TINTA MINDA

“DARI PENA KE PEDAGOGI: LEGASI WARTAWAN DI MENARA GADING”

29/05/2025 05:28 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Muhammad Azim Zaid

Dalam suasana menyambut Hari Wartawan Nasional (HAWANA), saya merenung semula perjalanan yang telah membawa saya dari bilik berita ke bilik kuliah suatu transformasi kerjaya yang bukan sahaja mengubah peranan, tetapi memperluaskan makna tanggungjawab terhadap masyarakat.

Bermula sebagai wartawan lapangan selama hampir 11 tahun dahulu, saya telah menimba pengalaman di beberapa organisasi media utama negara seperti Bernama TV, Utusan Malaysia, Utusan Online dan Bernama Radio.

Sepanjang menggalas tanggungjawab sebagai wart wan, saya berdepan dengan pelbagai cabaran dunia kewartawanan termasuk tekanan masa, keperluan menyemak fakta secara menyeluruh, serta keperluan untuk menyampaikan maklumat secara tepat, cepat dan beretika.

Kewartawanan bukan sekadar pekerjaan tapi amanah

Pengiktirafan menerusi Hadiah Kewartawanan Malaysia (HKM) MPI-Petronas sepanjang karier saya adalah antara detik yang mengukuhkan kepercayaan bahawa kewartawanan bukan sekadar pekerjaan, tetapi satu amanah.

Kini, sebagai bertindak sebagai pensyarah di Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, saya menyambung perjuangan itu dalam bentuk yang berbeza iaitu mendidik dan membimbing generasi pelapis dalam bidang media dan komunikasi.

Peralihan itu bukan bermakna meninggalkan dunia kewartawanan, sebaliknya ia adalah usaha untuk memindahkan nilai, prinsip dan pengalaman kepada pelajar agar mereka lebih bersedia untuk menghadapi dunia sebenar.

Dalam bilik kuliah, saya bukan sahaja menyampaikan teori semata-mata, tetapi juga mengintegrasikan pengalaman lapangan yang telah dilalui, supaya pelajar dapat memahami realiti sebenar di sebalik berita yang mereka baca setiap hari.

Saya percaya bahawa pengalaman langsung sebagai wartawan memberi dimensi praktikal yang sangat penting dalam proses pengajaran, terutamanya dalam membantu pelajar memahami nilai etika, kredibiliti dan tanggungjawab sosial dalam penyampaian maklumat.

Dunia kewartawanan yang berubah

Dunia kewartawanan hari ini berubah dengan pantas terutamanya apabila disrupsi digital, kecerdasan buatan, tekanan kelajuan penerbitan, dan penularan maklumat palsu mencabar keutuhan profesion ini serta cabaran dalam membezakan maklumat sahih dan manipulatif.

Justeru, mendidik bukan lagi satu pilihan, tetapi satu keperluan strategik untuk memastikan pelapis industri media tampil bukan sahaja dengan kemahiran, tetapi juga integriti.

Sebagai pendidik, cabaran saya adalah untuk memastikan pelajar bukan sahaja celik media, tetapi juga memiliki ketahanan nilai dan kebijaksanaan dalam menilai sesuatu isu sebelum melaporkannya.

Saya sering berkongsi dengan pelajar bahawa wartawan yang baik bukan hanya mahir menulis, tetapi juga berani mempertahankan kebenaran dan jujur terhadap fakta.

Pembinaan karaktor

Setiap kuliah dianggap sebagai ruang untuk membina karaktor, bukan sekadar menghafal teori atau menyiapkan tugasan dan percaya, jika ingin melihat industri kewartawanan terus dihormati dan diyakini, kita perlu bermula dengan membentuk pemikiran dan jiwa pelapisnya dari peringkat awal.

Saya sering mengingatkan pelajar bahawa dunia kewartawanan hari ini jauh berbeza dengan dahulu apabila media sosial, kecerdasan buatan, berita tular dan pelbagai bentuk disrupsi teknologi telah mengubah cara berita dilaporkan dan diterima.

Namun, prinsip asas dalam kewartawanan tetap tidak berubah iaitu berpegang pada kebenaran, melaporkan dengan adil, dan tidak tunduk kepada tekanan atau kepentingan yang menggugat integriti berita.

Pelajar wartawan masa hadapan

Pelajar hari ini adalah wartawan masa depan, dan tanggungjawab membentuk mereka bukan sekadar terletak pada buku teks, tetapi juga pada nilai dan semangat yang ditanamkan dalam jiwa mereka sejak awal.

Saya melihat peranan sebagai pensyarah bukan hanya untuk menyampaikan teori, tetapi untuk membentuk insan yang mampu berdiri sebagai pelapor kebenaran dalam dunia yang semakin mencabar dan kompleks.

Setiap kali melangkah masuk ke bilik kuliah, saya membawa bersama semangat seorang wartawan yang masih ingin menyumbang kali ini bukan dengan laporan berita, tetapi dengan bimbingan dan perkongsian ilmu.

Hari Wartawan Nasional

Hari Wartawan Nasional bukan sahaja ruang untuk menghargai jasa wartawan terdahulu, tetapi juga detik untuk memikirkan bagaimana kita boleh memelihara legasi mereka.

Malah memberi ruang untuk kita menilai semula bagaimana profesion ini bukan sekadar medan kerjaya, tetapi satu bentuk perjuangan yang berterusan demi kebenaran dan kesejahteraan masyarakat.

Selain percaya bahawa legasi wartawan tidak hanya hidup dalam arkib berita atau trofi anugerah, tetapi juga dalam setiap pelajar yang kelak akan berdiri di lapangan, membawa pena mereka dengan jujur dan berani.

Kesinambungan dalam perjuangan

Sebagai bekas wartawan yang kini menjadi pendidik, saya melihat pendidikan sebagai kesinambungan kepada perjuangan kewartawanan itu sendiri.

Legasi wartawan bukan hanya terletak pada berita yang ditulis, tetapi juga pada jiwa yang ditanam dalam diri insan-insan muda yang bakal mewarisi tanggungjawab tersebut.

Dari pena ke pedagogi, dari bilik berita ke menara gading, saya berbangga dapat menjadi sebahagian daripada kesinambungan ini menyambung warisan yang telah dibina oleh mereka yang terdahulu dan memastikan ia terus menyala dalam generasi seterusnya.

-- BERNAMA

Muhammad Azim Zaid ialah Pensyarah Komunikasi Liberal di Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam dan bekas wartawan Bernama, Utusan Malaysia serta penerima Hadiah Kewartawanan Malaysia (HKM) MPIPetronas. Artikel ini ditulis sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA)

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)