Dunia kini sedang mengalami perubahan yang pesat dan tidak menentu. Era yang digelar sebagai pasca-normal merujuk kepada suasana global yang dicirikan oleh ketidakpastian, kerumitan, dan pelbagai kejutan yang sukar dijangkakan.
Dalam landskap baharu hari ini, peranan wartawan menjadi sangat penting dan mencabar. Mereka tidak lagi sekadar menjadi penyampai berita, bahkan dituntut untuk menjadi pemangkin ketelusan, penjaga nilai kebenaran, dan pembentuk wacana masyarakat yang matang dan bertanggungjawab.
Cabaran utama era pasca-normal ini ialah penularan berita palsu dan maklumat yang tidak sahih.
Dengan kemunculan media sosial dan platform digital yang membolehkan sesiapa sahaja menjadi wartawan segera, ancaman kepada maklumat yang benar dan sahih semakin ketara.
Dalam konteks ini, wartawan berperanan sebagai penjaga gerbang maklumat yang perlu memastikan hanya maklumat yang disemak, sahih disampaikan kepada masyarakat.
Etika kewartawanan
Etika kewartawanan yang menuntut ketelusan sumber, kejujuran laporan dan pengesahan fakta harus dijunjung tinggi, lebih-lebih lagi ketika masyarakat berdepan dengan krisis maklumat.
Dalam suasana yang dipenuhi ketidakpastian seperti krisis kesihatan, kemelut ekonomi, atau konflik geopolitik, masyarakat sering dihantui perasaan takut dan resah.
Di sinilah wartawan memainkan peranan penting dalam menyampaikan maklumat yang membina, memperkasakan pemikiran rakyat, dan memberikan panduan yang boleh membantu mereka memahami situasi dengan lebih rasional.
Wartawan bukan sekadar melaporkan fakta, tetapi turut bertanggungjawab untuk menanam nilai-nilai positif dan menyuntik semangat optimisme dalam masyarakat.
Era pasca-normal turut menyaksikan peningkatan polarisasi dan perpecahan sosial akibat perbezaan agama, kaum, ideologi politik dan budaya.
Media nasional, khususnya melalui peranan wartawan, harus menjadi agen pemersatu yang membina naratif kebangsaan yang inklusif dan harmoni.
Wartawan perlu sensitif terhadap isu-isu yang berpotensi menggugat keharmonian dan memainkan peranan dalam melaporkan berita secara adil, seimbang dan tidak berat sebelah.
Wartawan Menegakkan Kebenaran
Dalam negara majmuk seperti Malaysia, keberanian wartawan untuk menegakkan kebenaran tanpa mengapi-apikan sentimen perkauman atau keagamaan sangat penting demi kelangsungan perpaduan nasional.
Dalam sebuah negara demokrasi yang sangat mencabar pada hari ini, wartawan harus berperanan sebagai mata dan telinga rakyat.
Mereka perlu bertindak sebagai pemantau kepada institusi-institusi kerajaan, badan korporat, dan mana-mana pihak berkepentingan.
Kewartawanan investigatif yang mendalam dan kritikal menjadi medium untuk membongkar ketirisan, penyalahgunaan kuasa, serta ketidakadilan yang berlaku dalam masyarakat.
Hal ini bukan sahaja meningkatkan akauntabiliti dalam pentadbiran awam, bahkan memperkukuhkan budaya ketelusan yang menjadi asas kepada tadbir urus yang baik.
Era pasca-normal yang semakin melebar menuntut masyarakat yang mampu berfikir secara kritikal dan membuat keputusan berasaskan maklumat yang sahih.
Oleh itu wartawan perlu berperanan dalam membina wacana awam yang matang dan sihat.
Laporan-laporan yang bersifat analitis, berbentuk penjelasan mendalam, dan disokong oleh data dan hujah yang kukuh dapat membantu masyarakat memahami isu-isu semasa secara objektif.
Jauhi Budaya Sensasi
Wartawan juga harus menjauhi budaya sensasi, fitnah dan provokasi demi meraih populariti. Kebertanggungjawaban moral dan etika menjadi benteng utama kewartawanan dalam mendepani era yang sarat dengan kecelaruan nilai.
Dalam dunia transformasi digital yang berlaku dengan pesat ini turut mengubah cara masyarakat menerima dan menyebarkan maklumat.
Dalam dunia yang didominasi oleh media sosial, video pendek, dan berita segera, wartawan perlu menyesuaikan diri dengan platform dan pendekatan baharu.
Mereka harus menguasai kemahiran dalam bidang multimedia, penceritaan visual, infografik dan analisis data untuk menyampaikan maklumat secara lebih efektif dan menarik.
Pada masa yang sama, wartawan perlu berhati-hati agar tidak terperangkap dalam tekanan untuk menyiarkan berita secara tergesa-gesa tanpa penyelidikan yang rapi, semata-mata demi bersaing dalam dunia digital yang pantas.
Dalam cabaran pasca-normal, wartawan sering berdepan tekanan daripada pihak berkuasa, kepentingan politik, dan pemilik korporat media.
Namun, wartawan yang berjiwa nasional harus mempertahankan etika kewartawanan dan integriti diri.
Mereka harus berani menolak campur tangan luar yang mengganggu kebebasan media serta berpegang teguh kepada prinsip kebenaran, keadilan dan ketelusan.
Wartawan yang memiliki komitmen terhadap integriti akan terus menjadi suara rakyat yang bebas dan jujur, tanpa tunduk kepada tekanan atau sogokan yang boleh mencemarkan nama baik profesion.
Peranan Wartawan
Kesimpulannya peranan wartawan dalam era pasca-normal adalah amat besar dan kritikal.
Mereka bukan sahaja berfungsi sebagai pelapor berita, malah turut menjadi pencorak wacana masyarakat, pendidik awam, penjaga moral sosial dan pengimbang kuasa dalam sistem demokrasi.
Cabaran yang mereka hadapi semakin kompleks, namun dengan keberanian, etika dan komitmen terhadap kebenaran, wartawan nasional mampu mendepani era pasca-normal dengan penuh integriti dan profesionalisme.
Dalam dunia yang semakin tidak menentu, kehadiran wartawan yang berwibawa adalah antara elemen penting yang dapat menjamin kestabilan, kematangan dan kemajuan sesebuah negara.
-- BERNAMA
Hasri Harun ialah Pensyarah Kanan Universiti Selangor, dan Timbalan Presiden Wadah