11:00 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Profesor Datuk Seri Dr Noor Azuan Abu Osman

Lawatan Negara Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan ke Malaysia memperkukuh perkongsian erat antara kedua-dua negara, yang berakar umbi dalam persahabatan sejarah, kepercayaan, dan hubungan erat di peringkat tertinggi dalam mencerminkan keutuhan pertalian dalam memacu era kerjasama baharu. Ia turut menjadi wadah dalam memperkukuh hubungan rakyat antara kedua-dua negara dalam menghadapi cabaran bersama masa depan.

Pertalian ini saling melengkapi, mencakupi visi dan aspirasi bersama antara Malaysia dan Turkiye yang menandakan era baharu dalam hubungan strategik yang bukan sahaja terhad kepada hubungan diplomatik rasmi tetapi turut melangkaui spektrum konvensional.

Ia berkembang menjadi penanda aras baharu di mana hubungan budaya, teknologi, modal insan dan sistem industri baharu saling berkait menjadi teras daya tahan masa depan, yang berfungsi sebagai mercu tanda kestabilan kepada rantau ini dan dunia.

Kedua-dua negara berkongsi aspirasi yang sama dalam memikul tanggungjawab serantau dan global untuk mengekalkan kestabilan dan keamanan serta menegakkan prinsip keadilan, pembangunan saksama dan kemakmuran sejagat. Kedua-duanya mempunyai hubungan diplomatik, ekonomi, dan budaya yang kukuh, merentasi pelbagai sektor kritikal yang menjamin pulangan berangkai kepada rakyat dan juga masa depan kedua-dua negara.

Lawatan rasmi ini menjadi simbol baharu pertalian strategik dalam arena konvensional dan juga industri berlandaskan masa depan dalam perdagangan, pertahanan, teknologi kritikal baharu serta kepimpinan dan diplomasi global.

Di bawah kepimpinan berwawasan tinggi oleh Presiden Erdogan, Turkiye terus mengukuhkan statusnya sebagai kuasa global yang kian dikenali sebagai penstabil dan penyeimbang kuasa dalam menguruskan konflik dan menegakkan keamanan, sekali gus memperluaskan peranan serta pengaruhnya dalam dunia Islam dan arena geopolitik yang lebih luas.

Turkiye dan Malaysia sebagai Pemacu Keadilan Global

Kedua-dua negara adalah pendukung kepada masyarakat global yang aman dan harmoni serta komited dalam memperjuangkan hak dan keadilan bagi golongan yang kurang bernasib baik dan yang tertindas, termasuk dalam menyokong perjuangan rakyat Palestin dan nilai dan etika kemanusiaan yang lain.

Keupayaan kerjasama pelbagai dimensi juga diperkasa di bawah payung Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), dengan Turkiye memainkan peranan pelengkap serta memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai middle power yang semakin berpengaruh dalam bidang ekonomi, keselamatan tenaga dan rantaian bekalan dan teknologi digital serta kepimpinan suara Global South.

Hubungan diplomatik semakin diperkukuh di bawah kepimpinan Erdogan dan Anwar, dengan lawatan dua hala yang mencipta momentum dan gerak kerja bersepadu dalam sinergi dan sepakat yang seiring untuk menekankan kepentingan strategik kebergantungan masa depan. Lawatan Anwar ke Turkiye pada tahun 2023 telah meletakkan asas bagi lonjakan perkongsian yang lebih mendalam dalam aspek ekonomi, pertahanan, kemanusiaan dan komitmen global.

Ini telah membentuk rangka kerja baharu untuk pengukuhan hubungan merentas pelbagai bidang, menjadikan Malaysia sebagai rakan utama bagi Turkiye dalam aspek ekonomi, rantaian bekalan, keselamatan tenaga serta daya tahan keselamatan makanan.

