Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kes jenayah sosial yang melibatkan remaja semakin kerap menghiasi tajuk berita.
Pada tahun 2024, hampir 300 kes jenayah membabitkan pelajar sekolah rendah dan menengah dicatatkan di Malaysia. Kes-kes ini termasuk pergaduhan, kecurian dan kerosakan harta benda.
Namun, angka ini bukan sekadar statistik; ia adalah cerminan realiti masyarakat yang menuntut perhatian dan tindakan bersama.
Remaja hari ini membesar dalam dunia yang penuh cabaran. Mereka berhadapan dengan tekanan akademik, pengaruh media sosial, tuntutan gaya hidup dan kekangan komunikasi dalam keluarga, yang sering kali menyebabkan mereka hilang arah.
Kes buli fizikal di asrama yang dirakam dan ditularkan di media sosial sudah menjadi perkara biasa. Isu ini menyentuh naluri kita semua kerana mangsanya bukan hanya seorang pelajar, tetapi seorang anak, adik atau jiran.
Pengaruh Media Sosial
Pengaruh media sosial yang tidak terkawal turut menyumbang kepada jenayah sosial.
Gangguan seksual melalui platform digital meningkat sebanyak 45% pada tahun lalu. Ketagihan gajet menyebabkan remaja kehilangan kemahiran berinteraksi secara sihat.
Malah, jenayah siber dalam kalangan belia meningkat lebih 35%, menunjukkan betapa longgarnya pengawasan terhadap penggunaan teknologi dalam kehidupan mereka.
Namun, dalam membincangkan punca gejala ini, kita tidak boleh hanya menuding jari. Tidak adil untuk menyalahkan guru, ibu bapa atau remaja itu sendiri.
Sebaliknya, kita harus melihat isu ini sebagai petanda bahawa sistem sokongan sosial kita perlu diperbaiki.
Remaja yang terlibat dalam jenayah sosial bukan semata-mata kerana mereka ‘nakal’, tetapi sering kali kerana mereka merasa tidak didengari, tidak dihargai dan hilang tempat bergantung, sesuai dengan fitrah usia mereka yang sedang mencari identiti.
Masalah Keluarga
Isu perceraian ibu bapa perlu dilihat dengan lebih adil dan berlapang dada. Perceraian bukanlah kegagalan mutlak, malah dalam sesetengah keadaan, ia mungkin satu langkah terbaik demi kesejahteraan semua pihak.
Apa yang lebih penting ialah bagaimana ibu dan bapa tetap memainkan peranan mereka selepas perpisahan berlaku.
Ramai ibu bapa selepas bercerai menjadi lebih fokus dan dekat dengan anak-anak, serta lebih bertanggungjawab dan sensitif terhadap keperluan emosi mereka.
Semua pihak mempunyai peranan besar dalam membentuk generasi muda. Ibu bapa, sebagai tiang utama pembentukan sahsiah anak, perlu meluangkan masa berkualiti bersama mereka, bukan sekadar memenuhi keperluan material, tetapi juga mendengar, memahami dan membimbing dengan kasih sayang.
Peranan Institusi Pendidikan
Sekolah atau institusi pengajian tinggi pula bukan hanya tempat untuk mengejar akademik, tetapi juga medan untuk membentuk jati diri dan sahsiah remaja melalui bimbingan, kaunseling serta aktiviti ko-kurikulum yang membina.
Manakala, guru atau pensyarah, yang sering dikait sebagai pengganti ibu bapa di luar rumah, mempunyai tanggungjawab besar dalam membimbing remaja agar mereka dapat mengenal diri, mengurus emosi dan membina nilai-nilai positif untuk masa depan mereka.
Dengan sinergi antara ibu bapa, pendidik dan masyarakat, kita dapat memastikan remaja tidak hanya berjaya dalam akademik, tetapi juga bersedia menghadapi cabaran hidup dengan keyakinan dan kesedaran.
Peranan Komuniti
Sebagai salah satu elemen dalam sistem sokongan masyarakat, komuniti juga perlu memainkan peranan aktif.
Program belia, kegiatan sukan, seni dan sukarelawan boleh menjadi saluran positif untuk remaja membina jati diri.
Di samping itu, pendidikan literasi digital perlu diperluas agar generasi muda lebih bijak menilai maklumat dan mengawal tingkah laku atas talian mereka.
Jenayah sosial remaja bukan sekadar masalah anak muda, tetapi juga refleksi ketidakseimbangan dalam ekosistem masyarakat kita.
Kita tidak seharusnya melihat remaja yang bermasalah sebagai beban, tetapi sebagai individu yang sedang mencari bantuan, panduan dan bimbingan.
Perubahan hanya akan berlaku jika kita semua mengambil tanggungjawab bersama dan bukan sekadar melihat, tetapi bertindak. Apa yang jelas, remaja adalah aset dan masa depan negara. Mari kita bentuk mereka, bukan hukum mereka.
-- BERNAMA
Prof. Madya Dr. Khairunesa Isa ialah Pensyarah Kanan, Jabatan Sains Sosial, Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)