TINTA MINDA

Tangani Masalah Obesiti Dengan Gaya Hidup Sihat Demi Kelestarian Masyarakat

05/06/2025 12:33 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh Norazlinda Hj Mohammad

Permasalahan berat badan yang berlebihan atau obesiti bukanlah sesuatu fenomena yang baru di dengar di dalam kamus kehidupan rakyat Malaysia.

Senario tidak sihat ini semakin menular dan meningkat dari tahun ke tahun dan ini sangat membimbangkan masyarakat.

Laporan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023 daripada Kementerian Kesihatan (KKM) menunjukkan sebanyak 54.4 peratus rakyat dewasa Malaysia mengalami berat badan berlebihan.

Mengikut data The World Factbook oleh Central Intelligence Agency dari tahun 2016 hingga 2024, Malaysia muncul sebagai negara kedua di Asia Tenggara yang mempunyai ramai rakyat mengalami masalah obesiti.

Ini sangat membimbangkan kerana peratusan obesiti jika tidak dikawal bukan sahaja menyebabkan masalah sosial di kalangan masyarakat bahkan membawa ancaman senyap kepada rakyat.

Pertambahan berat badan boleh memberi kesan sosial iaitu kurang keyakinan pada diri serta tekanan kepada masalah kegemukan.

Bahkan jika tidak dikawal boleh membawa kepada penyakit merbahaya seperti diabetes, hipertensi, masalah jantung, buah pinggang, darah tinggi, penyakit barah dan kolesterol yang berlebihan. Pepatah Melayu ada mengatakan; “mencegah lebih baik daripada merawat.”

Obesiti Merupakan Wabak Global jika Tidak Dicegah Dari Awal

Obesiti merupakan wabak global yang boleh berlaku kepada sesiapa sahaja bukan sahaja dewasa tetapi juga kanak-kanak.

Usah kita terlalu selesa, menafikan dan menormalisasikan kegemukan dengan menjadikan obesiti sebahagian dalam kehidupan kita kerana jika ia tidak dicegah dari peringkat awal, tubuh kita akan mengalami keletihan, kelesuan dan malas bekerja.

Jangan kita duduk sahaja selepas makan; kita perlu mengamalkan senaman yang mudah atau bergerak beberapa langkah yang disarankan oleh pengamal perubatan bagi mengeluarkan peluh. Ia juga bagi mengalakkan pergerakan metabolisma badan agar tidak rendah.

Baru-baru ini kita dikejutkan dengan kenyataan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz menyatakan kira-kira 80% penjawat awam di Putrajaya mengalami masalah obesiti atau berat badan yang melebihi Indeks Jisim Tubuh yang sewajarnya. (BMI) Sedar tidak sedar, kemelut Ini bukan sahaja berlaku di negeri Selangor malah ia juga berlaku di beberapa negeri yang lain.

Amalan gaya hidup sihat dengan mengamalkan pemakanan yang sihat, diet yang seimbang serta cergas di dalam melakukan aktiviti riadah atau sesuatu pekerjaan; memerlukan tubuh badan yang sihat serta bebas daripada penyakit.

Sebagai contoh, jika selepas makan, kita perlu bergerak cergas usah duduk kekenyangan.

Ketahuilah, jika seseorang individu itu mengambil sikap endah tak endah dengan kesihatan serta tidak bergerak aktif, cuai menjaga pemakanan seharian, natijahnya masalah obesiti dan penyakit serius mula merebak sedikit demi sedikit tanpa disedari.

Kesedaran Menjaga Kesihatan Masih Lemah di Kalangan Umum

Pentingnya menjaga kesihatan dan tubuh badan seawal usia muda kerana seiring usia kita bertambah, metabolisma badan kita akan menurun.

Jangan sesekali mengambil enteng kerana Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) telah mengklasifikasikan obesiti atau kegemukan sebagai penyakit kronik di dunia. Kesihatan badan perlu dijaga dari awal usia, “jangan sudah terhantuk baru tergadah”

Masalah obesiti bukan sahaja memudaratkan kesihatan individu dan masyarakat, malah turut mengakibatkan kesan lebih besar kepada sektor kesihatan dan ekonomi negara.

Implikasinya memberi kepada permasalahan pengurangan produktiviti, kehilangan upaya seseorang individu untuk bekerja dan ketidakhadiran yang lazim.

Justeru sayangilah tubuh anda dengan mengamalkan gaya hidup sihat dan pro-aktif kerana ia sejajar dengan rukun Malaysia MADANI yang disarankan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu sentiasa menjaga kesejahteraan minda serta jasmani yang kuat, sihat, membina keyakinan dengan kesihatan yang baik demi kemampanan untuk jangka hidup hayat yang berterusan.

Harfiahnya, masyarakat seharusnya peka dengan mengamalkan tabiat pemakanan yang sihat dan mengikut masa yang ditetapkan.

Jangan sekali-kali mengelak untuk mengambil sarapan kerana anda akan mengambil makanan yang berlebihan di waktu tengahari.

Amalkan mengambil sarapan yang berkhasiat kerana ia akan memberi tenaga yang cukup bagi memulakan hari anda.

Elakkan makan di waktu lewat malam kerana ia boleh menyebabkan gangguan tidur dan masalah penghadaman kerana malam merupakan masa untuk tubuh berehat.

