Alhamdulillah, Ramadan kembali menyapa kita. Sebagai hamba Allah SWT, kita seharusnya bersyukur di atas kesempatan ini kerana tidak semua berpeluang lagi untuk dengan bulan penuh berkat ini.
Setiap Muslim yang beriman pasti akan membayangkan suasana menyambut dan menghidupkan Ramadan sejak awal lagi.
Kehidupan seharian mereka berubah seakan-akan memasuki sebuah madrasah rohani, yang mana setiap amalan ibadah dan kebajikan dilakukan dengan penuh keazaman bagi meraih ganjaran pahala yang dijanjikan oleh Allah SWT.
Ramadan bukan sekadar bulan berpuasa, tetapi juga sebuah kesempatan untuk kita memperbaiki diri serta meningkatkan kualiti ibadah dan akhlak.
Inilah bulan yang penuh rahmat dan keberkatan, anugerah daripada Allah SWT kepada seluruh hamba-Nya.
Pada bulan ini, kebaikan dan ketenangan semakin terserlah, bahkan rasa belas kasihan serta kasih sayang semakin bertambah dalam hati setiap Muslim yang beriman.
Dalam menelusuri bulan yang mulia ini, sewajarnya kita menetapkan resolusi untuk meningkatkan mutu ibadah, memperbaiki akhlak, serta mendekatkan diri kepada Allah SWT. Ini kerana, sepanjang tahun, mungkin ada ketika kita lalai dan kurang memberi perhatian kepada amalan kebaikan.
Setiap kali Ramadan menjelang, pelbagai azam sering diungkapkan seperti berpuasa penuh dan khatam al-Quran, malah ada yang bertekad untuk menurunkan berat badan.
Semua ini adalah matlamat yang baik. Namun, kadangkala kita terlepas pandang amalan yang seharusnya menjadi keutamaan sepanjang Ramadan ini.
Memperbaiki solat dan mencari kekhusyukan
Perkara pertama yang akan disoalkan di hadapan Allah SWT adalah solat. Mengambil peluang di bulan rahmat ini, kita tetapkan azam untuk memperbaiki kualiti solat kita.
Solat di awal waktu dan solat berjemaah setiap waktu. Apa yang lebih penting adalah meningkatkan tahap kekhusyukan kita dalam solat. Memahami setiap perkataan yang diucapkan di dalam solat dan juga doa-doa kita. Dengan memahami perkataan yang dibaca akan membantu kita fokus dan khusyuk dalam solat. Allah SWT berfirman:
“Sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan keji dan mungkar.” (Surah Al-Ankabut: 45)
Memperbanyakkan bacaan dan mentadabbur al-Quran
Ramadan adalah bulan al-Quran. Kebiasaannya, kita berlumba-lumba untuk mengkhatamkannya, namun sebenarnya apa yang lebih utama adalah memahami dan mentadabbur ayat-ayatnya.
Banyak kitab tafsir dan terjemahan yang boleh dibaca dan dihayati maknanya. Jadikan aktiviti membaca dan memahami al-Quran sebagai rutin harian bersama keluarga.
Dengani zin Allah, kehidupan kita akan menjadi lebih indah dan berkah dengan al-Quran.
Amalkan budaya membaca al-Quran setiap kali selepas solat walaupun dengan membaca beberapa potong ayat. Mudah-mudahan dengan berkat al-Quran ia akan menjadi syafat bagi kita pada hari Kiamat kelak.
Memperbaiki akhlak dan hubungan sesama manusia
Berpuasa bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi juga menjaga akhlak. Kadang-kala kita berpuasa namun kita tidak menjaga akhlak kita dan tidak menjaga mulut, mata dan telinga kita.
Betapa ruginya kita. Kita perlu cuba untuk mengawal emosi dan menjauhi perbuatan yang dapat mencacatkan puasa kita seperti bergosip, bertengkar dan menyakiti hati orang.
Sebaliknya, perbanyakkan senyuman, memberi salam, dan bersikap pemaaf serta membantu orang lain.