Pelbagai aspek strategik masa depan juga dapat dibentuk melalui perjanjian dan perkongsian yang telah dimeterai semasa lawatan Presiden Erdogan ke Malaysia. Bagi menstrukturkan penyelarasan dasar luar dan pemantauan pelaksanaan projek-projek yang dirancang, institusi dan mekanisme peringkat tertinggi yang dipantau oleh Anwar dan Erdogan sendiri menjadi langkah strategik tertinggi dalam memastikan keberkesanan operasi dan pelaksanaan kerjasama di semua peringkat dan menyelesaikan sebarang cabaran yang timbul untuk memastikan pertalian terus terpelihara.

Perkembangan Hubungan Dagangan

Turkiye dan Malaysia telah meningkatkan hubungan perdagangan, sejajar dengan matlamat peluasan ekonomi berdasarkan konsep “economic friendshoring and positive interdependence.”

Pada tahun 2023, perdagangan dua hala melebihi USD 4 bilion, dengan Malaysia menyokong pertumbuhan ekonomi baharu Turkiye melalui eksport minyak sawit, produk elektronik, LNG, dan getah. Sementara itu, Turkiye membekalkan jentera, besi, keluli, serta peralatan pertahanan kepada Malaysia.

Kedua-dua negara saling melengkapi dan menyokong keperluan strategik masing-masing dengan peningkatan pergantungan bersama dalam sektor-sektor kritikal masa depan. Ini termasuk pembangunan bersama dalam industri semikonduktor, pertahanan, ekonomi hijau dan digital, ekonomi biru, peralihan tenaga baharu, daya tahan rantaian bekalan, mineral kritikal, serta pembangunan modal insan dalam pertukaran pengetahuan dan kepakaran penyelidikan.

Dalam aspek ini, Universiti Malaya memainkan peranan utama dalam lembaran baharu bidang-bidang kritikal dan strategik ini bukan sahaja untuk Malaysia tetapi juga untuk impak terhadap dunia secara lebih luas. Dengan pengukuhan perkongsian antara Turkiye dan Malaysia, Universiti Malaya bersedia untuk memimpin dalam sektor-sektor baharu pembangunan dan kerjasama ini, selaras dengan bidang keutamaan baharu termasuk pemerkasaan ilmu saintifik dan kemanusiaan yang memberi impak besar kepada tamadun kemanusiaan.

Penganugerahan Ijazah Kehormat dalam Hubungan Antarabangsa kepada Presiden Erdogan oleh Universiti Malaya dalam Majlis Konvokesyen Khas bersempena dengan lawatan beliau adalah bukti penghormatan dan pengiktirafan terhadap sumbangan serta legasi beliau dalam bidang ini serta dalam menyumbang kepada keamanan dan diplomasi serantau serta global.

Bidang pemupukan bakat, kemajuan penyelidikan bidang kritikal, serta pertukaran modal insan dan pengetahuan kekal sebagai peluang berharga bagi kedua-dua negara dalam semarak inovasi, pengetahuan dan penyelidikan baharu yang selaras dengan peralihan ekonomi dan saintifik dunia.

Oleh itu, peranan yang dimainkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi yang dipimpin oleh Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir adalah amat penting dalam memastikan kemajuan generasi masa depan dalam rencana ini. Hubungan erat yang terjalin antara institusi dan universiti di kedua-dua negara turut didukung oleh pandangan jauh serta visi Menteri Pendidikan Tinggi dalam membina hubungan yang lebih kukuh serta menggalakkan kesalinghubungan dalam bidang pendidikan dan penyelidikan antara kedua-dua negara.

Malaysia sebagai Hab Strategik bagi Turkiye

Malaysia memainkan peranan penting dalam usaha pemodenan baharu Turkiye, bertindak sebagai hab utama bagi kapasiti pembangunan negara itu untuk menembusi pasaran ASEAN. Kuala Lumpur memiliki kelebihan dalam tenaga hijau dan boleh diperbaharui, industri halal, kerjasama pertahanan serta sektor teknologi kritikal baharu, menjadikannya sebagai batu loncatan dan wadah strategik bagi Turkiye dalam usaha untuk memperluas economic and defence friendshoring ke rantau ini.