Individu juga digalakkan membuat pemeriksaan kesihatan secara berkala seawal umur 30-an bukan sahaja mengelakkan daripada mengalami penyakit merbahaya tetapi juga memastikan keadaan kesihatan diri serta imej terjaga, berkualiti dan berada di tahap yang baik.

Terapkan Langkah Pengubahsuaian Gaya Hidup Bagi Menangani Obesiti

Masyarakat umum perlu mengurangkan pemakanan yang tidak sihat seperti makanan segera atau makanan yang tidak dimasak dengan sempurna.

Kurangkan pengambilan makanan atau air yang bergula serta mengandungi garam, lemak, kolesterol yang berlebihan.

Sentiasa mengamalkan minum enam hingga lapan gelas air kosong setiap hari bagi fungsi fisiologi dalam badan, mengawal suhu tubuh dan perkumuhan. Air kosong juga dapat melindungi organ dan tisu dalam badan kita.

Pemakanan yang sihat perlu diterapkan sejak sejak kecil dan menjadi amalan yang berterusan bagi pertumbuhan dan penjagaan badan yang sihat dan bebas daripada sebarang penyakit.

Kerajaan, jabatan kesihatan, sektor awam dan swasta perlu menggembleng tenaga dan buah fikiran bersama bagi mengadakan kempen kesedaran dan program kesihatan seperti berjoging, bersenam, yang berterusan bagi memastikan rakyat sentiasa aktif, cergas, kekal bersemangat dan bertenaga di dalam menceburi sebarang aktiviti riadah.

Langkah ini juga bagi memastikan kesihatan mental dan jasmani sihat serta produktivi kerja dapat dicapai dengan padu.

Selain itu, Jabatan Kementerian Kesihatan negeri perlu membuat program jelajah kesedaran kesihatan di semua sektor kerajaan dan swasta.

Antaranya, melaksanakan kempen “Gaya Hidup Sihat,” pameran yang berinformatif dan menarik, memberi informasi kesihatan dengan membuka kaunter pertanyaan serta memberi peluang kepada masyarakat untuk membuat pemeriksaan secara percuma di kaunter yang dibuka. Usaha ini bagi memperkasa kesedaran kesihatan di mata orang ramai.

Bahkan, penekanan disiplin di dalam memastikan kelangsungan amalan gaya hidup sihat perlu kekal berterusan dan tidak bermusim. Ia sejajar dengan prinsip; makan untuk hidup; bukan hidup untuk makan.

“Tidak ada ruang yang diisi oleh manusia yang lebih buruk daripada perutnya, cukuplah baginya memakan beberapa suapan sekadar dapat menegakkan tulang punggungnya (memberikan tenaga). Jika tidak mampu, maka ia dapat memenuhkan perutnya dengan sepertiga makanan, sepertiga minuman dan sepertiga lagi untuk nafasnya.” (Hadis riwayat Ahmad)

Pada dasarnya, kebanyakan penyakit bermula daripada perut yang tidak dijaga dengan baik dari segi cara penghadaman dan jenis makanan yang diambil seharian. Kawal perut dengan bersederhana demi kebaikan bukan sahaja kesihatan terjaga malah amalan ibadat juga.

Perlu diingatkan jangan kita makan mengikut nafsu. Petua orang dahulu berpesan, “makan sebelum lapar, berhenti sebelum kenyang.”

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang) dan makanlah serta minumlah dan jangan pula kamu melampau, sesungguhnya Allah tidak suka akan orang yang melampaui batas.” (Surah al-A’raf, ayat 31)

Saluran media seperti akhbar, radio, televisyen dan platform media sosial perlu lebih aktif dan kreatif di dalam membantu bukan sahaja memberi mesej yang efektif tetapi juga mengalakkan masyarakat mengamalkan pemakanan dan gaya hidup sihat.

Contohnya, mendekati masyarakat dari pelbagai sudut, peringkat umur dengan membuat video TikTok atau YouTube tentang bagaimana menjaga pemakanan, memberi tips penjagaan kesihatan yang betul.

Kempen kecergasan dan gaya hidup sihat boleh dilakukan melalui aplikasi media sosial dengan memuatnaik video senaman, regangan, tarian Zumba bagi membantu membakar lemak dan kalori di tubuh.

Aktiviti bermanfaat Ini bagi menyedarkan masyarakat betapa pentingnya bergerak cergas serta memerangi masalah obesiti di kalangan masyarakat umum.

Bak kata pepatah, “tiada yang mustahil; hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih”.

Masyarakat perlu sedar dengan mengamalkan senaman seperti berjoging, berjalan kaki atau menaiki tangga ibarat serampang dua mata kerana ia boleh mengeluarkan peluh, mengurangkan tekanan dan membantu menyelesaikan masalah obesiti.

Tuntasnya, rakyat Malaysia perlu cakna dan sentiasa mengamalkan pemakanan yang baik dan gaya hidup sihat demi menjaga tubuh badan agar cergas, menyumbang tenaga kerja dengan optimum serta dapat beribadat dengan sempurna.

- Mohonlah pada ALLAH SWT Kesihatan yang baik, sesungguhnya yang lebih baik sesudah keimanan adalah Kesihatan (Hadis Riwayat, Ibnu Majah)

-- BERNAMA

Norazlinda Hj Mohammad ialah Pensyarah Kanan (Kewartawanan ),Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Melaka

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)