Kita merendahkan diri kita dengan memohon maaf dan melapangkan dada kita dengan memaafkan orang lain sebaik-baiknya sebelum masuknya Ramadan. Inilah sifat-sifat ahli syurga yang disebut oleh Rasulullah SAW:
"Orang yang masuk syurga adalah orang yang bertakwa kepada Allah dan orang yang memiliki akhlak yang mulia.". (Riwayat At-Tirmizi dan Ibnu Majah)
Memperbanyakkan sedekah dan infak
Ramadan adalah bulan yang mana ramai orang berlumba-lumba untuk mengerjakan ibadah terutamanya amalan bersedekah. Orang yang berkemampuan sewajarnya menyantuni fakir miskin, anak-anak yatim dan golongan yang memerlukan.
Ada dalam kalangan mereka yang tiada tempat tinggal dan hidup bergelendangan.
Dengan bersedekah dapat meringankan beban kehidupan mereka. Selain itu, kita digalakkan memberi makan kepada orang yang berpuasa yang mana pahalanya sangat besar. Kita juga mungkin mampu memberi sumbangan kepada masjid-masjid dan pusat tahfiz.
Yakinlah bahawa apa yang kita infakkan adalah pelaburan kita di akhirat nanti. Nabi SAW bersabda: “Sebaik-baik sedekah adalah sedekah pada bulan Ramadan”. (Riwayat Tirmizi).
Selain itu, sedekah juga dapat menghapuskan dosa seperti air yang memadamkan api. Justeru kita azamkan tahun ini untuk bersedekah setiap hari.
Melaksanakan Qiyamullail
Qiyamullail, termasuk solat tahajud dan witir, adalah amalan yang sangat dianjurkan terutama dalam bulan Ramadan.
Kita mungkin kurang kesempatan pada bulan-bulan yang lain untuk menghidupkan amalan ini.
Dengan berkat kedatangan Ramadan kali ini, kita cuba untuk memulakannya kerana ganjaran pahalanya amatlah besar.
Kita sudah pasti akan bangan untuk bersahur. Gunakan waktu sahur untuk bangun lebih awal bagi menunaikan solat malam sebelum bersahur.
Inilah waktu yang mustajab untuk berdoa dan memohon keampunan daripada Allah SWT.
Dua rakaat solat tahajud sudah memadai sebagai permulaan sebelum kita bersahur. Bukanlah bangun semata-mata untuk makan sahur. Alangkah ruginya kita. Firman Allah SWT:
"Dan pada waktu sahur, mereka selalu beristighfar (memohon keampunan kepada Allah”. (Surah Az-Zariyat: 18)
Menjaga lidah dan mata
Menjaga lidah dan mata adalah sangat mencabar pada zaman ini. Kita mungkin terlihat tanpa sengaja perkara-perkara yang tidak elok.
Elaklah daripada membuat perbuatan sia-sia seperti menonton hiburan yang melalaikan dan gunakan masa untuk berzikir dan menelaah buku ilmiah.
Kita mesti menggunakan media sosial dengan lebih berhikmah agar pahala puasa tidak berkurangan.
Jagalah lidah kita daripada berkata perkara sia-sia. Berkata baik atau diam adalah lebih baik. Sabda Nabi SAW:
"Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik atau diam." (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Memperbanyakkan doa dan muhasabah diri
Inilah waktunya untuk kita memperbanyakkan doa sepanjang bulan Ramadan siang dan malam.
Kita bermuhasabah diri kita yang hina dan penuh dengan dosa. Kita memohon ampun atas dosa-dosa yang lalu dan berazam untuk menjadi hamba yang lebih baik.
Apa yang penting juga adalah berdoa agar Allah menerima ibadah sepanjang Ramadan. Jangan abaikan peluang 10 malam terakhir untuk mencari Lailatul Qadar. Semoga Allah ampunkan segala dosa kita.
Kesimpulannya Ramadan adalah peluang untuk memperbaiki diri dan meningkatkan ibadah.
Dengan menetapkan resolusi seperti menjaga solat, membaca al-Quran, memperbaiki akhlak, dan bersedekah, kita dapat menjadikannya lebih bermakna.
Setiap usaha kecil yang dilakukan dengan ikhlas akan membawa perubahan positif dalam kehidupan.
Ramadan bukan sekadar bulan ibadah, tetapi madrasah rohani yang membentuk hati dan jiwa agar lebih dekat kepada Allah. Semoga amalan kita diterima, diberikan keberkatan, dan menjadi bekal untuk kehidupan yang lebih baik selepas Ramadan. Amin.
--BERNAMA
Abdul Hadi Abd Aziz ialah Penyelidik Utama dan Guru Bahasa Jabatan Bahasa Antarabangsa, Pusat Pengajian Bahasa, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)