Di bawah kepimpinan Erdogan, Turkiye telah memperluaskan industrinya dalam bidang pertahanan, yang selari dengan usaha keperluan pertahanan Malaysia dalam menjamin kelestarian cegah rintang terhadap ancaman tradisional dan bukan tradisional akan datang, di sebalik perubahan pantas arena geopolitik dan pentas kuasa dunia. Pemindahan teknologi pertahanan boleh diperluaskan, termasuk kerjasama dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) pertahanan, serta pembangunan bersama teknologi ketenteraan, yang akan memperkukuhkan industri pertahanan Malaysia dan meningkatkan keupayaan bersama di antara kedua-dua negara.

Hab teknologi pertahanan baharu boleh dibangunkan dan usaha bersepadu dalam latihan bersama serta kerjasama pertahanan akan memberi manfaat kepada kedua-dua negara, dengan kelebihan unik masing-masing dalam menyumbang kepada keamanan dan kestabilan global.

Peranan Turkiye dan Malaysia sebagai Pemangkin Kestabilan Global

Turkiye dan Malaysia adalah penghubung geopolitik yang penting, sebagai jambatan antara benua dan penghubung kritikal kepada pasaran baharu serta memacu kebersamaan jalinan dan jaringan kerjasama di antara negara bukan sahaja dalam kerangka dunia Islam dan Global South, tetapi juga dalam lingkungan holisitik sebagai kerangka memastikan keterangkuman dan pemahaman cross cultural unity dan muafakat kemanusiaan global.

Turkiye berfungsi sebagai penghubung dan pelengkap antara Eropah, Timur Tengah dan Asia manakala Malaysia adalah pintu masuk antara dunia Islam dan ASEAN, menghubungkan Timur Tengah dengan Asia Pasifik.

Kedua-duanya berpotensi memperkukuh dialog diplomatik global, mewujudkan kestabilan antara benua dan masyarakat serta memperkukuh gelombang baharu solidariti dan tindakan bersama dalam menangani cabaran global, termasuk pencegahan konflik, bantuan kemanusiaan, cabaran kesihatan, penyakit dan perubahan iklim.

Ketika Erdoğan meneruskan strategi peluasan pengaruh globalnya, Malaysia kekal sebagai rakan penting dalam hasrat untuk memperluaskan pengaruh dan sumbangan Turkiye ke Asia dan ASEAN. Malaysia turut meraih manfaat daripada kekuatan dan kekentalan pertahanan, diplomatik dan ekonomi Turkiye, menjamin masa depan yang lebih kukuh bagi kedua-dua negara.

Dengan kerjasama yang berlunaskan future driven strategic foresight dan dasar saling kepercayaan yang tinggi, Malaysia dan Turkiye mewarisi sejarah dan aspirasi bersama dalam mengubah dunia ke arah yang lebih baik, mencipta masa depan yang lebih cerah untuk generasi akan datang.

Lawatan Presiden Erdogan menjadi simbol era baharu hubungan yang terjalin, mencipta rencana dan batu loncatan ke arah merangka semula dinamik kuasa global yang memberi manfaat kepada kedua-dua negara, memastikan kestabilan dan kemakmuran bagi rantau mereka dan dunia secara lebih luas. Universiti Malaya berbangga dapat menyumbang kepada aspirasi murni ini dan akan terus memimpin usaha memperkukuh kesejahteraan bersama serta hubungan erat antara kedua-dua negara untuk dekad dan abad akan datang.

-- BERNAMA

Profesor Datuk Seri Dr Noor Azuan Abu Osman ialah Naib Canselor Universiti Malaya dan Felo, Akademi Sains Malaysia

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)