Sistem penjagaan kesihatan Malaysia kini berkembang – bukan sekadar untuk menjaga kesihatan manusia, tetapi juga memulihara alam sekitar.
Perubahan ini jelas dilihat melalui pelancaran projek rintis penggunaan produk biodegradasi oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sempena Persidangan Kemudahan Penjagaan Kesihatan Hijau 2025 pada 28 April lalu, sebagai langkah penting ke arah masa depan kesihatan yang lebih mampan.
Inisiatif ini merupakan hasil kerjasama antara KKM dan Free The Seed Sdn Bhd – syarikat berstatus BioNexus yang dibimbing oleh Malaysian Bioeconomy Development Corporation (Bioeconomy Corporation) - untuk membekalkan dulang makanan biodegradasi untuk penggunaan pesakit di beberapa hospital terpilih, dengan sasaran pelaksanaan di seluruh negara.
Usaha KKM
Usaha kepimpinan KKM dalam mendorong amalan mampan dan memacu transformasi ke arah sistem penjagaan kesihatan neutral karbon wajar dipuji.
Usaha ini mencerminkan komitmen KKM dalam mencapai sasaran pelepasan sifar bersih menjelang 2050, memastikan penjagaan kesihatan bukan sahaja menyembuh manusia, tetapi juga menyumbang kepada masa depan yang tahan iklim.
Mengapa ini penting? Sejak tahun 2022, ujian klinikal bersama KKM menunjukkan bahawa produk biodegradasi adalah lebih mesra alam dan meningkatkan keberkesanan kos berbanding peralatan keluli dan plastik yang memerlukan pembersihan serta pensterilan intensif.
Menurut Penilaian Kitar Hayat (LCA), penggunaan produk biodegradasi hanya menghasilkan 91.2 kg pelepasan karbon dioksida berbanding 6,400 kg untuk keluli dan 2,211 kg untuk plastik.
Dari sudut impak penebangan hutan pula, produk biodegradasi hampir tidak memberi kesan - sekitar empat pokok terjejas - berbanding 3,110 pokok bagi peralatan keluli dan 17,000 pokok untuk peralatan plastik.
Projek ini turut menyumbang kepada kesejahteraan sosial. Dalam jangka masa 10 tahun, inisiatif ini dijangka menjana pendapatan tambahan sebanyak RM156,800 kepada petani B40 di Gurun, Kedah yang membekalkan sisa jerami padi – bahan asas kepada produk biodegradasi ini.
Melalui proses bioteknologi yang dipatenkan oleh Free The Seed, sisa jerami padi ini ditukar menjadi dulang yang boleh terurai secara semula jadi, sekaligus mengurangkan pembakaran terbuka dan pelupusan sisa pertanian di tapak pelupusan.
Prinsip Bioekonomi
Peralihan ini selari dengan prinsip bioekonomi, di mana bioteknologi dan bahan berasaskan bio dimanfaatkan dalam sistem kitaran yang menambah nilai keupayaan industri tempatan, mengurangkan kebergantungan kepada bahan berasaskan fosil, serta membuka peluang pendapatan tambahan kepada komuniti luar bandar.
Usaha ini juga menyokong aspirasi Malaysia MADANI, Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (SDG), dan Dasar Bioteknologi Negara 2.0 yang menekankan inovasi mampan dan ekonomi kitaran rendah karbon.
Bioeconomy Corporation berbangga dapat menyokong transformasi ini. Sebagai agensi peneraju pembangunan bioekonomi negara, kami bekerjasama rapat dengan badan kerajaan, penyelidik, syarikat dan komuniti tempatan untuk memperkukuh ekosistem bioekonomi.
Kami menerajui dan menyokong pembangunan teknologi, keperluan regulatori, serta jalinan kerjasama strategik bagi membawa inovasi berasaskan bio ke arus perdana – seperti kolaborasi antara Free The Seed, KKM dan golongan petani ini.
Namun ini baru permulaan. Kita perlu terus meninjau peluang lain dalam memampankan sektor penjagaan kesihatan, seperti pembungkusan farmaseutikal biodegradasi, pembasmi kuman berasaskan tumbuhan, produk pembersih berasaskan enzim, dan tekstil hospital daripada sumber semula jadi.
Potensinya amat besar dan Malaysia memiliki kepakaran, biodiversiti dan penggiat industri untuk menerajui penyelesaian penjagaan kesihatan mampan.
Bioeconomy Corporation bersedia memacu perubahan ini, demi sistem kesihatan yang bukan sekadar merawat, tetapi juga melindungi manusia dan alam sekitar.
-- BERNAMA
Mohd Khairul Fidzal Abdul Razak ialah Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Pembangunan Bioekonomi Malaysia (Bioeconomy Corporation).